Sebuah
cerpen bermula sebelum pembaca membaca ayat pertama. Ia bermula pada tajuk.
Beberapa patah perkataan yang membentuk tajuk cerpen boleh menjadi pintu masuk
kepada dunia yang belum dikenal, menimbulkan persoalan, memberikan bayangan
tentang watak atau konflik, malah sengaja mengelirukan pembaca sebelum
segala-galanya terungkap.
Sejak
awal April 2026, Uthaya Sankar SB menyiarkan petikan
28 buah cerpen baharu yang sedang diusahakan—tidak termasuk empat cerpen yang
dimuatkan dalam antologi Caritra
(2026). Cerpen-cerpen ini akan diundi dan akhirnya 15 cerpen dijangka
diterbitkan dalam sebuah
buku, sebagaimana diterangkan di sini.
Tajuk-tajuk
cerpen yang disenaraikan memperlihatkan kecenderungan yang menarik: Ada tajuk
bersifat misteri, ada yang provokatif, ada yang berakar pada mitologi dan tradisi,
ada tajuk yang menggunakan nama tempat sebagai penanda, manakala sebahagian
lagi sengaja bermain dengan ironi.
Sekiranya
diteliti, kebanyakan tajuk cerpen tidak memberikan maklumat seluruh jawapan.
Sebaliknya, tajuk cerpen mencipta soalan yang memaksa pembaca meneruskan
pembacaan; membaca petikan awal cerpen yang juga memiliki cangkuk naratif
tersendiri.
“Bayangan Guruji” ialah tajuk yang
sederhana pada permukaan tetapi mempunyai ruang tafsiran yang luas. “Bayangan”
bukan sekadar sesuatu yang kelihatan apabila cahaya terhalang. Dalam cerpen
ini, watak Guruji hadir sebagai tokoh yang menguasai fikiran, ketakutan, dan
tindakan orang lain, sementara watak Rajan cuba menyelidik sisi gelap sebuah
kultus yang dikelilingi dakwaan dan ugutan.
Bayangan
itu akhirnya boleh dibaca sebagai pengaruh, ancaman, ketakutan, atau suatu misteri
yang terus mengikuti manusia walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Watak Rajan
bukan sekadar menulis tentang Guruji; dia menulis sambil terpaksa berhadapan
dengan akibat (kesan) daripada tulisannya sendiri. Justeru, tajuk cerpen ini
menarik kerana ia tidak mendedahkan rahsia, sebaliknya mencipta suasana bahawa
ada sesuatu yang sedang mengintai dari sebalik cerita.
Sindirin Sosial Tersirat
Tajuk “Kutti Masuk Kandang Babi” pula
mempunyai kekuatan yang berbeza. Ia segera menghasilkan sebuah gambaran yang
pelik, lucu, dan sedikit kasar di mana seekor kambing bernama Kutti berada di
tempat yang sepatutnya bukan miliknya. Keanehan visual menjadi umpan yang
sangat berkesan kerana pembaca secara spontan mahu mengetahui bagaimana dan
mengapa Kutti boleh masuk ke kandang babi.
Pada
masa sama, tajuk ini mempunyai lapisan alegori yang menjadikan “kandang” bukan
lagi sekadar kandang, manakala haiwan-haiwan di dalamnya boleh dibaca sebagai
gambaran masyarakat dan kuasa. Tajuk ini berjaya kerana ia boleh dinikmati pada
tingkat cerita haiwan yang ganjil sebelum pembaca menyedari adanya sindiran
sosial yang lebih tajam.
Tajuk “Penyembah Batu Hitam” memiliki daya
tarikan melalui dua unsur yang sangat mudah divisualkan iaitu penyembah dan
batu hitam. Keputusan membuang perkataan “berhala” daripada tajuk asal
menjadikannya lebih kuat kerana pembaca tidak lagi diberitahu terlebih dahulu
bahawa batu itu ialah objek sembahan.
