15 Jul 2026

Puteri Manora dari Bachok

Jange dok mari rapat sangat ... bau dio pelik seme.”

Suara itu berbisik seperti bayang bergetar di belakang kelir wayang kulit. Cuma tiada dalang kelihatan. Hanya tangan-tangan hitam menari sendiri di bawah cahaya berkelip-kelip.

Dan tubuh Suri terkaku di tengah gelanggang menora yang tiba-tiba terasa sempit bagai dada ditindih mimpi buruk. Tubuhnya masih dalam posisi tari—lutut sedikit bengkok, jari-jemari dipasang chalung melentik seperti bunga cempaka sedang mekar—tetapi mata sudah membaca sesuatu yang lebih tua daripada skrip mana-mana perembahan: Nasib.

Lampu neon yang digantung ala kadar berkelip, seolah-olah cuba menyampaikan pesan rahsia kepada bayang-bayang yang berlari-lari di dinding. Bunyi rebab terhenti secara tiba-tiba. Geduk masih bergetar perlahan, seolah-olah enggan menerima hakikat persembahan telah dirampas tangan-tangan berpakaian seragam.

Demo ingat ni tempat main-main ko?

Suara seorang pegawai mencelah tetapi nadanya lebih mirip pelakon makyong yang terlupa peranan—tegas, tetapi berlebihan, seperti satira yang tidak disedari dirinya sendiri.

Suri tidak bergerak. Dia tahu, dalam dunia menora, diam juga adalah bahasa.

Tubuh yang dihiasi busana menora tradisional—mahkota tinggi kroong dihiasi manik dan bulu, sayap berlapis berkilau seperti sisik naga, kain berwarna terang melilit pinggang—tiba-tiba terasa berat. Seolah-olah setiap aksesori itu bukan lagi lambang seni, sebaliknya bukti kesalahan.

Namun dalam kepalanya, panggung lain sedang dibuka. Bau kemenyan menusuk lubang hidung, bercampur peluh penari dan tanah lembap yang menyimpan rahsia sejak sebelum dia lahir sebagai seorang lelaki yang diberi nama Somchai Tin.

Dia teringat—atau mungkin dipaksa mengingati—ketika berumur sepuluh tahun, duduk bersila di tikar mengkuang bersama bapa saudara di sebuah kampung di Bachok.

Mereke menonton persembahan menora yang berlangsung sepanjang malam. Bunyi rebab, canang, dan geduk bertalu-talu seperti degupan jantung yang tidak kenal erti letih. Penari utama memakai mahkota tinggi berwarna emas, jari-jemari lentik seperti ranting pokok hidup, dan gerak langkah bukan sekadar tarian tetapi doa yang disamarkan.

Menora, menurut bapa saudaranya, bukan sekadar hiburan. Ia adalah warisan komuniti Siam Selatan yang merentas sempadan, menggabungkan mitos Buddha, animisme, dan adat tempatan, lalu membentuk suatu ritual penyembuhan; satu teater kosmos yang difatwakan haram sejak tahun 1992.

Pada saat itu, Somchai tahu—atau mungkin percaya—bahawa tubuh manusia boleh menjadi perantara antara dunia nyata dan dunia yang tidak terungkap.

Demo tengok molek-molek. Seni ni ado semangat dio,” pesan bapa saudaranya.

Pesanan dan semangat itu tidak pernah meninggalkannya. Malah, bermain dalam minda pada saat sergahan terbaharu ini.

Angkat tange! Persembahan ni takdok kebenaran!

Lelaki berpakaian seragam itu melaung tetapi suaranya seperti datang dari dasar laut, herot-benyot, seperti watak dalam makyong yang kehilangan arah.

Suri berdiri di tengah gelanggang, lengkap dengan kostum Puteri Manora—mahkota tinggi, sayap Kinnari berlapis-lapis, kain berwarna terang berkilau di bawah lampu—tetapi tubuhnya tiba-tiba terasa asing.

Seolah-olah dia bukan lagi penari tetapi boneka dalam wayang kulit yang sedang ditarik tangan-tangan yang tidak kelihatan.

Tok soh takut ... ni semuo lakono jah,” bisik satu suara dalam kepala.

Tetapi Suri tahu itu bukan suara dirinya. Itu suara bawah sedar yang telah lama membina panggung sendiri di dalam dirinya, mencipta naratif, memutar balik masa, malah memalsukan realiti.

Di luar, udara malam Kelantan terasa lembap dan berat. Bau sungai, tanah, dan daun kering bercampur dengan bau minyak petrol dari kenderaan pihak berkuasa.

Dalam perjalanan ke balai polis, Suri teringat satu lagi bab dalam hidupnya. Bab yang jarang diceritakan, kecuali dalam monolog dalaman yang hanya muncul ketika dia bersendirian. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Dari Celah Dinding Lokap

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!