26 Aug 2026

Makhluk Asing di Wang Kelian



Hujan turun dengan lebat ketika satu susuk tubuh terhumban dari celah kabus yang berpusar, lalu terhempas di lereng bukit diselubungi rahsia dan kesunyian tidak terperi.

Tanah yang dipijak tidak pernah disebut secara terang dalam warkah rasmi. Dalam bisikan orang tempatan pula, tempat ini dikenali sebagai sebuah wilayah sempadan yang seolah-olah wujud di antara dua dunia—dunia nyata dan dunia yang sengaja dilupakan.

Tubuh makhluk itu menggigil dan matanya yang bercahaya keperangan menembusi gelap malam, seakan-akan mencari sesuatu yang telah lama hilang.

“Datuk … apakah benar engkau pernah menjejakkan kaki di Bumi ini?” bisiknya perlahan; suara itu tenggelam dalam deruan hujan yang tidak mengenal belas.

Makhluk itu, yang kemudian kita kenali dengan nama Arka, melangkah terhuyung-hayang di antara pohon-pohon tinggi yang menjulang seperti watak Adam dalam kitab purba. Dia tidak menyedari setiap langkahnya sedang menyingkap lapisan sejarah yang sengaja dikambus oleh masa dan kuasa.

Dalam ingatannya, Bumi ini adalah tempat yang dijanjikan sebagai dunia baharu—sebuah tanah harapan di mana sesiapa yang tersisih boleh memulakan hidup baharu tanpa bayang ketakutan.

Namun begitu, hakikat yang menantinya jauh berbeza. Bumi ini bukan sekadar tempat hidup, malah juga medan di mana manusia sanggup memperdagangkan sesama spesis, memenjarakan jiwa dalam tubuh yang keletihan, malah tergamak menanam mereka hidup-hidup dalam liang tanah tanpa nama apabila nilai atau harga mereka tidak lagi menguntungkan.

Dalam keheningan ini, Arka merasakan seolah-olah tanah yang dipijak berdenyut dengan sisa-sisa penderitaan. Seolah-olah setiap zarah tanah mengandungi jeritan yang belum sempat dilepaskan dari peti suara.

Pada waktu yang sama, di sebuah pejabat surat khabar yang kecil tetapi sibuk di Melaka, Ravimaran berdiri dengan wajah tegang di hadapan editornya, seorang lelaki tua yang telah lama mengenali selok-belok dunia kewartawanan dan segala batasan yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

“Mayat-mayat itu bukan seperti yang dilaporkan,” ujar wartawan muda itu dengan suara terkawal tetapi sarat dengan kegelisahan, sambil meletakkan beberapa keping nota dan lakaran kasar di atas meja. “Ada tanda-tanda mereka dikurung, diseksa, malah ditinggalkan untuk mati. Ini bukan sekadar kematian biasa.”

Si editor keturunan Tamil-Muslim menghela nafas panjang sebelum menjawab dengan nada sinis: “Kita menulis apa yang dibenarkan untuk ditulis, Ravi. Bukan apa yang kita mahu tulis.”

Namun begitu, Ravi pantang berundur. Naluri sebagai pencari kebenaran atas dasar satyameva jayate ternyata lebih kuat daripada ketakutan terhadap kuasa yang cuba menutup mulut surat khabar.

Perjalanan Ravi ke utara membuka satu dunia yang sangat berbeza berbanding kota yang dikenalinya. Jalan-jalan tanah merah berlumpur, kampung-kampung sunyi, dan wajah-wajah penduduk sarat dengan rahsia menjadi petanda bahawa sesuatu yang besar sedang disembunyikan tanpa rela.

Apabila dia tiba di Wang Kelian, suasana di situ terasa ganjil, seolah-olah masa bergerak dengan cara yang berbeza. Malah setiap bunyi di dalam hutan membawa gema yang seolah-olah tidak sepatutnya wujud.

Seorang lelaki tua yang ditemuinya di tepi jalan tiba-tiba bertanya: “Kamu datang untuk mencari kubur itu, bukan?”

Ravi terdiam.

“Kubur itu bukan sekadar tanah yang menelan mayat. Ia menelan cerita, menelan kebenaran, dan menelan sesiapa sahaja yang cuba membongkar rahsia.”

Kata-kata lelaki tua itu membuatkan Ravi semakin yakin bahawa dia berada di ambang satu penemuan yang besar untuk dilaporkan di surat khabar.

Sementara itu, Arka semakin tenggelam dalam pengalaman yang tidak dapat dijelaskan oleh akal. Setiap kali dia menyentuh tanah, bayangan muncul dalam fikiran: Sekumpulan makhluk kurus dan keletihan, mata cekung dan penuh ketakutan, tubuh dipenuhi luka tidak dirawat, dan suara bergema dengan rayuan yang begitu manusiawi sehingga mampu merobek jiwa. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Emmuuaacchh

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!