Bahagian 4: Hikayat Musang Menjadi Penjaga Reban
[Baca – Bahagian Tiga] Pagi datang tanpa meminta izin. Itulah
sifat pagi. Ia tidak peduli siapa tidur lena, siapa sedang menyembunyikan
sesuatu, atau siapa masih mahu hidup dalam cerita semalam. Matahari tetap naik.
Ayam tetap berkokok. Kedai kopi tetap membuka pintu.
Tetapi aku tahu sesuatu telah berubah. Rumah itu tidak lagi sama. Kayunya
masih sama. Tangga masih sama. Pokok rambutan masih sama. Malah, tahi cicak di
dinding pun masih berada di tempat sama.
Namun, ada perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata. Umpamanya, bau
hujan sebelum awan muncul. Misalnya, rasa takut sebelum seseorang mengaku
takut. Contohnya, retak pada tempayan yang belum mengeluarkan air.
Aku duduk di bawah kerusi rotan Mak Timah sambil melihat manusia
berkumpul di halaman. Kali ini bukan untuk minum petang, kenduri, mahupun meraikan
kejayaan seseorang.
Mereka berkumpul kerana manusia ada satu kelemahan yang pelik. Mereka
lebih cepat berkumpul apabila ada masalah berbanding apabila ada kebahagiaan.
Kebahagiaan sering membuat orang iri hati, manakala masalah membuat
orang rasa mereka tidak keseorangan lagi.
“Jangan biarkan orang kampung tahu dulu.”
Itu ayat pertama yang aku dengar. Rahman berdiri di tengah ruang tamu.
Wajahnya masih kemas seperti biasa, tetapi ada sesuatu yang hilang.
Keyakinan. Ya, keyakinan dalam dirinya.
Manusia selalu fikir keyakinan adalah sesuatu yang mereka miliki. Sebenarnya,
keyakinan umpama cahaya lampu; kelihatan lebih jelas ketika malam gelap. Tetapi
apabila matahari terbit, barulah kita tahu sama ada cahaya itu benar-benar ada
atau hanya bayangan.
“Kalau kita diam, keadaan mungkin reda,” kata seseorang dari belakang.
Mak Timah yang duduk di hujung ruang hanya menggeleng.
“Dulu orang tua-tua kata, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru,”
ulasnya.
Semua terdiam. Aku suka peribahasa manusia. Kadangkala ia lebih jujur berbanding
manusia yang mengucapkannya.
Di belakang rumah, seekor ayam putih berjalan perlahan-lahan. Aku kenal
ayam itu. Namanya tidak diketahui manusia tetapi aku menamakannya Sang Putih. Dia
selalu percaya dirinya lebih penting daripada ayam-ayam lain kerana bulunya
bersih.
“Aku ayam istimewa,” katanya kepada ayam-ayam lain.
Aku pernah mendengar dia bercakap. Jangan terkejut. Di kawasan kampung,
semua makhluk ada cerita tersendiri. Cuma manusia terlalu sibuk bercakap
tentang diri sendiri sehingga mereka tidak mendengar makhluk lain.
Sang Putih suka duduk berhampiran reban.
“Aku menjaga telur-telur ini,” katanya.
“Kau menjaga atau kau memiliki?”
Aku memandangnya. Dia tidak menjawab. Mungkin soalan itu terlalu sukar
untuk seekor ayam. Dan terlalu sukar juga untuk manusia.
Menjelang tengah hari, berita mula tersebar. Bukan melalui surat atau televisyen,
tetapi melalui mulut. Aku sudah sedar: Mulut manusia adalah burung paling
pantas di dunia. Ia boleh terbang lebih jauh daripada helang. Ia boleh membawa
benda yang benar dan ia juga boleh membawa benda yang sudah berubah bentuk.
Di kedai kopi, orang mula bercakap. Di suraukas, orang mula
bercakap. Di pasar pun, orang mula bercakap. Semua orang bercakap tentang rumah
itu. Rumah yang selama ini dipuji. Rumah yang selama ini dijadikan contoh. Rumah
yang selama ini disebut sebagai bukti bahawa keluarga besar masih boleh hidup
bersama.
Aku melihat dari jauh. Lucu! Manusia suka membina patung, kemudian
mereka marah apabila patung itu pecah.
Pada sebelah petang, Adam datang mencari aku. Dia duduk di tangga.
“Aku dengar orang bercakap,” katanya.
Aku mendekati dan dia mengusap kepalaku.
“Betulkah orang dewasa selalu tahu apa yang betul?” Adam bertanya.
Aku menutup mata. Soalan seorang kanak-kanak selalu lebih tajam daripada
soalan orang dewasa. Ya, kerana kanak-kanak belum belajar bagaimana untuk
menyembunyikan maksud.
Aku pernah melihat manusia dewasa menghabiskan masa sejam bercakap tanpa
menjawab walau satu soalan mudah. Kanak-kanak pula hanya perlu ditanya sekali
dan mereka akan menjawab dengan mudah.
