Bahagian 3: Bayang yang Mengeong
[Baca – Bahagian Dua] Aku pernah melihat manusia menangis kerana
kehilangan wang. Aku pernah juga melihat manusia menangis kerana kehilangan
orang yang mereka sayang.
Tetapi tangisan yang paling pelik ialah tangisan manusia yang kehilangan
wajah sendiri.
Pagi ini, selepas hujan malam berhenti, halaman ketiga-tiga buah rumah di
Tanah Rizab Melayu kelihatan bersih. Daun-daun yang gugur sudah melekat pada
tanah. Air masih menitis dari hujung atap. Bau tanah basah naik seperti
kenangan lama apabila dibelai sinar matahari.
Aku duduk di atas tembok rendah berhampiran pagar. Dari situ, aku
melihat manusia keluar masuk seperti semut yang sarangnya diserang tedung
berniat mengambil alih kediaman mereka.
Rahman berjalan cepat sambil memegang telefon. Salmah bercakap dengan
seseorang di dapur. Amir berdiri di bawah pokok rambutan sambil melihat ke arah
rumah; umpama pelakon drama Melayu yang terlupa dialog.
Mak Timah pula masih mengupas kacang tanah. Perempuan tua itu tidak
pernah tergesa-gesa mahupun terkesan oleh apa-apa. Mungkin kerana dia sudah
melihat terlalu banyak perkara dalam hidup.
“Ada sesuatu berlaku,” kata burung gagak yang hinggap di atas pagar.
“Aku tahu.”
“Bagaimana kau tahu?”
Aku memandangnya. Aku mengangkat bahu.
Aku tidak mahu memberitahunya bahawa aku boleh menghidu perubahan dalam
rumah itu. Aku boleh menghidu apabila manusia menyimpan marah. Aku boleh
menghidu apabila seseorang pulang membawa ketakutan. Aku boleh menghidu apabila
seseorang bercakap benar tetapi matanya meminta maaf.
Manusia menggunakan perkataan. Kami menggunakan bau. Itulah sebabnya
manusia selalu terlambat memahami sesuatu. Mereka terlalu sibuk mendengar
suara. Mereka lupa mendengar udara.
Menjelang tengah hari, sesuatu berlaku, membuatkan seluruh rumah menjadi
senyap. Seorang lelaki dari kampung sebelah datang. Kalau anda mahu tahu, namanya
Pak Karim.
Dia bukanlah watak penting dalam cerita ini. Dia bukan ketua kampung. Dia
bukannya orang berkuasa politik. Dia juga bukan orang kaya. Tetapi kadangkala
kebenaran tidak datang memakai baju mahal. Kadangkala ia datang memakai selipar
lusuh dan baju yang sudah pudar.
“Saya perlu bercakap dengan kamu semua,” kata Pak Karim dari halaman
rumah.
Rahman keluar dahulu.
“Ada apa?”
Pak Karim melihat sekeliling. Kemudian, dia memandang ketiga-tiga rumah tradisional
Melayu yang berdiri gah.
“Rumah besar tidak semestinya hati besar,” katanya.
“Apa maksud pak cik?” Rahman mengerutkan dahi.
Pak Karim tidak menjawab. Dia hanya menyerahkan satu sampul surat. Aku nampak
tangan Rahman bergetar sedikit. Sedikit sahaja. Tetapi aku nampak.
Manusia selalu fikir ketakutan perlu datang seperti ribut. Sebenarnya tidak.
Kadangkala, ketakutan hanya datang sebagai jari yang berhenti bergerak.
Menjelang petang, suasana rumah sudah berubah. Tiada lagi suara ketawa. Tiada
lagi cerita dan gosip tentang jiran. Tiada lagi perbincangan tentang harga
barang. Bunyi sudu berlaga dengan cawan pun kedengaran seperti pedang di medan Perang
Uhud.
Aku berjalan di bawah rumah pertama. Kemudian, aku terdengar sesuatu.
“Kenapa baru sekarang?” Suara Salmah.
“Kalau dulu kita buka mulut, keluarga ini hancur.” Suara Rahman.
Aku berhenti. Keluarga. Perkataan itu selalu membuatkan manusia
keliru. Mereka fikir, keluarga bermaksud mempertahankan semua perkara. Padahal
kadangkala keluarga bermaksud berani menghentikan perkara yang salah.
