28 Oct 2026

Kotak dari Langit


Ketika saya sampai di kampung itu, sebuah kotak hitam sedang disembah di tengah-tengah jalan.

Empat batang buluh berdiri mengelilinginya; masing-masing dihiasi kain merah, kuning, hijau, dan biru. Di atas meja kayu yang sudah dimakan anai-anai, terdapat bunga melur, daun mangga, kelapa muda, limau, vadai, dan secawan susu yang mula masam.

Saya membrek kereta apabila seorang lelaki tua meluru ke tengah jalan lalu mengangkat tongkatnya. Tubuhnya kurus, kulit legam dimakan matahari, misai putih jatuh ke kiri, dan sebatang gigi hadapan berwarna keemasan. Dia memakai veshti lusuh dengan kemeja biru yang butangnya tidak sama warna.

“Jangan jalan terus!”

Saya menurunkan cermin tingkap sisi.

“Kenapa?”

“Dewa sedang menerima berkat.”

Saya melihat simpang empat di hadapan saya. Atau apa yang nampaknya dahulu simpang empat. Kini jalan itu membentuk bulatan besar, terlalu besar untuk sebuah kampung yang hanya mempunyai beberapa puluh rumah. Sebuah lori boleh mengelilingi tanpa mengundur, dan entah bagaimana semua jalan masuk kembali ke tempat yang sama. Seolah-olah inilah pusat bagi kampung berkenaan.

“Ini kampung apa?”

“Anahita.”

“Daerah?”

Lelaki itu mengerutkan dahi.

“Daerah?” Dia memandang seorang wanita tua yang sedang membawa dulang pisang. “Daerah itu apa?”

Wanita itu mengangkat bahu. Lelaki tua tadi kembali memandang saya.

“Saya Perumal, ketua kampung.”

Saya memperkenalkan diri.

“Kerja?”

“Menulis.”

Perumal memandang saya agak lama. Kemudian, dia melihat kereta saya dengan penuh minat.

“Kamu penulis yang datang semalam?”

Saya ketawa kecil.

“Saya baru sampai.”

“Semalam kamu belum sampai?”

“Belum.”

Perumal mengangguk seolah-olah jawapan itu menyelesaikan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul.

“Bagus,” katanya.

“Bagus apa?”

“Belum sampai.”

Dia memberi isyarat kepada orang kampung supaya berundur. Beberapa orang mengalihkan bakul makanan. Seorang budak lelaki yang memegang seekor ayam terus memandang saya dengan mata bulat. Ayam itu pula kelihatan lebih tenang daripada manusia di situ.

Saya keluar dari kereta. Dari sebuah rumah berhampiran, datang bau kelapa parut yang disangai. Seekor anjing menyalak sekali, kemudian bersembunyi di bawah motosikal. Dari tengah bulatan pula kedengaran bunyi halus.

Bip.

Semua orang menunduk.

Bip.

Seorang wanita mengangkat kedua-dua tangan.

Bip.

Muthu, lelaki gemuk yang sedang makan vadai, memasukkan seluruh baki vadai ke dalam mulut, lalu melutut.

“Ini apa sebenarnya?” Saya bertanya kepada Perumal.

“Dewa Kayangan.”

“Kotak itu?”

“Ya.”

“Macam mana boleh jadi dewa?”

Perumal kelihatan hairan mendengar soalan saya.

“Dia jatuh dari langit.”

“Benda jatuh dari langit, terus jadi dewa dan disembah?”

“Kalau tidak, kena jadi apa?”

Saya tidak menjawab. Namun, itulah soalan pertama yang saya fikirkan di Kampung Anahita.

Bukan soal siapa mereka. Bukan soal mengapa kampung itu tidak muncul dalam peta. Bukan tentang jalan keluar yang kelihatan seperti jalan masuk.

Sebaliknya, saya mula tertanya-tanya mengapa satu objek yang jatuh dari langit memerlukan manusia untuk menentukan apa yang telah berlaku.

Saya mendekati meja. Tulisan pada bahagian bawah kotak masih boleh dibaca walaupun penuh lumpur: FLIGHT RECORDER.

“Ini bukan dewa!”

“Jangan berani kata begitu!” Perumal terus mengangkat tongkat.

“Saya cuma beritahu. Mungkin anda terlepas pandang.”

“Kamu orang luar.”

“Saya tahu membaca …”

“Kamu tidak tahu adat.”

“Saya baru sampai.”

“Lebih baik begitu.”

“Kenapa?”

“Orang yang baru sampai belum banyak buat dosa.”

Saya hampir tersenyum. Tetapi sebelum saya sempat berkata apa-apa, seorang wanita tua mencelah.

“Sejak kotak itu datang, anak saya sembuh,” katanya. … (bersambung)

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!