Di sebuah ruang sempit yang berbau lembap dan bercampur antara karat besi, peluh manusia, dan sisa waktu yang tidak dipedulikan, aku mula memahami bahawa dunia ini bukan sekadar apa yang kelihatan secara lahiriah.
Dinding di sini berwarna kelabu, retak-retak
seperti ingatan yang dipaksa diam, dan setiap garis halus pada permukaan seperti
menyimpan pelbagai cerita. Cerita-cerita yang tidak pernah ditulis, namun terus
hidup dalam udara yang berlegar perlahan.
Pada suatu ketika, seorang lelaki pernah duduk di
sudut itu; memeluk tubuh sendiri; bukan kerana sejuk tetapi kerana sesuatu yang
lebih dingin daripada suhu: Tetakutan yang tidak mampu dinamakan.
Aku masih ingat detik itu walaupun waktu sering
kali menjadi kabur seperti bayang-bayang di bawah lampu malap. Lelaki itu dibawa
masuk dengan langkah tidak sepenuhnya rela. Tangan tidak bergari tetapi suasana
sekeliling cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja berasa terikat di ruang ini.
Dia memandang sekeliling. Bukan dengan panik tetapi
dengan rasa ingin tahu yang aneh. Seolah-olah dia sedang membaca sebuah teks
yang belum selesai ditulis. Ada sesuatu pada wajahnya yang membuatkan aku
tertarik. Bukan kerana dia berbeza daripada manusia lain, tetapi kerana dia
kelihatan tidak cuba menjadi apa-apa selain diri sendiri.
Dari celah retakan dinding, aku memerhatikannya.
Dia duduk diam, kemudian tersenyum kecil; seolah-olah sedang berbicara dengan
seseorang yang tidak kelihatan.
Kadang-kadang dia menggerakkan bibir tanpa suara, bagaikan
mengulang sesuatu yang sudah lama terakam dalam fikiran. Aku tidak memahami sepenuhnya
bahasa yang dituturkan. Namun begitu, aku tahu perbezaan antara kata-kata yang
lahir daripada ketakutan dan kata-kata yang lahir daripada keyakinan. Yang ini
jelas bukan yang pertama.
Di luar sana, dunia sedang bising. Aku tidak
melihatnya dari sini tetapi aku mampu mendengar gema-gemanya melalui percakapan
yang terputus-putus. Melalui langkah kaki yang tergesa-gesa. Melalui bunyi
telefon yang berdering tanpa henti.
Mereka berkata, lelaki itu ditahan kerana sesuatu
yang ditulisnya—sesuatu berkaitan dengan agama tertentu. Sesuatu yang dianggap
berbahaya oleh mereka yang tidak sempat memahami.
Dia dikatakan memetik sesuatu yang dikatakan sahih.
Namun, dunia manusia sering kali tidak menilai kesahihan berdasarkan teks
semata-mata, sebaliknya berdasarkan perasaan yang mudah terluka bagai anak yang
terlalu dimanjakan.
Malam di tempat itu, dia tidur dengan lena. Hal itu
mengejutkan aku. Kebanyakan manusia yang datang ke ruang seperti ini akan
gelisah, berjalan ulang-alik, atau sekurang-kurangnya mengeluh dalam diam.
Tetapi lelaki ini hanya berbaring, menutup mata, dan membiarkan dirinya hanyut
ke dalam tidur seperti seseorang yang tahu bahawa tidak semua perkara boleh
dikawal.
Kemudian, baru aku teringat sesuatu. Dia
sendiri ada berkata, pengalaman pertama di lokap tidaklah seburuk yang
disangka, malah dia tidur nyenyak dan dilayan secara profesional.
Aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan
yang timbul dalam diriku pada ketika itu. Ia bukan simpati (kerana aku tidak
memahami konsep itu sepenuhnya). Ia juga bukan kagum (kerana aku tidak
mempunyai bahasa untuk menamakan perasaan tersebut).
Tetapi ada sesuatu yang menghubungkan aku dengan lelaki
itu. Sesuatu yang melampaui batas antara spesies; antara dua bentuk kehidupan
yang sering tidak saling memahami.
Sebentar tadi, aku pernah hampir mati. Seorang
manusia—lelaki Melayu, kalau aku boleh meneka berdasarkan bau dan bunyi suara—cuba
membelasah aku dengan penyapu. Katanya, dia mahu membunuh aku dengan sekali
pukul.
Aku masih ingat bagaimana suasana
tiba-tiba menjadi ganas. Bagaimana setiap gerakan menjadi ancaman. Bagaimana
dinding yang sebelum ini menjadi ruang selamat, tiba-tiba bertukar menjadi
perangkap. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Mengangkat Syiar Kod Suci Empayar

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!