29 Jul 2026

Mengangkat Syiar Kod Suci Empayar

Langit di atas kota Aksara-9 retak. Cahaya biru keunguan memancar dari rekahan itu, berdenyut seperti nadi yang hampir putus. Di bawahnya, ribuan tubuh bergelimpangan. Bukan semuanya mati tetapi kebanyakannya sudah tidak lagi ada alasan untuk hidup.

Bau besi terbakar bercampur darah mengering menusuk rongga hidung. Gema letupan jauh masih bergulung seperti guruh yang tidak mahu reda. Di tengah-tengah segala kekacauan itu, Kharun berdiri dengan pedang plasma masih menyala. Tangan bergetar bukan kerana keletihan tetapi kerana kesedaran yang baru saja menetas dalam diri.

Suatu kesedaran yang datang terlalu lambat.

Dia memandang rakan-rakannya—sisa pasukan elit yang pernah digelar “Penjaga Kemurnian”—yang kini berlutut, terhuyung-hayang, atau sekadar diam membatu.

Mereka datang ke kota ini dengan misi yang jelas: Hapuskan semua yang dianggap “tidak sejajar dengan Kod Suci Empayar.” Mereka telah melakukan misi sama berkali-kali sebelum ini. Planet demi planet. Koloni demi koloni. Tiada soalan, tiada keraguan. Hanya perintah. Hanya kepatuhan.

Namun, pada kali ini, sesuatu telah pecah dan terbelah. Bukan hanya langit tetapi juga naratif yang selama ini membungkus realiti hidup mereka.

“Ini bukan pembebasan,” bisik Lyris; suaranya serak, mata memandang seorang kanak-kanak yang terbaring tidak bergerak di hadapan. “Ini adalah genosid.”

Perkataan itu—genosid—terasa asing, seolah-olah ia tidak pernah wujud dalam kamus mereka. Selama ini, istilah yang digunakan ialah “penyucian,” “penyelarasan,” dan “pemulihan keseimbangan kosmik”.

Bahasa sudah menjadi alat untuk menutup luka, untuk mengaburkan kebenaran. Dan kini, bahasa itu nampaknya runtuh bersama kota yang sedang terbakar ini.

Kharun teringat saat pertama kali dia direkrut, bertahun-tahun lalu, di Akademi Orakel Empayar. Mereka diajar bahawa Empayar adalah satu-satunya entiti yang memahami struktur sebenar realiti. Bahawa segala yang berada di luar doktrin adalah gangguan, kesilapan, dan anomali yang mesti diperbetulkan.

Mereka dibekalkan teks-teks kuno—yang kononnya diturunkan dari sumber trans-dimensi—yang menjelaskan tujuan agung hidup mereka: Membawa keseragaman kepada alam semesta yang kacau.

Tiada siapa pernah dibenarkan mempersoalkan asal-usul teks itu. Tiada siapa pernah melihat sumbernya. Tetapi kepercayaan tidak memerlukan bukti; ia hanya memerlukan pengulangan, ritual, dan ketakutan.

Dan ketakutan adalah mata wang utama Empayar.

“Perintah seterusnya?” tanya Varek, seorang lagi anggota pasukan; suaranya kosong, seolah-olah dia masih cuba berpaut pada struktur lama.

Kharun tidak menjawab. Sebaliknya, dia memandang ke arah menara pusat kota—struktur tinggi yang kini separuh runtuh—di mana arkib utama Aksara-9 disimpan.

Sebelum serangan dimulakan, mereka telah memintas beberapa isyarat aneh dari arkib itu. Ternyata terdapat data yang tidak sepadan dengan naratif Empayar. Data yang menyebut tentang “Projek Asal,” tentang manipulasi sejarah; tentang penciptaan doktrin sebagai alat kawalan sosial.

Pada masa itu, Kharun menganggap semuanya sebagai propaganda musuh semata-mata. Sekarang, dia tidak lagi pasti tentang pendirian dan pemahaman itu.

“Kita perlu ke sana,” katanya seraya menunjuk ke arah menara itu.

“Untuk apa?” Varek bertanya.

“Untuk mengetahui sama ada kita ini pembela kebenaran … atau sekadar algojo yang diperdaya pihak berkepentingan.”

Mereka bergerak melalui runtuhan. Setiap langkah terasa berat. Bukan kerana halangan fizikal tetapi kerana beban kesedaran yang semakin menekan. Di sepanjang jalan, mereka melihat kesan kerja tangan mereka sendiri—dinding yang hangus, tubuh yang terkulai, mata yang terbuka tetapi kosong.

Setiap imej adalah cermin yang memantulkan sesuatu yang selama ini mereka enggan lihat kerana terhijab oleh propaganda Empayar.

Di pintu masuk arkib, mereka menemui seorang wanita tua yang masih hidup. Dia duduk bersandar pada dinding. Darah mengalir dari dahi. Wanita tua itu memandang mereka tanpa rasa takut; hanya keletihan yang mendalam. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Nyanyian di Ladang

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!