10 Jul 2026

Rumah yang Menyimpan Bayang – Bahagian Satu



Bahagian 1: Tiga Rumah, Satu Halaman

Pada petang itu, aku tiba ketika matahari mula terbenam di sebuah kolam hitam berlumpur. Cahaya terakhirnya jatuh di atas atap nipah yang sudah berusia, menjadikan tiga buah rumah kayu di hujung kampung kelihatan seperti tiga ekor kerbau tua yang sedang berehat selepas membajak sawah.

Mereka berdiri rapat di atas sebidang Tanah Rizab Melayu yang tidak terlalu luas tetapi cukup untuk memuatkan tiga keluarga, tujuh belas manusia, dua puluh satu pasang kasut di tangga, dan rahsia yang mungkin lebih banyak daripada daun kering di bawah pokok rambutan.

Untuk makluman anda, aku tidak pernah percaya pada papan tanda. Manusia suka menulis pada papan tanda, perkara yang mereka mahu orang lain percaya: Keluarga Bahagia. Rumah Contoh. Jiran Sepakat. Selamat Datang.

Tetapi aku sudah lama belajar bahawa sesuatu yang terlalu kuat melaung dan mempromosi kebaikan, biasanya sedang cuba menutup sesuatu yang berbau kurang menyenangkan.

Malah, bau rumah itu sampai dahulu ke hidung sebelum aku melihatnya. Bau nasi yang baru masak. Bau ikan masin yang sedang digoreng. Bau tanah yang basah selepas disiram. Bau kayu lama yang menyimpan cerita puluhan tahun.

Tetapi di celah semua bau yang menyenangkan itu, ada juga bau yang sukar aku jelaskan. Bau seperti kain yang dijemur tetapi masih menyimpan kesan air mani kering yang tidak hilang selepas dibasuh tangan-tangan kecil.

Aku berhenti di bawah pokok mangga berhampiran pagar dan memandang keliling. Rumah pertama menghadap jalan besar. Rumah kedua sedikit ke belakang, disambungkan oleh jambatan kayu kecil. Rumah ketiga paling hujung, hampir terlindung oleh pokok pisang dan pokok bunga kertas yang tumbuh liar.

Ketiga-tiga rumah itu dibina oleh seorang lelaki tua bernama Haji Salleh. Demikian kata orang kampung. Seorang yang dahulu bekerja kuat, membesarkan anak-anak, dan mahu semua keturunannya tinggal bersama sebagai keluarga besar.

"Itulah keluarga yang patut dicontohi."

Demikian aku terdengar seorang penduduk kampung memberitahu rakannya. Terus terang, aku tidak faham kenapa manusia selalu suka menjadikan sesuatu sebagai contoh. Mereka amat suka mengambil sebuah rumah, sebuah keluarga, seorang pemimpin, seorang guru, seorang tokoh, lalu meletakkannya di atas rak tinggi supaya semua orang boleh melihat.

Masalahnya, rak yang tinggi juga tempat paling mudah untuk jatuh. Macam kes tokoh sastera dan bekas pegawai tinggi institusi sastera yang diberi pelbagai anugerah dan diundang menjadi penceramah, akhirnya pecah rahsia dia melakukan gangguan seksual secara maya terhadap penulis wanita yang sepatutnya dia bimbing dalam bidang penulisan.

Aku perhatikan, halaman rumah sudah dipenuhi manusia. Ada Mak Timah, perempuan tua yang rambutnya putih seperti kapas tercabut dari bantal lama. Dia duduk di kerusi rotan sambil mengupas kacang tanah. Jari bergerak perlahan tetapi bibir bergerak lebih laju daripada paruh burung murai.

"Manusia tua bukan bermakna lambat," katanya kepada cucu.

Aku tidak tahu mengapa dia bercakap dengan cucunya yang sedang leka bermain telefon dan tidak mendengar apa-apa yang diceritakan.

Tetapi aku mendengar. Aku selalu mendengar.

Itulah kelebihan aku. Manusia bercakap apabila mereka fikir tiada siapa mendengar. Mereka lupa bahawa dinding mempunyai telinga, pokok mempunyai mata, dan makhluk kecil seperti aku mempunyai masa yang terlalu banyak.


[Sokong penulis swaterbit. Semak senarai buku saya]


Di halaman rumah juga ada Rahman, anak sulung keluarga tersebut. Lelaki berumur hampir lima puluh tahun yang selalu memakai baju Melayu walaupun pada hari biasa. Janggut sejemput sentiasa kemas. Rambut sentiasa disikat. Langkah sentiasa perlahan seperti seorang raja yang takut sepatu menjadi kotor.