[Lihat
senarai buku Uthaya Sankar SB]
Pada sebelah malam itu, berlaku perkara yang tidak pernah aku lihat
sebelum ini. Rumah-rumah mula bercakap. Bukan dalam bahasa manusia tetapi dalam
bahasa kayu, bahasa angin, dan bahasa kenangan.
“Aku sudah terlalu lama membawa berat,” rumah pertama mengeluh.
“Aku menyimpan terlalu banyak tangisan,” rumah kedua berbisik.
“Aku menyimpan benda yang manusia sendiri takut melihat,” rumah ketiga
berkata perlahan.
Segera aku berdiri di halaman. Bulu tengkuk naik. Aku sudah melihat
banyak perkara pelik di sini. Aku pernah melihat burung berbual dengan bulan. Aku
pernah melihat bayang manusia berjalan tanpa tuan. Tetapi mendengar rumah
mengaku penat adalah sesuatu yang baharu.
“Kamu semua adalah rumah,” kataku. “Kenapa kamu tidak berhenti
menyimpan?”
Rumah itu diam; lama. Kemudian rumah pertama menjawab: “Kerana manusia
membina rumah untuk menyimpan.”
“Barang?”
“Kenangan.”
“Rahsia?” Aku bertanya lagi.
“Juga.”
Aku teringat kata-kata ibuku dahulu: “Jangan tinggal di tempat yang
terlalu banyak pujian.”
Sewaktu kecil, aku fikir itu hanya kata-kata seekor kucing tua. Kini aku
faham. Pujian yang terlalu banyak kadangkala bukan bunga, sebaliknya ia kain
yang digunakan untuk menutup luka.
Pada keesokan hari, seorang lelaki tua muncul di halaman rumah. Aku
tidak pernah melihatnya sebelum ini. Dia membawa tongkat. Bajunya sederhana, kakinya
berlumpur, dan dia berjalan perlahan seperti seseorang yang tidak takut kepada
masa.
Aku mendapat tahu, namanya Tok Ayah Musa. Dia melihat tiga rumah itu. Kemudian,
dia memandang manusia yang berkumpul.
“Kenapa semua orang takut?”
Tiada siapa menjawab. Dia pula tersenyum.
“Musang yang menjaga reban akan marah apabila orang lain bertanya
tentang ayam yang hilang.”
Semua mata memandang Tok Ayah Musa. Aku melihat Rahman. Wajahnya
berubah. Sedikit tetapi cukup untk aku memahami perubahan yang berlaku.
“Dalam hikayat lama, raja yang baik bukan raja yang tidak pernah
melakukan kesalahan.” Tok Ayah Musa duduk di tangga. “Raja yang baik ialah raja
yang mampu membuka pintu istana apabila rakyat datang membawa kebenaran.”
Dia mengusap janggut.
“Tetapi manusia zaman sekarang pelik. Mereka lebih takut pintu terbuka
daripada takut rumah terbakar,” katanya penuh sinis.
Pada waktu malam, aku meninggalkan halaman itu sebentar. Aku pergi ke
tepi sungai. Air bergerak perlahan sambil melihat pantulan bulan pada permukaan
air yang tenang.
Satu makhluk memandang aku dari permukaan air. Aku hampir tidak
mengenalinya. Selama ini, aku fikir aku hanya pemerhati. Makhluk kecil yang
melihat manusia membuat kesilapan.
Tetapi mungkin aku juga mempunyai kesalahan. Mungkin aku melihat terlalu
lama, mendengar terlalu banyak, lalu tahu sesuatu yang tidak betul sedang
berlaku.
Tetapi aku hanya mampu menunggu. Menunggu manusia menyelesaika sendiri
masalah itu.
Mungkin ini juga satu bentuk kelemahan diriku. Umpama seekor kucing yang
melihat tikus masuk ke dalam rumah tetapi tidak mengejar kerana terlalu malas.
Atau penjaga yang diam ketika pintu terbuka.
Aku pulang semula ke rumah itu sebelum tengah malam. Namun, ketika aku
sampai, aku melihat sesuatu yang membuatkan langkahku berhenti. Pintu stor
belakang rumah ketiga terbuka. Selama ini, pintu itu sentiasa berkunci.
Di dalamnya gelap. Terlalu gelap. Tetapi dari dalam stor itu keluar satu
bau yang aku kenal. Bau ketakutan. Dan pada kali ini, ia bukan bau ketakutan
seorang manusia. Sebaliknya, bau ketakutan sebuah keluarga yang akhirnya sedar
bahawa mereka tidak boleh lagi menyimpan semua bayang di dalam rumah.
Aku melangkah masuk. Di belakangku, bulan terus bersinar. Di hadapan,
kegelapan menunggu. Dan aku tahu, cerita sebenar baru sahaja bermula. – Bersambung pada 7 Ogos 2026


No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!