12 Aug 2026

Paramatma



Aku mendengar bunyi nafasku sendiri buat kali terakhir. Bukan bunyi yang kuat. Bukan bunyi yang menggetarkan dunia. Hanya satu hembusan perlahan seperti sewaktu daun kering gugur dari ranting tua.

Kemudian sunyi.

Sunyi yang tidak pernah aku kenali sepanjang enam puluh enam tahun hidup di muka Bumi.

Pada saat itu, aku masih menyangka aku hidup. Aku cuba membuka mata. Anehnya, aku melihat tubuhku sedang terbaring di atas katil.

Wajahku pucat. Mulutku sedikit terbuka. Kedua-dua tangan yang selama ini menyentuh ribuan benda kini diam seperti kayu reput yang hanyut lalu tersadai di tebing sungai.

Aku memandang agak lama. Lelaki tua itu ialah aku. Dan aku bukan lagi lelaki tua itu!

"Vasamsi jirnani yatha vihaya ...," bisik satu suara merdu dari tempat yang tidak dapat aku tentukan.

Aku kenal ayat itu. Ayat 22, Bab 2, Bhagavad Gita.

"Sebagaimana seseorang menanggalkan pakaian lama dan memakai pakaian baharu, demikianlah atma meninggalkan tubuh lama dan memasuki tubuh yang lain."

Aku tersenyum. Selama empat puluh tahun, aku menghafaz ayat itu dalam diam. Dalam ketakutan. Dalam kerinduan. Dalam keadaan tidak diiktiraf oleh undang-undang.

Pada usia dua puluh enam tahun, aku meninggalkan agama Hindu semata-mata untuk berkahwin dengan wanita pilihan. Aku masih ingat suasana pada hari itu. Pegawai agama yang tersenyum girang. Dokumen rasmi yang ditandatangani. Keluarga kandung yang menangis.

Aku menyangka cinta lebih besar daripada segala-galanya. Malangnya, dua tahun kemudian, perkahwinan itu berkecai seperti kelapa tua yang dihempas ke atas batu di kuil. Wanita yang dahulu mencintaiku mengaku sudah ada pasangan baharu.

Aku? Tiada anak. Tiada keluarga. Tiada apa-apa. Hanya aku. Dan rasa kehilangan yang tidak pernah berakhir dalam jiwa pada setiap saat.

Aku cuba kembali ke pangkal jalan. Berkali-kali. Tetapi manusia ada undang-undang sendiri. Pintu demi pintu ditutup. Sekatan demi sekatan diletak. Borang demi borang ditolak. Permohonan demi permohonan tidak dilayan.

Mereka hanya melihat maklumat pada kad pengenalan. Mereka tidak melihat api yang membakar dalam jiwa. Api yang menghancurkan masa depan seorang manusia.

Akhirnya, selepas perjuangan yang sia-sia selama hampir sedekad, aku berhenti meminta izin manusia. Aku kembali berbicara terus dengan Tuhan. Tanpa ada perantara di tengah. Tanpa perlu memuja atau memuji mana-mana manusia yang masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Setiap pagi, aku membaca Bhagavad Gita berserta terjemahan Bahasa Malaysia. Setiap malam, aku membaca Tirumurai dalam bahasa Tamil. Aku menangis secara spontan apabila menghayati kandungan Sivapuranam.

"Namaccivaya vazhga. Nathan thal vazhga."

"Semoga nama Shiva hidup selama-lamanya. Semoga kaki suci Tuhan hidup selama-lamanya."

Bertahun-tahun aku mengulangi bait-bait suci itu yang dikarang oleh Manikkavasagar dalam Thiruvasagam. Aku mendengar versi oratorio gubahan Ilayaraaja berjudul Thiruvasakam in Symphony (2005) dengan linangan air mata kesedaran, penyesalan, dan taubat.

Aku menikmati kesemuanya secara diam-diam. Seperti pencuri yang cuba mencuri kembali warisan, budaya, identiti, dan jati diri sendiri. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian kuharap masih diberi peluang.

Kini, aku sudah meninggal dunia. Dan tiada sesiapa boleh menghalang aku mendekatkan diri kepada Tuhan dengan cara yang paling aku yakini.

Aku melihat orang ramai mula memenuhi rumah. Ada yang menangis. Ada yang berbisik. Ada yang melahirkan rasa terkejut. Ada yang berbincang tentang urusan pengebumian. Ada yang mula berbahas tentang upacara yang sesuai.

Ada pihak yang tiba-tiba muncul. Mereka bertegas berebut jasadku. Bagaikan tubuh tua yang sudah tidak bernyawa ini tiba-tiba ada nilai tersendiri. Tubuh yang selama ini mereka abaikan ketika aku masih bernyawa. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Satyaseelan

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!