Cerpen
“Kultus Keamanan” (Sebelas Amanat Swamiji,
2025) bukan sekadar kisah tentang sebuah kumpulan ajaran sesat yang dipimpin
oleh Datuk Swamiji. Cerpen ini merupakan kritikan sosial terhadap
penyalahgunaan agama, kepercayaan, ketaksuban, dan kuasa oleh seorang pemimpin
yang memanipulasi pengikut demi kepentingan diri.
Melalui
watak Swamiji, pengarang memperlihatkan bagaimana seorang individu yang tidak
mempunyai kewibawaan ilmu boleh mencipta imej sebagai tokoh agama, membina
pengaruh, dan akhirnya mengawal pemikiran serta tingkah laku pengikut.
Manipulasi
pertama yang jelas ialah penipuan terhadap autoriti ilmu. Swamiji mendakwa,
semua perkara yang disampaikannya merupakan fakta yang terbukti secara
saintifik, sedangkan dia sendiri mengakui bahawa hujahnya bukan saintifik dan
dia bukan ahli sains. Lebih ironis, dalam cerpen ini, dia digambarkan sebagai
seorang yang buta huruf.
Apabila
pengikut bertanya tentang dinosaur, Swamiji dengan mudah menafikan kewujudannya
kerana perkara itu tidak tercatat dalam buku-bukunya. Apabila ditanya tentang
planet dan kehidupan di luar Bumi pula, dia mengelak daripada memberikan
jawapan dan mengarahkan pengikut membeli buku yang ditulis oleh pengikutnya.
Teknik
ini menunjukkan satu bentuk pseudoautoriti. Swamiji tidak
membuktikan kebenaran dakwaannya melalui ilmu atau bukti, sebaliknya meminta
pengikut menerima kata-katanya kerana dia ialah pemimpin. Lebih berbahaya, dia
menggunakan keyakinan yang keterlaluan untuk menutup kelemahan pengetahuan
sendiri. Apabila sesuatu persoalan tidak dapat dijawab, persoalan itu pula
dianggap tidak penting atau tidak wujud.
Manipulasi
kedua ialah memutarbelitkan sumber agama dan sejarah. Watak Swamiji mengambil
cerita daripada pelbagai tradisi, termasuk Hindu, Kristian, dan Greek, kemudian
mengolahnya semula untuk membina naratif yang menguntungkan kultusnya. Kisah
Jesus, misalnya, diubah menjadi cerita bahawa Jesus akan lahir semula sebagai avatara
untuk mengiktiraf dan mempromosikan kultus Swamiji. Malah, Swamiji membuat
dakwaan yang lebih melampau bahawa ajarannya merupakan sumber kepada kitab
Hindu, Buddha, dan Kristian.
Di
sini berlaku penyelewengan autoriti tradisi. Swamiji meminjam kewibawaan teks
dan tokoh agama yang sudah dikenali masyarakat untuk memberikan legitimasi
kepada dirinya sendiri. Pada masa sama, dia menampilkan dirinya sebagai
individu yang mempunyai hubungan istimewa dengan para dewa. Dengan cara itu,
pengikut didorong mempercayai bahawa tindakan menentang Swamiji bererti
menentang sumber ketuhanan yang kononnya memberikan ilmu kepadanya.
Manipulasi
seterusnya ialah mencipta rasa eksklusiviti dan kepatuhan kelompok. Ceramah
tertentu hanya dibuka kepada pengikut terpilih yang sudah lama menyertai
kultus. Penggunaan istilah seperti “ceramah khas” dan pertemuan tertutup
mewujudkan tanggapan bahawa pengikut tertentu memiliki pengetahuan yang tidak
diketahui orang luar. Dalam keadaan sedemikian, seseorang pengikut mungkin
berasa dirinya istimewa dan semakin terikat dengan kelompok.
