17 Jul 2026

Rumah yang Menyimpan Bayang – Bahagian Dua



Bahagian 2: Burung Gagak yang Membawa Cermin

[Baca – Bahagian Satu] Malam turun perlahan-lahan seperti kain hitam yang ditarik dari hujung langit. Bunyi cengkerik memenuhi halaman tiga rumah itu. Dari jauh kedengaran suara televisyen dari rumah jiran, bunyi motosikal melalui jalan kampung, dan sekali-sekala bunyi anjing menyalak kepada sesuatu yang tidak kelihatan.

Aku selalu tertanya-tanya mengapa manusia takut kepada bunyi anjing menyalak. Mereka fikir anjing sedang melihat hantu. Mereka lupa bahawa manusia sendiri lebih pandai menyembunyikan perkara yang menakutkan.

Aku masih berada di bawah rumah kayu. Sebenarnya, aku sudah biasa berpindah-randah. Ada malam, aku tidur di bawah kereta buruk. Ada malam, aku berlindung di belakang kedai makan. Ada malam, aku berkongsi tempat dengan tikus yang terlalu gemuk untuk mengejar aku.

Tetapi rumah ini berbeza. Rumah ini memanggil. Tetapi bukan dengan suara.

Rumah lama tidak memerlukan mulut. Kayu yang mengembang ketika malam sejuk, lantai yang berbunyi apabila dipijak, tingkap yang bergetar apabila angin datang, semuanya mempunyai bahasa sendiri.

Manusia membaca buku untuk mencari cerita. Aku pula membaca rumah.

Selepas makan malam, keluarga itu berkumpul di serambi rumah pertama. Itulah kebiasaan mereka pada setiap malam. Duduk bersama, minum teh O, bercakap tentang jiran, tentang harga barang, tentang politik, tentang anak-anak, tentang betapa susahnya dunia sekarang.

Manusia selalu berkata dunia semakin teruk. Aku tidak pernah faham. Dunia yang sama juga memberi mereka hujan untuk diminum, tanah untuk berpijak, pokok untuk berteduh, dan ikan untuk digoreng.

Mungkin apa yang berubah bukan dunia. Mungkin apa yang sebenarnya berubah ialah hati manusia.

“Aku rasa, zaman sekarang anak-anak muda sudah lain,” kata Rahman sambil memegang cawan kopi O.

“Betul,” jawab Salmah. “Dulu, kita takut orang tua. Sekarang, anak-anak banyak bertanya.”

Mak Timah yang sedang mengupas kacang tanah hanya tersenyum.

“Ayam yang terlalu banyak belajar terbang, kadang-kadang lupa cari sarang.”

Semua diam mendengar kata-kata Mak Timah.

Aku suka perempuan tua ini. Dia bercakap seperti orang yang menyimpan pisau di dalam kain. Tidak kelihatan, tetapi tajam. Namun begitu, aku perasan sesuatu. Setiap kali Mak Timah bercakap tentang ayam, burung, atau binatang, semua orang ketawa. Mereka menganggap ia sekadar peribahasa orang lama.

Manusia selalu lupa bahawa peribahasa wujud kerana manusia pernah melakukan perkara bodoh yang sama berulang kali.

Di hujung serambi, seorang pemuda bernama Amir duduk bermain telefon bimbit. Umur sekitar dua puluh lima tahun. Rambut sedikit panjang. Dia selalu memakai baju hitam.

Penduduk kampung mengatakan dia terlalu moden. Aku tidak faham perkataan itu. Apakah moden bermaksud memakai pakaian berbeza? Atau bermaksud manusia mula percaya bahawa semua keinginan hati mesti dipenuhi?

Aku pernah melihat seekor anak kucing mengejar ekor sendiri. Dia berlari berpusing-pusing sehingga jatuh. Manusia juga begitu. Mereka mengejar sesuatu yang mereka panggil kebebasan, tetapi kadangkala mereka hanya mengejar bayangan sendiri.

“Apa yang kau tengok?” tanya Rahman.

“Video.”

“Video apa?”

“Orang bercakap,” jawab Amir sambil mengangkat bahu.

“Itulah masalah sekarang.” Rahman menggeleng. “Semua orang mahu bercakap.”

Aku memandang Rahman. Lucu. Manusia sering marah kerana orang lain bercakap, sedangkan mereka sendiri tidak pernah berhenti bercakap.

Malam semakin gelap. Seorang demi seorang masuk ke dalam rumah. Tetapi rumah tidak pernah benar-benar tidur. Itulah perkara pertama yang aku pelajari tentang manusia. Mereka boleh menutup pintu tetapi tidak boleh menutup fikiran.

Dari bawah rumah, aku mendengar suara perlahan dari bilik belakang. Suara seorang lelaki. Kemudian, suara seorang perempuan. Kemudian senyap.

Aku tidak tahu apa yang mereka katakan. Aku tidak mahu tahu. Ada perkara yang lebih baik dibiarkan menjadi bayang.