Maka, “batu
hitam” menjadi objek misteri, sementara “penyembah” menimbulkan persoalan
tentang manusia yang sanggup memberikan kepercayaan kepada objek tersebut. Tajuk
ini juga memiliki unsur mitos dan keagamaan tanpa perlu menerangkan sistem
kepercayaan yang menjadi latar cerita. Ada sesuatu yang gelap, keras, dan tidak
bergerak pada “batu” tetapi manusia di sekeliling (“penyembah”) yang
memberikannya kuasa. Di situlah letaknya daya tarikan pada tajuk ini.
“Lelaki Bertanduk di Synagogue Lane”
barangkali antara tajuk cerpen yang paling segera menghasilkan gambaran dalam
fikiran pembaca. “Lelaki bertanduk” sudah cukup untuk menimbulkan persoalan, lalu
penambahan “Synagogue Lane” menjadikan gambaran itu lebih khusus, bersejarah,
dan aneh. Pembaca tidak diberikan ‘lelaki biasa’ di ‘jalan biasa’. Sebaliknya, pembaca
dibawa ke sebuah lokasi yang namanya sendiri mempunyai getaran sejarah dan
budaya.
Kemudian,
muncul pula sosok seorang lelaki dengan ciri fizikal yang luar biasa. Gabungan
manusia, lokasi, dan keanehan fizikal menjadikan tajuk cerpen ini seolah-olah
permulaan sebuah legenda bandar (urban legend). Ia mempunyai daya
tarikan misteri yang sangat kuat kerana pembaca ingin mengetahui sama ada
“tanduk” itu benar-benar wujud, apakah maknanya, dan mengapa lelaki itu berada
di situ.
Tajuk “Free the Bitches!” mempunyai tenaga
yang sama sekali berbeza. Ia berbunyi seperti slogan demonstrasi, seruan
aktivis, atau tulisan pada sepanduk demonstrasi jalanan. Perkataan “bitches”
pula sengaja membawa konotasi kasar dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam cerita
ia mempunyai hubungan literal dengan anjing betina dan pada masa sama membuka
ruang pembacaan simbolik tentang kuasa, tubuh, dan penindasan.
Menyentuh Emosi dan Pancaindera
Kejayaan
tajuk ini terletak pada unsur provokasi di mana pembaca mungkin berasa geli,
terhibur, atau tertanya-tanya, tetapi pada masa sama sukar untuk tidak berhenti
seketika apabila melihat tajuk ini. Tanda seru menambahkan nada pemberontakan. Ini
bukan tajuk yang meminta pembaca duduk diam; sebaliknya seolah-olah menjerit
kepada pembaca sebelum cerita bermula.
Tajuk “Bacha-ye Khoshtip” pula memilih jalan
yang berbeza kerana ia tidak menerangkan dirinya (makna tajuk) kepada pembaca. Frasa
yang berasal daripada lingkungan bahasa dan budaya Afghanistan menjadi
sebahagian daripada pengalaman watak Zaryab, seorang lelaki Afghanistan yang
bekerja di Taiping, Perak.
Di sini,
istilah/frasa bahasa asing bukan sekadar hiasan eksotik. Sebaliknya dipilih
secara sengaja agar menjadi pintu masuk kepada persoalan identiti, bahasa,
budaya, dan pengalaman peribadi watak Zaryab. Pembaca yang tidak mengetahui
maknanya terpaksa memasuki dunia Zaryab dengan rasa ingin tahu.
Dalam
konteks ini, ketidakfahaman awal bukan kelemahan, sebaliknya satu strategi cangkuk
naratif (narrative hook). Tajuk ini sendiri memberitahu kita bahawa
cerita ini tidak akan sepenuhnya tunduk kepada keselesaan pembaca; pembaca
perlu bersedia mendekati dunia watak yang berbeza.
Tajuk “Menikmati Pau di Svarga” memiliki
keanehan yang hampir lucu sebelum cerita mula dibaca. Pau ialah makanan orang
Cina yang sangat biasa dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia,
sedangkan svarga membawa bayangan alam kayangan atau alam kebahagiaan
dalam tradisi India-Hindu. Apabila dua dunia itu digabungkan, terhasil satu tajuk
yang absurd tetapi memikat.
