21 Sept 2026

Analisis: Karuppan: After the Rain



Bahagian awal cerpen “Karuppan: After the Rain” memperlihatkan penggunaan cangkuk naratif (narrative hook) yang berlapis; bukan sekadar membuka cerita dengan suatu peristiwa dramatik.

Dalam beberapa perenggan awal, pembaca diberi sekurang-kurangnya empat persoalan yang belum terjawab: Siapakah lelaki tua yang buta itu, apakah yang berlaku kepada watak Mohanan, mengapa Karuppan berkata dia “memberitahu” dan bukan “mengaku”, serta apakah hubungan antara peristiwa tahun 1966 dengan siasatan polis pada 2026.

Justeru, kekuatan pembukaan ini terletak pada janji naratif (narrative promise) di mana teks berjanji akan membuka rahsia, tetapi sengaja menangguhkan jawapan.

Ayat pertama sudah berfungsi sebagai cangkuk atau hook: “Hujan baru sahaja berhenti ketika layar besar di pawagam itu memaparkan wajah seorang lelaki tua yang buta.” Gabungan hujan, pawagam, dan lelaki tua yang buta menghasilkan imej yang segera menimbulkan rasa ingin tahu pembaca.

Hujan pula bukan sekadar latar cuaca. Frasa “After the Rain” pada tajuk cerpen menjadikannya motif yang berpotensi membawa makna simbolik. Misalnya, selepas sesuatu berlaku, dunia kelihatan tenang, tetapi mungkin ada sesuatu yang belum selesai. Dari sudut mise-en-scène, seperti dihuraikan David Bordwell dan Kristin Thompson dalam Film Art: An Introduction (1979), unsur visual, bunyi, ruang, dan penyusunan shot membentuk sistem makna, bukan hiasan semata-mata.

Cangkuk kedua muncul melalui paradoks identiti (identity paradox). Karuppan berkata, “Saya tidak nampak wajah sesiapa lagi. Tapi saya masih nampak masa lalu.” Secara literal, seorang lelaki buta tidak mampu melihat; secara metafora, dia mempunyai kemampuan “melihat” sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.

Di sinilah cerita mengalihkan persoalan daripada apa yang dilihat kepada apa yang diketahui. Pembaca mula memahami bahawa kebutaan Karuppan mungkin bukan kelemahan, sebaliknya alat naratif untuk menjadikan ingatan sebagai “penglihatan”.

Dari perspektif Bharata Muni dalam Natyashastra, unsur emosi (bhava) yang dibina melalui keadaan, tindakan, dan persembahan berpotensi menghasilkan rasa pada penonton. Ketakutan (bhaya), kesedihan (shoka) dan rasa hairan (vismaya) sudah mula ditanam sejak awal cerita.

Cangkuk paling tajam ialah pertanyaan “Encik mengaku membunuh Mohanan?” yang dijawab dengan “Saya tidak mengaku. Saya memberitahu.”

Perbezaan satu kata itu menghasilkan misteri moral. Watak Karuppan tidak menafikan pembunuhan; dia hanya menolak kategori “pengakuan”. Mengapa? Adakah dia membunuh Mohanan tetapi tidak berasa bersalah? Adakah pembunuhan itu berlaku sebagai pertahanan diri? Atau adakah dia sekadar saksi kepada kematian tersebut?

Dalam istilah Roland Barthes, tindakan ini mengaktifkan kod hermeneutik (hermeneutic code) iaitu persoalan, penangguhan jawapan, kemungkinan salah arah, dan akhirnya pendedahan. Selagi persoalan itu belum diselesaikan, pembaca terdorong untuk terus membaca—dengan harapan akan menemui jawapan.

Bahagian pembukaan cerpen ini juga sangat sinematik. Jump cut, montaj hitam-putih, cut to, bunyi wisel kereta api, bayang-bayang, batang tebu, dan objek yang jatuh ke sungai menjadikan cerpen “Karuppan: After the Rain”  seolah-olah mempunyai bahasa penyuntingan filem.

Teori Lev Kuleshov menunjukkan bahawa makna dapat lahir daripada hubungan antara shot, bukan daripada satu imej secara bersendirian; malah penyusunan dua imej boleh membuat penonton membina hubungan sebab-akibat sendiri.

Dalam konteks ini, gambaran tebu yang bergesel, Mohanan ketawa, Karuppan berundur, dan bunyi sesuatu jatuh ke air tidak memberitahu pembaca apa yang berlaku. Sebaliknya, pembaca dipaksa menjadi “editor” dalam fikiran mereka sendiri untuk memahami apa yang berlaku.

John Truby dalam The Anatomy of Story (2007) menekankan hubungan antara watak, plot, premis, tema, dan konflik sebagai asas kepada cerita yang mempunyai daya tarikan berterusan. Petikan awal cerpen ini sudah menyediakan semuanya secara minimum: Karuppan mempunyai masa lalu yang tersembunyi; Mohanan menjadi sumber ancaman; pembunuhan menjadi konflik; dan persoalan rasa bersalah menjadi persoalan moral.



Beberapa kemungkinan perkembangan cerita segera terbuka. Mungkin Karuppan membunuh Mohanan selepas mengalami gangguan seksual, lalu seluruh kisah menjadi naratif tentang trauma, ingatan dan keadilan yang tertangguh.

Mungkin watak Mohanan tidak mati di sungai dan kematiannya yang sebenar berlaku bertahun-tahun kemudian. Kemungkinan lebih misterius ialah Karuppan mengetahui pembunuhan itu melalui pendengaran dan bau, tetapi seseorang yang lain sebenarnya melakukan pembunuhan. Bahkan, watak pembikin filem yang merakam pengakuan itu mungkin bakal menemui percanggahan antara cerita Karuppan dengan rekod sejarah.

Dengan demikian, cangkuk naratif pada cerpen “Karuppan: After the Rain” tidak bergantung pada kejutan semata-mata. Ia menggunakan unsur misteri, paradoks, trauma, sejarah tempatan, dan teknik sinematik untuk mencipta jurang maklumat antara apa yang pembaca tahu dengan apa yang ingin diketahuinya.

Itulah cangkuk paling berkesan—Bukan memberikan jawapan yang mengejutkan, sebaliknya menghidangkan persoalan yang pembaca tidak sanggup tinggalkan tanpa menemui jawapan.

Cerpen “Karuppan: After the Rain” disiarkan di Cukaria (3 September 2026) dan dipertimbangkan untuk “Kumpulan Cerpen 2027”.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!