22 Sept 2026

Bahagian Dua: Kakabhushundi dan Seribu Kelahiran



[Baca Bahagian Satu] Pada tengah hari itu, Raghavan Chatterjee menemui sesuatu yang lebih aneh daripada gagak bercakap: Isterinya langsung tidak terkejut apabila dia menceritakan apa yang berlaku.

Meenakshi Thenmozhi hanya memandangnya dari seberang meja makan sambil menyuap tose ke mulut. Kipas berputar perlahan, menggerakkan langsir yang sudah bertukar warna akibat panahan matahari.

“Gagak bercakap?”

“Ya.”

“Dengan suara lelaki?”

“Ya.”

“Dan dia kata nama dia Kakabhushundi?”

“Lebih kurang.”

Meena mengunyah perlahan.

“Tidur cukup?”

Raghavan memandang isterinya.

“Aku tidak bermimpi.”

“Aku tidak kata attan bermimpi.”

“Jangan senyum begitu.”

“Aku tidak senyum.”

“Kau sedang senyum.”

“Kerana muka attan tetap kelakar apabila serius.”

Raghavan mahu membantah, tetapi tidak jadi. Inilah Meena. Dia ada keupayaan untuk menghapuskan ketegangan dengan satu ayat biasa. Dia tidak membaca semua tulisan Raghavan tetapi dia tahu apabila suaminya terlalu lama berada di hadapan komputer. Dia juga tahu apabila Raghavan sedang menggunakan cerita untuk melarikan diri daripada sesuatu yang tidak mahu dihadapinya.

“Bawa aku tengok bulu itu,” katanya.

Raghavan mengambil bulu hitam dari meja sebaik mereka berada di dalam bilik kerja. Meena membelek.

“Bulu gagak.”

“Ya.”

“Tiada tulisan.”

Raghavan mengambil bulu berkenaan dari tangan isterinya. Aksara Tamil masih ada: Jangan tulis apa yang engkau mahu kekalkan. Tulislah apa yang sudah mula hilang.

“Tak ada apa-apa pun.”

Meena memandang suaminya. Raghavan tidak menjawab.

Petang itu, dia pergi ke perpustakaan peribadi di bilik sebelah. Rak paling tinggi mengandungi buku-buku yang jarang disentuh. Dia menarik keluar The Ramayana of Tulasidasa edisi Motilal Banarsidass yang diterbitkan pada tahun 1987, lalu membuka bahagian yang berkaitan dengan watak Kakabhushundi.

Dia membaca dengan perlahan dan teliti. Kakabhushundi bukan sekadar saksi. Dia sendiri mempunyai sejarah yang penuh percanggahan. Dalam riwayat yang masyhur, dia pernah menjadi manusia yang sombong, keras hati, dan tidak menghormati gurunya. Kutukan membawa perubahan yang tidak dapat dielakkan. Namun, akhirnya dia menjadi pemuja Rama yang teguh.

Raghavan berhenti pada satu bahagian: Kakabhushundi melihat Rama kecil. Kemudian sesuatu berlaku. Rama mengejarnya. Gagak itu melarikan diri. Ia pergi semakin jauh. Ayodhya ditinggalkan. Dunia ditinggalkan. Brahmaloka pun ditinggalkan.

Namun, jarak antara tangan Rama dan Kakabhushundi tidak berubah!

Akhirnya, gagak itu kembali. Dan di dalam tubuh Rama, ia melihat alam semesta. Bukan satu tetapi banyak. Setiap alam mempunyai Ayodhya. Setiap alam mempunyai Rama. Setiap alam mempunyai kisah.

Dan dalam salah satu alam itu, Kakabhushundi juga wujud.

Raghavan menutup buku. Dia bangun dan berjalan ke tingkap. Di luar terdapat kebun kecil. Pokok moringa di belakang rumah sudah terlalu tinggi. Sebuah motosikal jiran diletakkan di bawah bumbung. Dua ekor kucing tidur di atas kereta.


[Baca juga—Rumah yang Menyimpan Bayang]


Seekor gagak hinggap pada pagar.