Mengapa
pau berada di svarga? Siapa yang menikmatinya? Mengapa makanan biasa
diberikan kedudukan yang begitu tinggi? Pertentangan antara objek (makanan)
biasa dengan svarga yang kosmik memberikan tajuk cerpen ini daya humor
dan keanehan. Pada masa sama, makanan dalam cerita mungkin bukan sekadar
makanan. Ia boleh menjadi objek keinginan, ingatan, dan simbol. Tajuk yang
ringan ketika pertama kali dilihat, kemudian membuka ruang yang lebih luas sebaik
cerita mula dibaca.
Tajuk “Abu Jadi Abu, Debu Jadi Debu” membawa
pembaca ke medan makna yang lebih purba dan lebih berat kerana menyentuh soal kematian,
pembakaran, jasad, dan kefanaan. Pengulangan frasa tersebut mempunyai rentak
seperti ungkapan ritual atau pengakuan tentang hakikat bahawa manusia akhirnya
kembali menjadi unsur bumi; seperti konsep agama Kristian dan Hindu.
Maka, tajuk
ini tidak perlu dipaksa menjadi lebih moden atau lebih misteri. Kekuatannya
terletak pada gema kematian yang sudah terkandung dalam kata “abu” dan “debu”.
Apabila pembaca kemudian berhadapan dengan kisah kehilangan dan akibat daripada
insiden yang dianggap telah berakhir, tajuk ini memperoleh lapisan emosi yang
lebih dalam. Ia mengingatkan kita bahawa manusia boleh cuba menyembunyikan
sesuatu, tetapi kematian dan kehilangan mempunyai cara sendiri untuk
meninggalkan kesan.
Menyajikan Kepelbagaian
“Belon Merah di Pentas” merupakan tajuk
yang kuat kerana ia memilih satu imej khusus daripada dunia cerita dan bukan
sekadar menerangkan bahawa cerita berlaku dalam sebuah drama kanak-kanak
seperti pada tajuk asal (“Di Pentas Drama Kanak-kanak”). Belon merah
mempunyai sifat visual yang segera: kecil, terang, ringan, dan mudah terapung.
Namun,
apabila diletakkan “di pentas”, benda yang pada asalnya ceria (“belon merah”)
boleh berubah menjadi simbol, petunjuk, atau imej yang mengganggu. Warna merah
pula tidak perlu ditafsirkan secara tunggal. Ia boleh membawa makna
kegembiraan, darah, bahaya, kenangan, atau kehilangan. Tajuk ini menarik kerana
pembaca melihat belon itu terlebih dahulu, tetapi belum mengetahui apa
sebenarnya yang sedang berlaku di sekelilingnya.
Tajuk
cerpen “Rawan: The Untold Story” memperoleh
kekuatan melalui lapisan intertekstual. Frasa “The Untold Story”
mengingatkan pembaca kepada bahasa promosi filem biografi dan mungkin secara
khusus menjadi satira (atau penghormatan) kepada filem propaganda sebenar berjudul
Anwar: The Untold Story (2023). Dengan itu, tajuk ini sengaja meminjam
bunyi sebuah karya yang sudah dikenali untuk menghasilkan permainan makna
baharu.
Nama “Rawan”
pada tajuk cerpen membawa pembaca ke dunia watak dan cerita, sementara “The
Untold Story” menjanjikan bahawa apa yang bakal dibaca mungkin bertentangan
dengan versi rasmi, popular, atau apa yang selama ini diketahui umum. Tajuk ini
berfungsi sebagai pintu kepada cerita, malah pada masa sama sebagai jenaka
sastera yang hanya benar-benar terasa apabila pembaca mengenali rujukan
intertekstual.
Tajuk “Hidup Dikandung Tanah” ada sifat puitis
yang menarik kerana “tanah” pada tajuk ini tidak lagi sekadar merujuk kepada permukaan
bumi. Tanah menjadi tempat kehidupan dikandung, tempat sejarah berakar, dan
tempat manusia bertembung dengan soal identiti, pemilikan, serta kuasa.
Tajuk
ini juga mempunyai gema ungkapan lama tentang manusia yang akhirnya kembali
kepada tanah, tetapi susunan “hidup dikandung tanah” memberikan arah yang
berbeza kerana tanah bukan hanya tempat manusia mati, tetapi juga tempat
kehidupan bermula. Cerita yang mengaitkan tanah, masyarakat, dan konflik
pemilikan tanah menjadikan tajuk ini ada makna literal dan simbolik.