Seekor ibu kucing, misalnya, tidak akan membiarkan anaknya bermain dekat
api. Dia akan menggigit tengkuk anak itu dan menariknya pergi. Manusia pula
kadangkala membiarkan anaknya mendekati api kerana takut orang lain melihat
mereka gagal menjaga anak.
[Sokonglah penulis swaterbit. Semak senarai buku saya]
Ketika matahari hampir tenggelam dan masuk berehat di dalam kolam
berlumpur, seorang kanak-kanak datang ke halaman. Dia budak yang memberiku nasi
pada malam pertama. Anda masih ingat? Namanya Adam. Dia duduk berhampiran
denganku.
“Aku rasa semua orang marah.”
Aku diam; membiarkan Adam bercakap.
“Kenapa orang dewasa selalu cakap semuanya baik walaupun tidak?”
Aku mahu menjawab. Tetapi sebelum sempat aku berbuat demikian, Adam
mengangkat aku.
Ya! Pada waktu itu, untuk pertama kali, manusia melihat aku bukan lagi sebagai
bayang.
Adam mengangkat tubuhku. Dia menyentuh buluku yang basah sedikit terkena
embun.
“Kau selalu ada dekat sini,” katanya. “Kau tentu tengok sendiri.”
Aku memandang wajahnya. Tentulah dia tidak tahu. Tidak tahu bahawa aku
telah melihat lebih banyak daripada yang dia sangka. Tidak tahu bahawa aku
telah mendengar nama-nama yang hanya disebut secara berbisik oleh penghuni
ketiga-tiga rumah ini.
Tidak tahu bahawa aku telah menyaksikan manusia membuat keputusan yang
lebih kejam daripada binatang liar.
Ketika itulah aku sedar sesuatu: Rahsia terbesar rumah ini bukanlah apa
yang berlaku di dalamnya. Rahsia terbesar adalah hakikat bahawa semua orang
sebenarnya sudah tahu rahsia itu. Mereka cuma memilih untuk tidak melihat.
Aku bukan manusia. Sudah tiba masanya aku mengakui perkara itu—walaupun aku
percaya, anda sudah pun tahu sejak awal.
Aku tidak mempunyai nama seperti mereka (manusia). Mereka memanggil aku
dengan pelbagai nama. Memang manusia suka memberi nama kepada sesuatu yang
mereka tidak faham.
Aku lahir di belakang sebuah pondok buruk di pinggir hutan. Ibu mengajar
aku tiga perkara sebelum dia hilang pada suatu malam. Pertama, cari tempat
kering untuk berteduh ketika hujan. Kedua, jangan percaya mangkuk makanan dan
minuman yang terlalu penuh. Dan ketiga, jangan menetap di mana-mana tempat di
mana semua orang mula memuji engkau.
Aku tidak pernah memahami perkara terakhir itu. Sehinggalah aku sampai
ke rumah ini.
Pada malam ketiga aku di sini, aku bermimpi. Dalam mimpi itu,
rumah-rumah kayu tersebut berubah menjadi tiga ekor burung besar. Rumah pertama
mempunyai sayap emas tetapi kakinya (burung itu) terikat. Rumah kedua mempunyai
banyak mata tetapi semuanya tertutup. Rumah ketiga tidak mempunyai pintu.
Seekor burung tua datang kepadaku dalam mimpi itu.
“Kenapa rumah-rumah ini tidak terbang?”
“Kerana mereka fikir, beban di kaki mereka ialah mahkota,” aku menjawab
selamba.
Burung tua ketawa.
“Bagus. Kau sudah mula memahami manusia.”
Aku terjaga sebelum azan subuh. Bulu aku berdiri di segenap
tubuh. Bukan kerana sejuk tetapi kerana aku tahu sesuatu akan berlaku.
Apabila manusia terlalu lama menyimpan rahsia, rahsia itu akan mula
mencari jalan sendiri. Kadangkala melalui mulut. Kadangkala melalui air mata. Kadangkala
melalui makhluk yang secara tidak sengaja memilih halaman yang salah untuk
tidur selama tiga malam berturut-turut.
Dan pada sebelah pagi, kampung ini akan mula mendengar bunyi pertama
daripada rumah yang selama ini dianggap sempurna. Bukan bunyi pintu. Bukan
bunyi tingkap. Bukan bunyi memasak di dapur. Tetapi bunyi sesuatu yang retak
menanti belah. – Bersambung pada 31 Julai
2026
(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 9-10 Julai 2026 sebagai
sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan
secara bersiri di blog.)


No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!