Namun, beberapa ketika kemudian, aku terdengar bunyi benda jatuh. Kemudian, tangisan kecil. Bukan tangisan orang dewasa. Tangisan yang cuba disembunyikan.


[Sokonglah penulis swaterbit. Semak senarai buku saya]


Aku mengangkat kepala. Angin malam bergerak melalui celah papan. Pada ketika itu, seekor burung gagak hinggap di atas pokok rambutan. Burung itu memandang aku.

“Jangan masuk campur urusan manusia,” pesannya.

Aku terkejut. Bukan kerana burung itu bercakap. Aku sudah biasa mendengar banyak perkara pelik. Aku terkejut kerana dia bercakap dalam bahasa manusia.

“Aku tidak masuk campur,” jawabku.

“Semua makhluk yang berkata begitu, akhirnya masuk campur.” Burung gagak ketawa.

“Apa yang kau tahu tentang rumah ini?” Aku cuba mengorek cerita.

Burung gagak membersihkan bulunya.

“Aku tahu rumah yang terlalu banyak cermin biasanya tidak suka melihat wajah sendiri.”

“Apa maksud kau?” Aku memandang tiga rumah itu.

“Manusia di sini suka melihat orang lain. Mereka tahu siapa jiran yang bercerai. Siapa yang miskin. Siapa yang gagal. Siapa yang memalukan keluarga.” Burung gagak berhenti seketika sebelum menyambung: “Tetapi mereka jarang melihat diri sendiri.”

Aku diam. Aku cuba mencerna maksud kata-katanya.

“Kenapa kau tinggal di sini?” tanya burung itu pula.

Aku tidak menjawab. Soalan itu terlalu sukar. Sebenarnya, aku sendiri tidak tahu! Ada tempat yang kita pilih. Ada pula tempat yang memilih kita.

Lewat malam, hujan turun. Aku berlindung di bawah tangga rumah kedua. Dari situ, aku melihat satu perkara yang aneh. Bayang-bayang manusia di dalam rumah bergerak lebih lambat daripada tubuh mereka.

Aku memerhati lama. Seorang lelaki berjalan ke dapur. Bayangnya masih duduk. Seorang perempuan menutup langsir. Bayangnya masih membuka tingkap.

Aku menggosok mata. Mungkin aku penat. Mungkin aku lapar. Mungkin hujan malam membuatkan semua perkara kelihatan ganjil.

Tetapi aku tahu satu perkara: Bayang tidak pernah menipu. Bayang hanya menunjukkan perkara yang manusia cuba sembunyikan.

Pada sebelah pagi, sebelum matahari naik semula dari dalam kolam berlumpur, sesuatu berlaku. Seorang wanita tua dari rumah jiran datang membawa dulang kuih. Namanya Mak Jah. Dia terkenal sebagai orang yang paling tahu berita kampung.

Anda pun tentu tahu, manusia seperti itu wujud di setiap tempat. Kalau ada ayam hilang, dia tahu. Kalau ada pokok tumbang, dia tahu. Kalau ada orang menyimpan rahsia, dia mungkin tahu lebih awal daripada orang yang menyimpan rahsia itu sendiri!

“Rumah ni memang bertuah,” katanya kepada Salmah.

“Kenapa?”

“Ramai orang baik tinggal di sini.”

Salmah tersenyum. Aku melihat senyuman itu. Senyuman manusia memang sangat menarik. Ada senyuman yang lahir daripada kegembiraan. Ada senyuman yang lahir daripada kesopanan. Ada juga senyuman yang digunakan seperti pintu berkunci.

“Orang kata keluarga besar macam ni susah dijaga. Tapi kamu semua lain,” Mak Jah meneruskan.

Rahman yang baru keluar dari rumah tersenyum bangga.

“Biasalah. Kalau kita jaga nilai keluarga, insya-allah semuanya baik.”

Aku memandang ke arah burung gagak di dahan pokok. Dia sedang melihat aku. Kemudian, dia melihat ke arah rumah.

“Pokok yang paling tinggi selalu menarik perhatian kilat,” dia berkata perlahan.

Aku mula memahami sesuatu. Rumah ini bukan sekadar menyimpan manusia. Rumah ini turut menyimpan cerita. Dan setiap cerita yang terlalu lama disimpan akan mencari jalan untuk keluar. Seperti air di dalam tempayan yang retak. Seperti asap dari dapur yang tertutup.

Seperti kucing jalanan yang akhirnya akan membuka mata manusia kepada perkara yang mereka tidak mahu lihat.

Aku cuma belum tahu bahawa dalam masa beberapa jam lagi, seluruh kampung akan mula bercakap tentang rumah ini. Dan apabila mereka bercakap nanti, mereka tidak akan menyebut namaku. Mereka bahkan tidak tahu aku wujud.

Mereka tidak tahu bahawa selama ini ada sepasang mata kecil yang melihat. Ada telinga kecil yang mendengar. Bahasa ada makhluk kecil yang lebih mengenali manusia daripada manusia mengenali diri mereka sendiri. – Bersambung pada 24 Julai 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 9-10 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!