“Kalau engkau Kakabhushundi,” kata Raghavan secara spontan, “aku ada soalan.”

Gagak itu tidak bergerak.

“Kenapa Rama perlu mempunyai begitu banyak alam?”

“Kenapa manusia perlu mempunyai begitu banyak cerita?” tanya sang gagak.

“Engkau sedang cuba mengelak.” Raghavan tersenyum.

“Tidak. Aku menjawab.”

“Jadi, setiap cerita itu benar?”

“Tidak,” jawab sang gagak.

“Setiap cerita itu palsu?”

“Tidak.”

“Jadi?”

“Setiap cerita ialah sebuah tingkap. Jangan marah kepada tingkap kerana ia tidak menunjukkan seluruh rumah.”

Raghavan membuka tingkap. Gagak itu terbang masuk.

“Aku membaca tentang engkau dalam Yoga Vasistha.”

“Tentang Bhusunda?”

“Ya.”

“Dia bukan aku.”

“Tapi dia juga gagak.”

“Ramai gagak,” kata sang gagak sambil paruh membentuk semacam senyuman.

“Dia juga hidup sangat lama.”

“Ramai manusia hidup lama dalam cerita.”

“Dia menyaksikan penciptaan dan kehancuran alam.”

“Begitu juga ramai manusia.”

Raghavan mengerutkan dahi.

“Engkau sengaja cuba mengelirukan aku.”

“Tidak. Aku sedang mengajar engkau membaca.”

“Ini bukan kelas.” Raghavan tersenyum sinis.

“Bagi seorang penulis, semuanya kelas.” Gagak itu melompat ke meja. “Dalam Yoga Vasistha, Bhusunda ialah saksi kepada perubahan kosmos. Dalam kisah Kakabhushundi, gagak itu menyaksikan pelbagai bentuk Rama. Dalam tradisi Tamil, nama Kagapujandar membawa bayangan seorang Siddhar yang melampaui batas masa.”

Raghavan mendengar dengan teliti sebelum mengemukakan pertanyaan susulan.

“Jadi, engkau?”

“Kenapa engkau mahu sangat tahu?”

“Kerana aku mahu menulis tentang engkau.”

“Tidak,” balas sang gagak.

“Apa?”

“Jangan tulis tentang aku.”

“Kenapa?”

“Tulis tentang apa yang aku lihat.”

“Dan apa yang engkau lihat?”

Gagak itu memandang ke luar. Raghavan menanti dengan penuh minat.

“Manusia yang perlahan-lahan berhenti mengingati.”

Raghavan terdiam. Tanpa menunggu, sang gagak terbang keluar melalui tingkap yang terbuka.

Pada sebelah malam, Raghavan menerima mesej daripada Arumugam Pillai. Dia ialah bekas pekerja ladang yang pernah ditemui tidak lama dahulu untuk satu projek dokumentasi. Warga emas itu bersuara kasar, suka ketawa kuat, dan mempunyai tabiat menyimpan keratan akhbar di dalam beg plastik.

“Thambi, tolong datang. Ada buku untuk kamu.”

Raghavan menaip balasan: “Esok saya datang.”

Jawapan datang beberapa saat kemudian.

“Jangan tunggu sehingga esok.”

Raghavan terus menelefon Arumugam. Tiada jawapan. Dia menelefon lagi. Tiada jawapan.

Meena memandangnya dari ruang tamu.

“Pergilah terus ke rumahnya.”

“Sekarang?” Raghavan tidak pasti.

“Bukankah tadi gagak itu kata, attan perlu menulis apa yang hilang?”

Raghavan mencapai kunci kereta. Sebelum keluar, dia memandang tingkap. Gagak itu masih di situ.

“Esok?” tanya Raghavan.

Gagak itu memandangnya.

“Esok yang mana?”

Kemudian, semua lampu rumah jiran padam serentak. Bersambung pada 29 September 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 26-31 Ogos 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan karya-karya klasik India, khususnya berkaitan watak Kakabhushundi dalam Ramacharitmanas, Yoga Vasishtha, Ramayana, dan Mahabharata.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!