“Maka Kami, Rakyat …” mungkin antara tajuk yang
paling menarik dari segi bentuk. Tanda elipsis pada hujung tajuk amat penting. Tajuk
ini kelihatan seperti permulaan sebuah deklarasi, manifesto, atau dokumen
kenegaraan, tetapi ia sengaja tidak diselesaikan. Pembaca dipaksa bertanya:
“Maka kami, rakyat … apa?”
Tiada Batas Mitos, Legenda, Sejarah
Tiga
titik itu (elipsis) menjadi ruang kosong yang perlu diisi oleh cerita. Tajuk
ini juga mempunyai nada kolektif yang besar, sedangkan pembaca belum tahu siapa
“Kami” dan siapa yang bercakap bagi pihak “Rakyat”. Kekuatan utama ialah ia
menjadikan pembaca sebahagian daripada proses melengkapkan makna. Tajuk belum
selesai kerana persoalan dalam cerita juga belum selesai.
Tajuk “Apa yang Telah Kau Lakukan, Karuppar?” memilih
bentuk pertanyaan yang lebih langsung dan emosional. Penggunaan kata ganti
“kau” menjadikan tajuk terasa seperti seseorang sedang berhadapan dengan
Karuppar dan menuntut jawapan daripadanya. Pertanyaan itu juga mengandaikan
bahawa sesuatu telah berlaku.
Pembaca
tidak perlu mengetahui dahulu apakah kesalahan, pengkhianatan, atau rahsia yang
sedang dipersoalkan; sebaliknya, cukup dengan perkataan “apa” untuk mencetuskan
rasa ingin tahu. Nama “Karuppar” pula membawa unsur budaya dan mitologi yang
tersendiri. Tajuk ini tidak bertanya siapa Karuppar, tetapi apa
yang telah dilakukannya. Dengan itu, rasa bersalah atau kecurigaan sudah wujud
sebelum cerita disajikan.
Tajuk “Puteri Manora dari Bachok” menarik
kerana menggabungkan dunia legenda dengan geografi yang sangat khusus. “Puteri
Manora” membawa bayangan seni persembahan tradisional, mitos, dan dunia istana,
sedangkan “dari Bachok” meletakkannya di sebuah ruang tempatan yang nyata.
Pertembungan antara mitos dan tempat sebenar menjadi umpan (bait) utama.
Pembaca
mungkin mengenali manora atau menora sebagai sebahagian daripada warisan budaya
di rantau ini, tetapi tambahan “dari Bachok” mencipta persoalan baharu iaitu siapakah
puteri itu dan bagaimana sebuah figura yang hampir mitologis boleh dikaitkan
dengan Bachok, Kelantan? Tajuk ini berjaya kerana ia tidak mengasingkan tradisi
daripada realiti tempatan; kedua-duanya hidup dalam satu frasa.
Tajuk “Dari Celah Dinding Lokap” mempunyai
kekuatan dari segi sudut pandangan. Pembaca seolah-olah diberikan mata yang
sama dengan pencerita untuk melihat dunia bukan dari ruang terbuka, sebaliknya
dari celah dinding. Frasa “celah dinding” segera memberikan perasaan terhad,
tersembunyi, dan tidak lengkap. Kita tidak melihat keseluruhan dunia; hanya
melihat apa yang dapat dilihat melalui ruang sempit itu.
Tambahan
pula, “lokap” membawa konotasi penahanan, kesalahan, dan rahsia. Tajuk cerpen
ini tidak menjelaskan siapa yang berada di sebalik dinding atau apa yang
dilihat pencerita. Ia hanya membuka sebuah ruang pemerhatian yang sempit, lalu
membiarkan pembaca tertanya-tanya apakah kebenaran yang boleh dilihat dari
situ.
Makna Perkataan Tidak Perlu Dijelaskan
“Mengangkat Syiar Kod Suci Empayar” pula
mempunyai bunyi yang sengaja megah dan rasmi. Kata “syiar”, “kod suci”, dan
“empayar” menghasilkan bahasa yang seolah-olah datang daripada teks keagamaan
atau dokumen propaganda sebuah kuasa besar. Justeru, tajuk ini sendiri sudah
membawa nada ideologi.
