Pada
malam cicak tua itu mati, hujan turun dari pukul sembilan hingga hampir tengah
malam. Bukan hujan lebat yang mampu membuat bumbung zink bergegar, tetapi hujan
halus yang berterusan sehingga halaman rumah menjadi seperti kolam.
Di
bawah lampu dapur, cicak itu masih melekat pada dinding; kepala sedikit senget,
ekor kurus, dan sebelah kaki sudah tidak lagi mampu mencengkam seperti dahulu.
Namanya
Muthu. Sekurang-kurangnya begitulah cucu pemilik rumah memanggilnya sejak
beberapa bulan lalu.
Muthu
tidak pernah memperkenalkan dirinya kepada manusia. Cicak tidak perlu ada nama.
Mereka hanya perlu tempat panas, serangga kecil, dan dinding yang tidak runtuh.
Tetapi Muthu sudah terlalu lama hidup di rumah itu sehingga dia belajar bahawa
manusia suka memberikan nama kepada sesuatu yang mereka sayangi, termasuk
sesuatu yang akan mati tidak lama lagi.
Seekor
cicak muda keluar dari celah bingkai tingkap. Kulitnya masih licin. Matanya
hitam dan bulat. Ia baru beberapa bulan mengenal dunia, namun sudah ada tabiat
buruk bertanya terlalu banyak soalan.
“Tok. Betulkah
tok pernah jumpa Noah?”
Muthu
tidak bergerak. Hanya hujung ekor bergetar.
“Sudah
tentu.”
“Dalam
bahtera?” Cicak muda itu menghampiri.
Muthu
menjilat mata kanan dengan lidah.
“Tidak.”
Jawapan
itu membuatkan cicak muda terdiam.
“Jadi
tok jumpa dia di mana?” tanyanya.
“Di
luar bahtera.”
Hujan
semakin kuat. Bau tanah basah masuk melalui tingkap yang tidak tertutup rapat.
Dari ruang tamu, terdengar bunyi televisyen. Seorang wanita tua sedang membaca
sesuatu sambil sesekali batuk.
Muthu
memandang titisan air hujan.
“Aku
bukan cicak yang dipilih.”
“Dipilih
untuk apa?” Cicak muda kurang mengerti.
“Untuk
hidup.”
Itulah
cerita yang Muthu ulang selama bertahun-tahun. Setiap kali ada anak cicak
baharu muncul di rumah, dia akan menceritakan kisah Noah. Cicak-cicak muda
ketawa kerana tidak percaya. Ada yang menganggap Muthu sudah nyanyuk. Ada yang
menganggap dia sengaja menakutkan mereka supaya tidak keluar dari rumah pada waktu
malam jika hujan.
Namun,
malam itu sedikit berbeza. Air mula merayap masuk melalui celah pintu belakang.
“Aku
rasa banjir itu datang lagi,” kata Muthu seraya mengangkat kepala.
“Tok
selalu cakap begitu.” Cicak muda ketawa kecil.
“Ya.” Muthu
memandangnya lama. “Sebab itu aku masih hidup.”
Menurut
manusia, Hemidactylus frenatus biasanya hidup sekitar lima tahun. Muthu
pernah mendengar perkara itu daripada seorang lelaki berkaca mata yang datang
ke rumah tersebut membawa buku, kamera, dan perangai manusia yang suka
memerhatikan benda kecil tanpa benar-benar memahami kehidupannya.
“House
gecko,” katanya sewaktu berdiri di bawah lampu dapur.
Muthu
tidak suka istilah itu. Dia bukan milik rumah manusia. Dia hanya tinggal di
rumah manusia. Perbezaannya besar.
Lelaki
itu merakam foto. Kemudian, dia membuka komputer riba dan membaca sesuatu
tentang cicak rumah biasa. Muthu mendengar perkataan seperti lifespan, nocturnal,
territorial, five years. Semua istilah itu tidak bermakna
baginya.
Tetapi
satu angka menarik perhatiannya. Lima.
Muthu
sudah hidup lebih lama. Enam tahun, mungkin tujuh. Dia sendiri tidak pasti.
Umur
cicak tidak dihitung dengan kalendar. Umur dihitung melalui kehilangan. Satu
ekor cicak muda yang tidak pulang. Satu ekor labah-labah yang tidak lagi
bergerak. Satu lampu yang diganti. Satu manusia yang meninggal. Satu dinding
yang dicat semula.
Muthu
pernah kehilangan ekornya ketika masih muda. Namun, dia tidak pernah kehilangan
kenangan. Itulah masalahnya. Kerana kenangan lama sentiasa hadir semula dalam
minda.
“Aku
tidak masuk bahtera
Noah,” katanya.
“Kenapa?”
Cicak muda bergerak semakin rapat.
“Kerana
Noah tidak mahu aku.” … (bersambung)
[Petikan cerpen ini
merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda
meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!