[Baca Bahagian Dua] Arumugam Pillai tidak mati malam itu. Tetapi Raghavan Chatterjee tiba di rumahnya pada pukul 11:40 malam dan mendapati pintu terbuka.
Rumah
papan itu berbau minyak kelapa, ubat sapu, dan kayu reput. Sebuah radio kecil
masih berbunyi perlahan. Lagu Tamil lama dimainkan dengan suara penyanyi yang
sudah serak akibat usia.
Di
dapur terdapat periuk nasi yang belum dibasuh. Di atas meja ada dua cawan. Satu
masih hangat.
“Arumugam?”
Tiada
jawapan.
“Anna?”
Raghavan memanggil lagi.
Di
dinding terdapat beberapa foto keluarga. Ada yang sudah pudar dan ada yang
tidak lagi mempunyai kaca. Satu foto menunjukkan Arumugam ketika muda, berdiri
di hadapan deretan pokok getah dengan senyuman yang jauh lebih besar daripada
tubuhnya.
Raghavan
pernah mendengar cerita lelaki itu: Tentang estet. Tentang mogok pekerja. Tentang
sekolah Tamil. Tentang orang yang datang dari India dengan satu beg dan
akhirnya mati dengan empat anak, sebelas cucu, dan sebuah rumah yang masih
perlu diperbaiki setiap kali hujan lebat.
“Appa
di hospital,” satu suara kedengaran dari belakang.
Raghavan
berpaling. Suresh Pillai berdiri di pintu.
“Kenapa?”
“Sesak
nafas.”
“Bila?”
“Petang
tadi.”
“Kenapa
tidak beritahu saya?”
“Dia
kata nanti.”
Pemuda
berumur dua puluh lima tahun itu menghulurkan sebuah buku.
“Ini
untuk encik.”
Raghavan
mengambilnya. Kulit buku itu coklat gelap. Bahagian tepi kertas sudah berwarna
kekuningan. Terdapat bau khas buku lama; sedikit hapak tetapi menyenangkan.
“Apa
ini?” Raghavan ingin tahu.
“Buku
catatan Appa.”
“Boleh
saya baca?”
“Dia
memang suruh bagi kepada encik.”
Raghavan
membuka halaman pertama. Tulisan tangan Tamil yang kemas memenuhi kertas.
Cerita
tidak mati apabila orang mati. Cerita mati apabila tiada siapa mahu mengingati.
Raghavan
membaca lagi. Catatan itu bukan autobiografi. Ia lebih mirip kubur kecil untuk merakam
kenangan. Ada nama orang, nama kedai yang sudah tiada, nama sekolah, nama guru,
nama pekerja ladang, nama pelukis kolem, nama pemuzik, nama wanita yang
pernah memasak puttu untuk pekerja yang mogok. Juga nama seorang lelaki
yang hilang selepas keluarga berpindah. Serta nama seorang kanak-kanak yang
pernah bertanya mengapa bahasa Tamil yang dituturnya diejek di sekolah.
Raghavan
duduk. Suresh berdiri di sebelah.
“Bapa
kamu kata semua ini penting?”
“Ya,
encik.”
“Kenapa?”
Raghavan kurang pasti; kurang faham.
“Appa
kata, suatu hari nanti orang akan bertanya.”
“Siapa?”
“Orang
yang tidak tahu bahawa mereka pernah berada di sini.”
Raghavan
menutup buku catatan. Dia memandang Suresh.
“Bapa
kamu selalu fikir begitu?”
“Tidak.”
Suresh ketawa kecil. “Dulu dia fikir cerita tidak penting. Appa cuma
mahu bekerja, bayar bil, dan hantar kami ke sekolah. Selepas bersara, dia mula
takut.”
“Takut
apa?”
“Takut
semua yang dia ingat akan mati bersamanya.”
[Sokonglah penulis swaterbit—senarai buku di sini]
Raghavan
tidak menjawab. Dia teringat dirinya sendiri. Selama bertahun-tahun, dia
menulis kerana mahu menghasilkan buku. Mahu karya diterbitkan. Mahu ada pembaca
bagi hasil tulisannya. Mahu meninggalkan sesuatu untuk generasi akan datang.