Apabila
cerita memperlihatkan bagaimana bahasa suci dan istilah besar boleh digunakan
untuk memperakukan kekerasan, tajuk cerpen ini memperoleh ironi yang semakin
jelas. Ia menarik bukan kerana menjanjikan cerita pengembaraan semata-mata,
tetapi kerana pembaca boleh mengesyaki bahawa apa yang dipanggil “suci” mungkin
menyembunyikan sisi yang jauh lebih gelap.
Tajuk “Nyanyian di Ladang” lebih lembut
berbanding beberapa tajuk lain dalam perbincangan ini, tetapi kelembutan itu memiliki
kekuatan tersendiri. “Nyanyian” boleh merujuk kepada suara manusia, bunyi alam,
bunyi alat menoreh, kenangan, atau sesuatu yang tidak dapat dikenal pasti.
“Ladang” pula memberikan ruang fizikal yang luas tetapi juga membawa sejarah
sosial, ekonomi, dan pengalaman pekerja.
Dua
perkataan itu—nyanyian dan ladang—mencipta suasana (situation)
tanpa menerangkan plot (jalan cerita). Pembaca dapat membayangkan pokok, tanah,
bunyi pagi, dan manusia yang bekerja, tetapi belum tahu apakah “nyanyian” yang
akan mereka dengar. Tajuk seperti ini mampu memancing pembaca melalui suasana,
bukan kejutan.
Cerpen
“Paramatma” memilih satu perkataan yang
berat dengan muatan falsafah sebagai tajuk. Ia tidak menerangkan watak, tempat,
atau konflik secara langsung. Sebaliknya, tajuk ini membuka persoalan tentang
diri, jiwa, Tuhan, kematian, dan hubungan antara individu dengan kuasa yang
lebih besar daripada dirinya.
Dalam
cerpen yang membicarakan persoalan kematian dan kesedaran selepas kematian,
istilah tersebut menjadi lebih daripada nama atau konsep; ia menjadi kunci
untuk memahami perjalanan batin cerita. Daya tarik tajuk ini terletak pada
misterinya. Pembaca yang mengetahui makna perkataan paramatma akan
segera tertarik kepada dimensi falsafah; pembaca yang tidak mengetahui maknanya
pula ada alasan untuk mencari makna dengan membaca cerpen ini sepenuhnya.
Cerpen
“Satyaseelan” pula menggunakan nama watak
sebagai tajuk. Pada pandangan pertama, ia mungkin kelihatan sederhana, tetapi
nama watak menjadi semakin bermakna apabila pembaca mengikuti perjalanan
hidupnya.
Satyaseelan
ialah pegawai penjara muda yang memasuki sistem dengan latar dan harapan
tertentu sebelum berhadapan dengan realiti kuasa, rasuah, dan penyeludupan.
Nama itu kemudian tidak lagi sekadar pengenalan individu; ia menjadi sebahagian
daripada persoalan moral cerita.
Makhluk Asing dan Manusia Bumi
Tajuk
berupa nama orang atau watak mempunyai kelebihan kerana pembaca mahu mengetahui
siapakah individu itu, apakah yang akan berlaku kepadanya, dan sejauh mana dia
mampu mempertahankan diri dalam sistem yang mengujinya dari pelbagai sudut.
Tajuk “Makhluk Asing di Wang Kelian” mempunyai
narrative hook yang sangat jelas. “Makhluk asing” terus membawa pembaca
ke wilayah fiksyen sains, tetapi “Wang Kelian” mengheret imaginasi itu kembali
ke lokasi yang dikenali di Malaysia. Gabungan global dan tempatan itulah
kekuatan pada tajuk ini.
Lebih
menarik lagi, “makhluk asing” dalam cerita tidak semestinya hanya berfungsi
untuk menghasilkan rasa kagum terhadap kehidupan luar. Lokasi dan sejarah
manusia yang dibawa ke dalam cerita memungkinkan pembaca memikirkan semula
siapa sebenarnya yang “asing”.
