15 Sept 2026

Bahagian Satu: Kakabhushundi, Gagak di Atas Manuskrip



Gagak itu sudah berada di dalam bilik sebelum Raghavan Chatterjee membuka pintu.

Dia cukup pasti kerana tingkap masih berkunci dari dalam, pintu bilik kerja juga berkunci, dan seekor gagak biasa tidak mungkin boleh masuk tanpa membuat sekurang-kurangnya sedikit bunyi.

Namun, burung itu sedang berdiri dengan tenang di sisi manuskrip yang baru sahaja diconteng dan dikoyak; seolah-olah ia pemilik meja tersebut dan Raghavan pula tetamu yang datang tanpa diundang.

Raghavan berhenti di muka pintu.

Lelaki itu berusia hampir lima puluh tahun dan rambutnya hitam dengan sedikit uban di pelipis. Cermin mata berbingkai nipis duduk rendah pada batang hidung. Kemeja-T kelabu yang dipakai ada kesan karat kecil di dada. Pada jari telunjuk kanan pula terdapat kesan dakwat biru yang sudah sebati dengan kulit.

Dia memandang gagak. Gagak itu memandangnya.

“Bagaimana engkau masuk?”

Burung itu tidak bergerak. Raghavan menutup pintu perlahan-lahan. Dia memandang tingkap. Masih berkunci. Kemudian, dia memandang gagak itu semula.

“Kalau engkau gagak biasa, engkau patut takut kepada manusia.”

Burung itu mengeluarkan bunyi gak pendek. Raghavan terasa bulu tengkuk meremang.

Dia sudah tiga bulan tidak berjaya menulis sebarang cerpen yang memuaskan. Bukan kerana kekurangan idea. Sebaliknya, terlalu banyak idea terus mengganggu fikiran.

Setiap kali dia mula menulis tentang seorang lelaki tua, muncul seorang kanak-kanak. Apabila dia cuba menulis tentang kanak-kanak itu, muncul sebuah kampung. Apabila kampung itu muncul, datang pula cerita tentang sekolah Tamil, ladang getah, kuil, kedai kopi, kuli estet, penghijrahan, perkahwinan campur, bahasa ibunda yang hilang, dan kisah anak-anak yang semakin malu menyebut perkataan Tamil di hadapan rakan mereka.

Dia sudah menulis—menaip—empat halaman. Kemudian dicetak, diconteng, dan dikoyak semuanya. Di atas meja masih terdapat tajuk sementara yang belum dipotong pada kertas: “Cerita yang Hilang”.

Raghavan duduk di kerusi. Gagak itu bergerak ke tepi.

“Jangan pandang aku begitu,” kata lelaki kacukan Bengali dan Tamil itu.

Sang gagak memiringkan kepala; seolah-olah memerli.

“Aku serius,” tambahnya seraya mencapai pen.

“Begitu juga aku.”

Raghavan mengangkat kepala. Suara itu datang daripada gagak!

Bukan bunyi manusia yang keluar daripada paruh. Bukan suara yang bergema seperti rakaman. Suara itu kedengaran seperti seorang lelaki tua yang duduk sangat dekat dengannya.


[Baca juga—Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati]


Raghavan bangun semula.

“Siapa engkau?” Raghavan merenung tajam burung di atas meja.

“Bukankah engkau yang memanggil?”

“Aku tidak memanggil sesiapa.”

“Kau menulis.”

“Itu bukan memanggil.”

“Bagi individu seperti aku, ia sama sahaja.”

Raghavan menelan air liur. Dia mengambil pen Parker lama yang diletakkan di sebelah komputer. Pen itu hadiah daripada seorang guru sastera Tamil ketika dia masih belajar di Universiti Malaya. Sudah bertahun-tahun dakwatnya kering, namun Raghavan masih menyimpannya.

“Nama engkau?” Raghavan ingin tahu.

Gagak itu melompat ke atas pen di tangan Raghavan.

“Nama bergantung pada cerita.”

“Aku perlukan nama.”

“Mungkin Kakabhushundi?”

Nama itu membuatkan sesuatu bergerak dalam ingatan Raghavan. Kakabhushundi. … Gagak yang turut menjadi pencerita dalam epik Ramayana. Gagak yang menceritakan kisah Rama kepada Garuda. Gagak yang dikaitkan dengan kehidupan melampaui batas hayat manusia. Gagak yang melihat Rama bukan sekadar sebagai seorang raja atau avatara Vishnu, tetapi juga sebagai sesuatu yang lebih luas daripada dunia yang dapat ditampung oleh akal manusia.

Tetapi ada pula nama lain: Bhusunda. Raghavan pernah membaca dalam Yoga Vasistha tentang seekor gagak tua yang tinggal di atas pohon kalpavriksa dan menyaksikan dunia lahir, berubah, dan musnah berulang kali.

Kemudian, satu lagi nama muncul dalam ingatan: Kagapujandar. Tokoh dalam tradisi Siddhar yang dikaitkan dengan rahsia masa, kitaran kosmos, dan pengetahuan yang melampaui zaman.

“Kakabhushundi?” tanya Raghavan.

Sang gagak tidak menjawab.