Arumugam
pula menulis kerana mahu seseorang tahu bahawa manusia tertentu pernah wujud.
Perbezaannya
sangat kecil. Tetapi pada malam itu, perbezaan tersebut terasa seperti dua
dunia yang tidak ada jambatan yang mampu menghubungkan.
Di
luar, gagak berbunyi. Raghavan keluar. Seekor gagak kelihatan bertenggek pada
ranting pokok semambu.
“Bhusunda?”
Burung
itu menoleh.
“Ceritakan
sesuatu,” pinta Raghavan.
“Yang
mana?”
“Sejarah
diri engkau.”
Gagak
itu terbang turun ke pagar.
“Dalam
satu cerita, aku pernah menjadi manusia yang sombong.”
“Kerana
tidak menghormati guru?”
“Ya.”
“Dan
kemudian?”
“Kutukan.”
“Daripada
siapa?” Raghavan mahu tahu.
“Dalam
satu riwayat, Shiva. Dalam riwayat lain, cerita itu berubah.”
“Berapa
kali engkau lahir?”
“Seribu.”
Raghavan
menunggu tetapi sang gagak tidak meneruskan.
“Seribu?”
Raghavan mahukan kepastian.
“Ya. Dalam
cerita yang engkau baca.”
“Dan
cerita lain?”
“Tiada
nombor,” sang gagak menjawab spontan.
“Kenapa?”
“Kerana
masa bukan pembaris.”
Raghavan
bersandar pada tiang.
“Jadi,
apa yang berlaku selepas seribu kelahiran?”
“Aku
menjadi gagak.”
“Sebagai
hukuman?”
“Pada
mulanya aku fikir begitu.”
“Sekarang?”
“Aku
sedar hukuman kadang-kadang merupakan pintu yang tidak kita mahu buka.”
Raghavan
terdiam.
“Aku
menjadi saksi,” gagak itu meneruskan.
“Kepada
Rama?”
“Kepada
Rama. Kepada manusia. Kepada alam. Kepada diri sendiri.”
“Dan engkau
tidak mati?”
“Aku
mati berkali-kali,” sang gagak membetulkan.
“Bukankah
engkau bersifat chiranjivi?” Raghavan mengerutkan dahi.
“Chiranjivi
bukan bermaksud tubuh tidak berubah. Ia bermaksud cerita tidak berhenti pada
tubuh.”
Ayat
itu melekat dalam fikiran Raghavan. Sang gagak terang lalu bersatu dengan
kegelapan malam.
Raghavan
masuk semula ke rumah Arumugam. Suresh tidak kelihatan. Buku catatan Arumugam
terbuka pada halaman yang tidak dibacanya tadi. Terdapat satu ayat dalam Bahasa
Malaysia, bukan Tamil.
Jangan
hanya tulis apa yang kamu mahu kekalkan. Tulislah apa yang sedang cuba dipadam.
Raghavan
menyentuh tulisan itu. Dakwat masih basah. Dia mengangkat kepala. Dari bilik
belakang, dia terdengar bunyi seseorang ketawa. Kemudian kedengaran suara
memanggil namanya.
“Raghavan.”
Dia
mengenali suara itu. Suara Arumugam. Tetapi bukankah Arumugam sedang berada di
hospital seperti kata anaknya?
Raghavan
berjalan perlahan-lahan ke bilik belakang. Pintu bilik itu tertutup. Di bawah
celah pintu, cahaya merah mula keluar. Kemudian, kedengaran suara Arumugam.
“Kalau
engkau mahu tahu masa depan, jangan masuk!”
Raghavan
berhenti. Dan kerana dia seorang penulis dengan pengalaman lebih tiga puluh
tahun, dia tahu satu perkara dengan penuh kepastian: Apabila seseorang berkata “jangan
masuk”, maknanya cerita sebenar baru sahaja mahu bermula. … Bersambung … dalam
buku pada tahun 2027?


No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!