Adakah
makhluk dari luar lebih asing daripada kekejaman yang dilakukan manusia
sendiri? Tajuk cerpen ini cukup jelas untuk memancing minat pembaca tetapi
masih cukup terbuka untuk membolehkan cerita mengembangkan makna “asing” itu
sendiri seterusnya.
Tajuk “Abhirami Anthathi” pula mempunyai
kekuatan yang sangat berbeza kerana tajuk itu sendiri sudah membawa pembaca ke
lingkungan tradisi Tamil. “Abhirami” mengingatkan kepada dewi dan tradisi
pemujaan, manakala “Anthathi” merujuk kepada bentuk puisi Tamil yang mempunyai
struktur khas.
Bagi
pembaca yang mengenali tradisi tersebut, tajuk cerpen ini segera membangkitkan
dunia agama, puisi tradisional, dan budaya. Bagi pembaca yang tidak
mengenalinya, istilah itu menjadi misteri yang perlu diteroka. Cerita yang
berkaitan dengan kuil, hutang, hubungan manusia, dan tragedi menjadikan tajuk ini
bukan sekadar rujukan budaya, malah sebahagian daripada rangka simbolik cerita.
Sementara
itu, “Karuppan: After the Rain”
menggunakan tajuk dwibahasa dengan kesan sinematik tersendiri. Nama “Karuppan”
memberikan identiti manusia dan budaya, sementara “After the Rain” mencipta
suasana. Hujan biasanya membawa makna pembersihan, kesegaran, atau permulaan
baharu, tetapi dalam cerita yang dibayangi misteri dan kematian, keadaan
selepas hujan mungkin boleh membawa makna yang lebih gelap.
Suatu peristiwa
mungkin telah berlaku ketika hujan turun dan apa yang tinggal selepas itu adalah
kesan, rahsia, atau bukti. Justeru, “After the Rain” bukan sekadar penanda masa.
malah menimbulkan persoalan: Apakah yang sebenarnya tinggal selepas hujan
berhenti?
Unsur Ganjil dan Absurd
Tajuk cerpen
“Menunggu Tuan Datuk” menggunakan kata
kerja yang sangat biasa tetapi menjadikannya pusat persoalan: menunggu.
Menunggu siapa? Mengapa Tuan Datuk perlu ditunggu? Adakah Tuan Datuk benar-benar
akan datang? Dan apakah yang akan berlaku sekiranya dia tidak datang? Adakah
akan berlaku seperti dalam drama pentas Waiting for Godot
oleh Samuel Beckett?
Bagi
sebuah cerpen yang meletakkan watak di ruang yang mempunyai unsur ganjil dan
absurd, tajuk ini memang menjadi lebih menarik kerana sesuatu yang biasa
berubah menjadi persoalan eksistensial. Frasa “Tuan Datuk” pula mempunyai nada
sosial yang khas. Gelaran itu boleh membawa bayangan kuasa, status, dan
penghormatan, tetapi pembaca belum tahu sama ada tokoh tersebut benar-benar
berkuasa atau hanya satu nama yang terus ditunggu.
Tajuk “Dari Stonewall Inn ke Kuala Lumpur” memiliki
kekuatan melalui konsep perjalanan. Dua lokasi yang muncul dalam tajuk itu
bukan sekadar titik pada peta. Stonewall Inn membawa sejarah tertentu berkaitan
perjuangan hak dan identiti seksual, manakala Kuala Lumpur membawa pembaca
kepada konteks sosial dan budaya Malaysia.
Frasa
“dari … ke …” menjanjikan perjalanan atau perpindahan, namun pembaca juga boleh
menjangkakan perpindahan pengalaman, pemikiran, dan identiti. Tajuk ini juga menarik
kerana ia tidak memberitahu apakah yang berlaku sepanjang perjalanan tersebut. Sebaliknya
hanya menetapkan dua kutub dan membiarkan cerita mengisi jarak di antara
kedua-duanya.
Tajuk “Makhluk Asing di Gurun Gobi” tetap
menarik walaupun terdapat satu lagi cerpen berjudul “Makhluk Asing di Wang
Kelian” dalam perbincangan ini. Pengulangan struktur tajuk itu sebenarnya boleh
menjadi daya tarikan tersendiri. Kedua-dua cerita tersebut tidak ada hubungan
naratif tetapi persamaan frasa menghasilkan gema yang menarik.
