Aku
berlari tanpa kasut di celah-celah barisan pokok getah yang berdiri tegak
seperti sipahi yang sudah lupa bagaimana untuk bergerak.
Pokok-pokok
ini sudah berada di sini jauh lebih lama daripada umurku. Batangnya dipenuhi
parut lama akibat torehan yang dibuat setiap pagi. Setiap luka pada kulit pokok
seolah-olah menyimpan sebuah kisah yang tidak pernah diceritakan kepada
sesiapa.
Tanah
merah yang lembap memeluk tapak kakiku. Kadang-kadang aku terasa seolah-olah
tanah ini mahu menarik aku ke bawah dan membisikkan sesuatu yang tidak dapat
aku fahami.
Bau
susu getah memenuhi udara; campuran bau masam, manis, dan sedikit pahit. Bau
itu melekat pada kulit, pakaian, dan juga mimpi.
Cahaya
matahari pagi menembusi daun-daun getah dan membentuk jalur-jalur emas di atas
tanah. Bunyi cawan kecil tempat susu getah dikumpulkan kedengaran apabila ditimpa
biji getah yang gugur. Di kejauhan, kedengaran bunyi pisau menoreh kulit pokok
dengan gerakan yang begitu biasa sehingga ia hampir menjadi sebuah lagu.
“Cepat!
Kalau lambat, kau kalah lagi!”
Suara
Muthu memecahkan kesunyian pagi. Budak lelaki itu berlari sambil ketawa. Rambut
yang keriting bergetar mengikut langkah. Tubuh kecil dan kurus tetapi penuh
tenaga. Kulit yang gelap seperti tanah selepas hujan sentiasa berkilat akibat
peluh dan cahaya matahari.
Muthu
selalu ketawa walaupun hidup tidak memberikan banyak sebab untuk ketawa.
Ayahnya seorang penoreh getah yang mengalami sakit belakang selepas
bertahun-tahun membongkok sebelum matahari terbit.
Ibunya
pula memasak untuk beberapa keluarga di kawasan line pekerja. Namun,
Muthu mempunyai bakat yang jarang dimiliki orang dewasa: Dia mampu mencari
kebahagiaan daripada perkara yang paling kecil.
Aku
mengejar Muthu sambil ketawa. Tidak jauh di hadapan, Lakshmi berlari dengan
langkah yang lebih perlahan tetapi anggun. Rambut hitam yang panjang melambai
seperti bayang-bayang malam. Dia tidak banyak bercakap tetapi apabila dia
bersuara, semua orang akan mendengar.
“Jangan
tolak dia lagi, Raju,” katanya tanpa menoleh.
Raju
yang berada di belakangku tersenyum nakal. Dia memang sudah bersedia untuk
menolak bahuku seperti biasa.
“Aku
belum buat apa-apa lagi,” katanya sambil ketawa.
“Itu
sebab aku sudah tahu apa yang ada dalam kepala kau,” jawab Lakshmi.
Raju
membuat muka masam tetapi kami semua tahu dia tidak benar-benar marah. Dia anak
seorang kuli Telugu yang pernah menjadi buruh di landasan kereta api sebelum
berpindah ke ladang.
Raju
selalu bercakap besar tentang dirinya. Dia pernah berkata, dia akan menjadi
pemandu kereta besar suatu hari nanti dan membawa seluruh keluarga keluar dari
ladang.
“Kereta
apa?” Aku pernah bertanya.
“Kereta
paling besar di dunia.”
“Nama
kereta itu apa?”
Dia
diam seketika.
“Kau
terlalu banyak bertanya,” jawabnya.
Sejak
hari itu, kami sering mengusiknya tentang kereta yang tidak mempunyai nama.
Kami
berlari lebih jauh ke dalam ladang sehingga banglo tempat tinggalku hanya
kelihatan seperti sebuah kotak putih di atas bukit. Dari jauh, banglo itu
nampak cantik. Dinding putih, bumbung merah, dan halaman depan sentiasa dijaga
rapi.
Tetapi
apabila aku melihatnya dari tengah ladang, aku sering merasakan seperti ada sesuatu
yang sukar dijelaskan. Ia kelihatan seperti sebuah pulau. Pulau yang tidak
mempunyai jambatan perhubungan dengan dunia luar. … (bersambung)
Cerpen seterusnya: Paramatma
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip
cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB.
Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media
sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!