Petikan awal cerpen “Paramatma” menggunakan satu bentuk cangkuk naratif atau narrative hook yang sangat kuat: Kematian bukan sebagai penutup cerita, tetapi sebagai titik permulaan cerita.
Ayat
pertama iaitu “Aku mendengar bunyi nafasku sendiri buat kali terakhir” terus
meletakkan pembaca dalam keadaan luar biasa. Pembaca bukan diperkenalkan kepada
watak ketika dia sedang menjalani kehidupan biasa, sebaliknya pada detik
terakhir kewujudannya sebagai manusia. Teknik ini menghasilkan kejutan
serta-merta, di samping menimbulkan persoalan asas: Siapakah “Aku” selepas
kematian?
Kekuatan
cangkuk naratif ini terletak pada kontradiksi perspektif. Watak “Aku”
menyedari bahawa dirinya telah mati, tetapi pada masa yang sama masih mampu
melihat, berfikir, dan bercakap. Ungkapan “Lelaki tua itu ialah aku. Dan aku
bukan lagi lelaki tua itu!” menjadi titik paradoks yang mengubah hukum realisme
kepada persoalan metafizik.
Dari
perspektif teori point of view, Percy Lubbock dalam The Craft of Fiction (1921) menegaskan
pentingnya hubungan antara kedudukan pencerita dengan cerita yang disampaikan.
Dalam petikan ini, orang pertama bukan sekadar teknik penyampaian; ia menjadi
alat untuk membolehkan pembaca mengalami kematian dari dalam kesedaran watak.
David Lodge dalam The Art of Fiction (1992)
menjadikan “beginning” (permulaan) sebagai salah satu aspek penting seni
fiksyen kerana pembukaan menentukan cara pembaca memasuki dunia cerita. Pembukaan
cerpen “Paramatma” berkesan kerana ia tidak memberikan latar belakang terlebih
dahulu.
Sebaliknya,
pembaca dicampakkan terus ke dalam krisis eksistensial. Selepas itu barulah
maklumat masa lalu diberikan melalui analepsis atau imbas kembali: Kisah
pertukaran agama, perkahwinan yang gagal, kehilangan keluarga, usaha kembali
kepada agama asal, dan konflik dengan undang-undang. Dengan demikian, latar
belakang atau kisah lalu yang diceritakan menerusi imbas kembali bukan menjadi
beban eksposisi, sebaliknya menjadi jawapan sementara kepada persoalan yang
sudah ditanam pada awal cerita.
Dari
sudut dramaturgi, Lajos
Egri dalam The Art of Dramatic Writing (1946) menekankan
hubungan antara watak, konflik, dan premis. Petikan awal cerpen “Paramatma”
sudah memperlihatkan ketiga-tiganya. Watak ialah seorang lelaki berumur
enam puluh enam tahun yang membawa luka identiti; konflik ialah
pertentangan antara keyakinan peribadi dengan struktur sosial dan
undang-undang; manakala premis yang mula terbentuk ialah persoalan sama
ada seseorang masih boleh menentukan identiti dan hubungan spiritualnya selepas
masyarakat menafikan hak tersebut.
Apa
yang menarik, cangkuk naratif dalam cerpen ini tidak bergantung pada misteri
kematian semata-mata. Ia berkembang menjadi misteri tentang tubuh, identiti,
dan pemilikan. Pada penghujung petikan, diceritakan bahawa “ada pihak yang
tiba-tiba muncul” dan “berebut jasadku”.
Di
sinilah cangkuk naratif kedua muncul. Jika roh sudah bebas daripada tubuh,
mengapa tubuh yang tidak bernyawa itu masih menjadi rebutan? Siapakah mereka
dan apakah tujuan mereka? Mengapakah mereka tidak pula hadir ketika lelaki itu
masih hidup? Persoalan-persoalan ini mencipta narrative tension yang memaksa
pembaca terus membaca.
Dalam
tradisi estetika India, teori rasa oleh Bharata Muni memberi perhatian
kepada pengalaman emosi pembaca atau penonton yang terhasil daripada
hubungan antara keadaan, tindakan, dan emosi. Petikan awal cerpen “Paramatma”
khususnya menggabungkan karuṇa (kesedihan), bhayānaka (kengerian), dan
adbhuta (kehairanan).
Dapat
diperhatikan, kesedihan muncul melalui kehidupan watak yang terputus daripada
keluarga; kengerian melalui kesedaran bahawa dia sudah meninggal dunia;
sementara kehairanan lahir daripada kemampuan watak “Aku” melihat jasad
sendiri. Ketiga-tiga unsur ini menjadikan bahagian pembukaan cerpen bukan
sekadar informatif, malah emosional.
Apa
yang lebih menarik ialah konsep dhvani iaitu makna yang disarankan
melampaui makna literal dalam teori dhvani (theory of suggestion)
oleh Anandavardhana.
Dhvanyāloka
meletakkan dhvani sebagai unsur penting yang membolehkan teks
menghasilkan makna yang tidak dinyatakan secara langsung. Demikianlah dalam
cerpen “Paramatma”, kematian secara literal mungkin sebenarnya menyarankan
“kelahiran” kepada suatu identiti baharu. Dengan itu, petikan daripada Bhagavad Gita (Ayat 22,
Bab 2) tentang “menanggalkan
pakaian lama” kini memperoleh fungsi struktural, bukan sekadar fungsi
keagamaan.
Pembaca
boleh membayangkan sekurang-kurangnya beberapa kemungkinan perkembangan
seterusnya dalam cerita. Pertama, perebutan jasad mungkin menjadi
konflik utama antara keluarga, institusi agama, dan pihak berkuasa. Kedua,
watak “Aku” mungkin menyaksikan dari alam selepas kematian bagaimana manusia
yang dahulu mengabaikannya tiba-tiba mendakwa mempunyai hak terhadap tubuhnya. Ketiga,
konflik tersebut mungkin berkembang menjadi persoalan lebih besar tentang siapa
sebenarnya yang mempunyai kuasa menentukan identiti seseorang: Individu,
keluarga, agama, negara, atau diri sendiri.
Haruki
Murakami,
dalam perbincangannya tentang proses penciptaan fiksyen, menyebut
bahawa sesuatu karya boleh bermula daripada beberapa perenggan yang mengandungi
“keanehan”, lalu cerita berkembang daripada persoalan tersebut.

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!