Wang
Kelian dan Gurun Gobi ialah dua ruang yang sangat berbeza kerana satu ialah
lokasi sempadan yang dekat dengan pengalaman Malaysia, manakala satu lagi ialah
kawasan gurun yang luas dan asing. Pembaca mungkin secara spontan membandingkan
kedua-dua cerita, lalu bertanya apakah yang dimaksudkan dengan “asing” dalam
setiap satu.
Pengulangan
frasa “makhluk asing” tidak semestinya kelemahan; sebaliknya boleh berfungsi
sebagai motif yang membuat pembaca berhenti dan membuat perbandingan. Namun begitu,
sama ada kedua-dua cerpen ini akan termuat dalam kumpulan cerpen yang sedang
diusahakan adalah bergantung kepada undian oleh penyumbang modal sosial.
Tajuk
cerpen “Perjanjian dalam Gelap” mempunyai
permainan makna yang halus. Pada lapisan pertama, “perjanjian” merujuk kepada Perjanjian Marrakesh, manakala “gelap”
merujuk kepada pengalaman watak-watak yang buta.
Lapis Demi Lapis Makna
Tetapi
tajuk ini tidak berhenti pada makna literal. “Gelap” juga boleh dibaca sebagai
keadaan sesuatu yang tidak kelihatan, tidak diketahui, atau berlaku di luar
pandangan umum. Justeru, tajuk ini menggabungkan isu hak membaca dan akses
kepada bahan penerbitan dengan pengalaman fizikal watak yang tidak dapat
melihat.
Keistimewaannya
ialah kedua-dua lapisan itu tidak perlu dijelaskan dalam tajuk cerpen. Pembaca
hanya akan menyedari hubungan antara “perjanjian” dan “gelap” apabila memasuki
cerita. Dalam hal ini, tajuk yang ringkas ini sebenarnya menyimpan struktur
idea yang agak kompleks.
Tajuk “Wanita Tua yang Datang Bersama Gagak”
memuatkan ciri yang sangat sesuai dengan fiksyen aneh. Ia mengambil dua imej
yang pada asalnya biasa iaitu seorang wanita tua dan seekor gagak. Namun,
apabila kedua-duanya digabungkan dalam bentuk “datang bersama”, hubungan kedua-duanya
menjadi pelik. Apakah gagak itu haiwan biasa? Apakah wanita itu sekadar wanita
tua? Adakah kedatangan mereka kebetulan atau petanda?
Tajuk
cerpen ini tidak memberikan jawapan, malah sengaja mengekalkan ketidakpastian.
Gagak sendiri mempunyai sejarah panjang sebagai lambang kematian, petanda,
kebijaksanaan, dan hidupan yang berada di antara dunia manusia dan dunia yang
tidak diketahui. Oleh itu, tajuk ini sudah menyediakan suasana (situation)
sebelum cerita bermula.
[Baca
juga fiksyen spekulatif “Kaka Smriti” dan “Kakabhushundi”]
Akhir
sekali, tajuk “Tuan Maxwell dan Surat Chiri” mempunyai daya tarikan yang
bersumber daripada sejarah, misteri, dan pertemuan antara manusia dengan
dokumen lama. Surat Chiri bukan sekadar surat biasa. Dalam catatan William
Edward Maxwell, ia dikaitkan dengan kepercayaan bahawa dokumen misteri itu
merupakan sebahagian daripada khazanah diraja Perak dan keselamatan kerajaan
bergantung kepadanya. Maxwell turut merekodkan bahawa dokumen itu—Surat Chiri—dibaca ketika pelantikan
pemegang jawatan penting negeri.
Dengan
itu, tajuk sebuah fiksyen yang mempertemukan “Tuan Maxwell” dengan “Surat
Chiri” terus membuka pintu kepada dunia kolonial, istana, manuskrip,
kepercayaan lama, pembesar Melayu, dan rahsia yang hampir hilang daripada
ingatan. Ia mempunyai daya tarikan khusus kerana kedua-dua unsur dalam tajuk
itu benar-benar mempunyai sejarah, walaupun cerpen spekulatif ini mungkin
menggali ruang yang belum diterokai di antara fakta, legenda, dan imaginasi.