“Kagapujandar?”

Masih tiada jawapan.

“Bhusunda?”

“Jangan cuba menyumbat tiga ribu tahun ke dalam satu nama,” sang gagak akhirnya bersuara.

“Jadi engkau bukan mereka?” Raghavan duduk semula.

“Aku tidak berkata begitu.”

“Jadi, engkau ialah mereka?”

“Aku juga tidak berkata begitu.”

“Ini tidak membantu,” lelaki itu meluahkan kekesalan.

“Cerita yang baik jarang bermula dengan bantuan,” kata sang gagak sambil menghampiri komputer riba di atas meja.

Raghavan memandang skrin. Ayat yang telah dipadam muncul semula: Aku sudah melihat cerita ini berlaku.

Dia pasti bahawa dia sudah memadam ayat itu pada komputer riba selepas dicetak pada kertas, lalu diconteng sebelum dikoyak kerana tidak berpuas hati.

Raghavan menggerakkan tetikus. Dia menekan backspace. Ayat tersebut tidak hilang. Dia menekan delete tetapi masih tidak berhasil.


[Baca juga—Raksasa Surasa Menelan Ladang Getah]


“Bagaimana engkau buat?”

“Aku tidak buat apa-apa,” sang gagak menjawab seraya memiringkan kepala.

“Jadi, siapa yang menulis atau menaip ayat ini?”

Gagak itu memandang skrin seperti membaca dengan tekun dan penuh minat.

“Engkaulah.”

“Saya sudah padam semuanya tadi!”

“Dalam alam ini.”

Raghavan tidak bergerak. Dalam alam ini?

Di luar, sebuah motosikal berkuasa tinggi melalui jalan taman. Bunyi enjin semakin jauh. Dari dapur pula datang bunyi pinggan. Isterinya, Meenakshi Thenmozhi, mungkin sedang menyediakan sarapan walaupun jam sudah hampir sebelas pagi.

Multiverse?” Raghavan cuba ketawa apabila terkennag akan konsep seperti Marvel Cinematic Universe (MCU), DC Comic and the Arrowverse, serta Sony’s Spider-Verse.

Sang gagak pula tidak menjawab.

“Alam selari?”

Sang gagak masih memilih untuk berdiam.

“Jadi, ada Raghavan Chatterjee lain?”

“Ada banyak,” akhirnya sang gagak membuka paruh.

“Dan mereka semua penulis?” Raghavan semakin teruja.

“Tidak.”

“Jadi, apa yang mereka buat?”

“Dalam satu alam, engkau seorang guru. Dalam satu alam lain, engkau tidak pernah dilahirkan. Dalam satu lagi alam, engkau menjadi pemilik kedai buku. Dalam satu alam yang lain pula, engkau meninggalkan semua ini.”

Raghavan menatap sang gagak yang sedang bercakap seolah-olah memang pasti tentang apa-apa yang sedang diperkatakannya.

“Dalam satu alam,” sambung gagak itu, “engkau berhenti menulis kerana seseorang memberitahu bahawa cerita komuniti engkau tidak lagi penting.”

Kata-kata terakhir itu lebih menyakitkan daripada yang dijangka oleh Raghavan. Dia segera teringat beberapa komen pembaca di media sosial. Ada yang berkata, cerita komuniti hanya cerita kecil. Ada yang bertanya, mengapa dia masih menulis tentang ladang, kuil, nenek, bahasa, dan keluarga sedangkan dunia sudah berubah dan berasimilasi dengan budaya kaum majoriti.

Raghavan menghela nafas memikirkan semua itu.

“Bukankah kisah manusia biasa juga penting untuk ditulis?”

Gagak itu mengangguk sebelum berkata: “Itulah sebabnya aku datang.”

“Untuk apa?”

“Untuk memberitahu engkau bahawa engkau sedang menulis cerita yang salah.”

“Kalau begitu, engkau tulislah!”

Sang gagak terdiam; seolah-olah memberi ruang untuk kemarahan Raghavan reda sedikit. Kemudian, ia berkata perlahan: “Baiklah.”

Komputer riba Raghavan beroperasi sendiri. Satu fail baharu muncul di skrin: Ramayana_2091.

Raghavan menggerakkan tetikus. Halaman pertama kosong. Kemudian, huruf demi huruf mula muncul satu demi satu, seolah-olah ada tangan halimunan sedang menaip pada papan kekunci.

Pada tahun 2091, seorang kanak-kanak mencari perkataan yang pernah digunakan oleh neneknya.

Raghavan berhenti bernafas seketika. Dia memandang sang gagak. Tetapi burung itu sudah tidak ada. Di atas manuskrip lama yang diconteng dan dikoyak, terdapat sehelai bulu hitam.

Dan pada bulu itu, dengan aksara Tamil yang sangat kecil, tertulis dua ayat: Jangan tulis apa yang engkau mahu kekalkan. Tulislah apa yang sudah mula hilang. Bersambung pada 22 September 2026

(Fiksyen ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 26-31 Ogos 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan karya-karya klasik India, khususnya berkaitan watak Kakabhushundi dalam Ramacharitmanas, Yoga Vasishtha, Ramayana, dan Mahabharata.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!