Di hadapan bangunan bata merah yang kelihatan biasa-biasa sahaja di Christopher Street, angin musim sejuk Februari menyelinap di celah kolar jaket tebal, sementara lampu neon di tingkap bar memantulkan warna pelangi yang sudah sekian lama menjadi simbol perjuangan yang tidak pernah benar-benar reda.
Lelaki muda itu berdiri agak jauh, seolah-olah
enggan terlalu dekat dengan sejarah yang terus hidup dan bernafas di hadapannya.
Namun, dia bagaikan tidak mampu menafikan tarikan magnetik tempat itu.
Stonewall Inn. Nama yang pernah dibacanya berulang
kali dalam artikel sejarah tentang rusuhan pada Jun 1969, bilamana sekumpulan
individu yang sering dipinggirkan bangkit menentang serbuan polis, lalu
mencetuskan gelombang gerakan hak asasi yang bergema hingga ke abad ke-21.
Bagi kelompok tertentu, tempat itu dianggap suci.
Baginya, ia sebuah paradoks yang amat mengelirukan.
“Simbol kebebasan atau simbol keruntuhan?” Dia
berbisik, tanpa sesiapa di sisi untuk menjawab.
Namanya Ayaan Rahman. Berumur 25 tahun. Dilahirkan
di Manhattan, dibesarkan di pangsapuri sempit tetapi mahal di Lower East Side;
hasil kerja keras bapanya yang berasal dari Lahore. Ibunya—atau lebih tepat,
ibu tirinya—seorang wanita Israel yang pernah bekerja dalam bidang kewangan
global.
Latar keluarga sudah cukup kompleks, umpama
simpulan benang yang tidak pernah dirungkai sepenuhnya. Bapanya, seorang lelaki
pragmatik yang meninggalkan Pakistan demi peluang ekonomi, berkahwin semula
selepas perceraian pertama, membawa masuk budaya, konflik, dan identiti baharu
ke dalam hidup Ayaan.
Rumah mereka bukan sekadar ruang fizikal, malah
medan pertembungan nilai: Pegangan Islam yang semakin longgar, sekularisme
Barat yang amat agresif, serta bayang-bayang sejarah Timur Tengah yang tidak
pernah benar-benar padam.
Ayaan memilih jalan sendiri. Dia menjadi atheis
sebelum genap usia dua puluh tahun, menolak agama sebagai “naratif kuno yang
mengikat akal”. Namun, penolakannya terhadap agama tidak membawa kepada
keterbukaan secara total. Sebaliknya, ia membentuk sistem kepercayaan baharu
yang rigid, hampir dogmatik dalam penolakan terhadap apa yang dianggapnya
sebagai “penyimpangan sosial”.
Dalam diam, dia menyimpan kebencian terhadap
golongan homoseksual dan komuniti LGBTQ+. Dia bukan sekadar tidak setuju, malah
rasa benci dalam diri terus membara dan membesar umpama api yang tidak pernah
dipadam.
Puncanya, jika ditelusuri, bukan ideologi
semata-mata tetapi luka peribadi yang tidak pernah sembuh. Di kolej, di sebuah
universiti elit di New York, dia pernah jatuh cinta pada seorang gadis bernama
Eliza. Gadis itu pintar, lantang, dan mempunyai aura yang membuatkan Ayaan pada
masa itu percaya bahawa dunia masih boleh difahami melalui logik dan keindahan.
Mereka berkongsi kelas falsafah politik, berbincang
tentang Nietzsche dan Foucault, serta berjalan di Central Park sambil bertukar
idea tentang makna kebebasan.
Ayaan hampir percaya bahawa itu tanda-tanda cinta
sebenar. Sehinggalah pada suatu petang, di sebuah kafe kecil di Brooklyn, Eliza
berkata dengan tenang: “Aku sebenarnya lesbian, Ayaan. Aku fikir kau sudah
sedia tahu.”
Dunia Ayaan runtuh tanpa bunyi. Tiada letupan,
tiada drama. Hanya senyap yang memekakkan. Sejak hari itulah kebenciannya bukan
lagi abstrak. Ia bertukar menjadi kebencian yang amat peribadi terhadap
golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, dan mana-mana kumpulan di bawah
payung “LGBTQ+”. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Perjanjian dalam Gelap

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!