Menawarkan Sisa dan Serpihan
Jika kesemua
28 tajuk ini dilihat bersama, kekuatan yang paling ketara ialah kepelbagaian
cara Uthaya mencengkam minat pembaca. Tajuk seperti “Bayangan Guruji”
menggunakan misteri, “Kutti Masuk Kandang Babi” menggunakan absurditi, “Lelaki
Bertanduk di Synagogue Lane” menggunakan imej ganjil, “Free the Bitches!”
menggunakan provokasi, “Bacha-ye Khoshtip” menggunakan bahasa dan identiti
budaya, “Menikmati Pau di Svarga” menggunakan percanggahan yang lucu, “Abu Jadi
Abu, Debu Jadi Debu” menggunakan gema kematian, “Maka Kami, Rakyat …”
menggunakan ayat yang sengaja tidak diselesaikan, manakala “Apa yang Telah Kau
Lakukan, Karuppar?” menggunakan pertanyaan yang sudah mengandungi tuduhan.
Lebih
menarik lagi, Uthaya tidak takut menggunakan nama, tempat, dan istilah yang
khusus. Tajuk seperti “Puteri Manora dari Bachok”, “Makhluk Asing di Wang
Kelian”, “Makhluk Asing di Gurun Gobi”, “Dari Stonewall Inn ke Kuala Lumpur”,
dan “Tuan Maxwell dan Surat Chiri” membuktikan bahawa lokasi boleh menjadi
sebahagian daripada daya imaginasi pada tajuk cerpen.
Bagi
Uthaya, tempat bukan sekadar latar; sebaliknya tempat memberikan identiti
kepada cerita. Apabila Wang Kelian dipertemukan dengan makhluk asing, atau
Gurun Gobi dipertemukan dengan makhluk yang sama-sama asing, pembaca mula
melihat tempat itu melalui lensa baharu.
Kesemua
tajuk cerpen yang diperkatakan ini juga mempunyai satu persamaan yang penting: Rata-rata
tidak cuba memberitahu (tell) pembaca segala-galanya. Sebaliknya, tajuk
menawarkan sisa atau serpihan. Sebuah bayangan. Seekor kambing di dalam kandang
babi. Batu hitam. Lelaki bertanduk. Seekor gagak. Belon merah. Sepucuk surat. Satu
dokumen perjanjian. Sebuah gurun. Seorang puteri. Seorang lelaki yang ditunggu.
Serpihan-serpihan atau sisa-sisa inilah yang membina rasa ingin tahu. Pembaca
belum mengetahui keseluruhan cerita tetapi sudah diberikan bahan untuk
dibayangkan—sebelum membaca perenggan pertama.
Dalam
dunia penerbitan yang sering bergantung kepada tajuk yang mudah dijelaskan,
kekuatan cerpen-cerpen Uthaya terletak pada keberanian membiarkan sebahagian tajuk
kekal ganjil, asing, atau tidak selesai. Lihat juga tajuk-tajuk cerpen dalam
buku Cerpen
(2024), Sebelas Amanat Swamiji (2025), dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026) sebagai contoh.
Tajuk cerpen
yang baik tidak semestinya tajuk yang menjelaskan cerita dengan tepat.
Kadang-kadang, tajuk yang baik ialah tajuk yang mampu membuat pembaca berhenti
seketika, mengerutkan dahi, tersenyum, berasa pelik, atau bertanya-tanya dalam
hati: Apa sebenarnya yang berlaku di sini?
Apabila
tajuk sebuah cerpen berjaya menimbulkan soalan seperti itu, tugas pertama
sastera sudah selesai: Pembaca sudah membuka pintu dan sedia memulakan
pembacaan serta meneroka dunia yang menakjubkan.
Nota:
Daripada 28 buah cerpen ini, sejumlah 15 buah sahaja dijangka dimuatkan dalam kumpulan
cerpen yang sedang diusahakan. Pemilihan dilakukan secara demokrasi meneusi
undian oleh penyumbang modal sosial—maklumat di sini.

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!