Penduduk kampung ternyata suka kepadanya.

“Rahman tu orangnya berprinsip,” kata mereka.

Aku selalu hairan dengan perkataan itu. Manusia suka kepada orang yang mempunyai prinsip tetapi mereka jarang bertanya, prinsip itu digunakan untuk apa. Pisau juga ada prinsip. Ia tajam. Api juga ada prinsip. Ia membakar.

Rumah kedua dihuni oleh keluarga Salmah, adik Rahman. Dia seorang perempuan yang terkenal kerana suka membantu orang. Kalau ada kenduri, dia datang paling awal. Kalau ada kematian, dia membawa makanan. Kalau ada jiran sakit, dia menghantar bubur.

"Salmah ni hati emas," kata orang kampung.

Aku pernah melihat hati emas milik manusia. Biasanya ia berat untuk dibawa.

Salmah ada lima orang anak. Anak-anaknya membesar di rumah yang sentiasa bising. Ada bunyi televisyen. Ada bunyi pinggan. Ada bunyi pintu ditutup kuat. Ada bunyi orang ketawa. Ada juga bunyi orang menangis yang cepat-cepat dihentikan.

Tetapi manusia mempunyai satu kebolehan yang mengagumkan. Mereka boleh menghasilkan banyak bunyi tetapi tetap tidak mendengar apa-apa.

Rumah ketiga paling sunyi. Di situ tinggal Zulkifli, anak bongsu Haji Salleh. Dia jarang bercakap. Penduduk kampung mengatakan, dia seorang yang pendiam dan berfikiran jauh.

Aku tidak pasti. Kadang-kadang, orang diam kerana bijaksana. Kadang-kadang, orang diam kerana tidak mahu orang lain tahu apa yang ada dalam kepala.

Di belakang rumah Zulkifli ada sebuah stor kecil. Pintunya selalu berkunci. Aku pernah cuba menghidu dari celah bawah pintu, tetapi hanya mendapat bau kayu reput, minyak tanah, dan sesuatu yang mengingatkan aku kepada ketakutan.

Ya. Anda tidak tahu? Ketakutan juga ada bau. Manusia tidak tahu perkara itu kerana hidung mereka terlalu sibuk mencari bau makanan.

Menjelang waktu maghrib, seorang budak lelaki keluar membawa semangkuk nasi. Dia nampak aku duduk di bawah pokok.

“Mahu makan?”

Aku tidak menjawab. Bukan kerana aku sombong. Aku cuma sudah lama belajar bahawa manusia akan terkejut apabila haiwan bercakap. Mereka boleh menerima banyak perkara pelik dalam hidup tetapi apabila seekor binatang membuka mulut dan berkata sesuatu yang benar, mereka akan memanggilnya sebagai mustahil.

Budak itu tetap meletakkan mangkuk berhampiranku.

"Ibu pesan, jangan bagi banyak. Nanti awak datang lagi."

Aku memandangnya. Dia ketawa kecil.

"Macam awak faham pula."

Ya, aku faham. Aku faham lebih banyak daripada apa yang mereka sangka. Namun, aku tetap memilih untuk pura-pura tidak faham.

Aku makan perlahan-lahan. Nasi itu dicampur ikan goreng dan sedikit kuah kari. Rasanya sederhana sahaja tetapi ada sesuatu yang membuatkan aku teringat kepada tempat-tempat lama yang pernah aku tinggalkan.

Sambil makan, aku kembali melihat rumah-rumah yang dibina di atas tanah lot itu. Tiga rumah. Satu halaman. Banyak manusia. Terlalu banyak cerita. Aku belum tahu bahawa dalam masa beberapa jam lagi, rumah yang kelihatan paling kukuh itu akan mula menunjukkan retaknya.

Aku belum tahu bahawa manusia yang paling kuat menjerit tentang maruah keluarga kadangkala orang pertama yang menjatuhkannya. Aku belum tahu bahawa rahsia bukan seperti tikus yang boleh dibunuh dengan satu gigitan.

Sebaliknya, rahsia umpama lipas. Ia boleh bersembunyi bertahun-tahun dalam gelap, kemudian keluar apabila lampu dinyalakan.

Dan pada malam ini, seseorang akan menyalakan lampu. Bukan manusia. Bukan juga aku. Tetapi rumah itu sendiri. – Bersambung pada 17 Julai 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 9-10 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!