Swamiji
juga memanfaatkan ketakutan (fear). Dia menggambarkan sesiapa yang
menentang kultus sebagai musuh yang perlu ditentang dan dihapuskan. Pada masa sama,
dia mengaitkan kultus dengan pengaruh kongsi gelap, pihak berkuasa, dan politikus
tertentu.
Cerpen
“Kultus Keamanan” menggambarkan bagaimana pengaruh sedemikian digunakan untuk
mengatasi bantahan atau larangan. Keadaan ini menghasilkan suasana psikologi
yang menyebabkan pengikut berasa bahawa tindakan meninggalkan atau mendedahkan kelemahan
kultus mungkin membawa akibat buruk kepada diri.
Apa yang
lebih serius ialah manipulasi moral. Swamiji secara terbuka membenarkan
pengikut berbohong apabila sumpah tersebut dibuat demi kepentingan kultus. Dia
malah mendakwa para dewa akan mengampunkan dosa mereka kerana pembohongan itu
dilakukan untuk melindungi organisasi.
Dengan
demikian, sempadan antara benar dan salah sengaja dihapuskan.
Prinsipnya mudah: Apa-apa tindakan boleh dianggap betul sekiranya menguntungkan
kultus.
Watak Swamiji
turut memanipulasi keinginan seksual pengikut. Dia membenarkan kewujudan
gundik, pertukaran pasangan, dan pelbagai hubungan seksual dengan syarat
semuanya dirahsiakan daripada masyarakat luar.
Dalam
konteks kultus, kuasa seksual seperti ini bukan sekadar soal moral peribadi. Ia
memperlihatkan bagaimana pemimpin kultus menggunakan kedudukannya untuk
menentukan sempadan tingkah laku pengikut dan memberikan dirinya sendiri kuasa
untuk mendefinisikan apa yang dianggap “dibenarkan”, “dihalalkan”, atau “diharamkan”.
Akhir
sekali, watak Swamiji menggunakan ganjaran ghaib dan ancaman akhirat. Dia
menjanjikan svarga kepada mereka yang berjuang menyebarkan kultus,
sementara orang yang tetap berpegang kepada Sanatana Dharma (Hinduisme) kononnya
akan dihantar ke naraka. Dengan menjadikan “keselamatan selepas kematian”
sebagai ganjaran, Swamiji mengubah kepercayaan agama menjadi alat kawalan
terhadap pengikut kultus berkenaan.
Adakah
keadaan seperti digambarkan dalam cerpen “Kultus Keamanan” boleh berlaku dalam
realiti? Ya, secara prinsipnya boleh berlaku. Kultus tidak semestinya bermula
dengan pemimpin yang kelihatan jahat. Ia boleh bermula dengan seseorang yang
mendakwa mempunyai pengetahuan istimewa, menawarkan jawapan mudah kepada
persoalan kehidupan, dan secara beransur-ansur membina hubungan kebergantungan
dengan pengikut.
Manipulasi
menjadi semakin berbahaya apabila pemimpin kultus menuntut ketaatan mutlak,
menghalang kritikan, mengasingkan pengikut daripada pandangan luar, dan
meyakinkan mereka bahawa hanya kumpulan sendiri mempunyai kebenaran, manakala
orang di luar kultus adalah “salah” dan “jahat”.
Oleh
itu, pengikut mana-mana kumpulan ajaran, agama, atau kultus perlu mengekalkan pemikiran
kritis. Dakwaan agama, saintifik, atau sejarah tidak sepatutnya diterima hanya
kerana disampaikan oleh tokoh yang mempunyai gelaran atau pengikut yang ramai.
Sumber
sahih perlu diperiksa, pertanyaan perlu dibenarkan, dan pemimpin perlu bersedia
menerima kritikan. Sebarang unsur penipuan, keganasan, eksploitasi seksual,
pemerasan, ancaman, atau penyalahgunaan kuasa pula perlu dianggap sebagai tanda
amaran yang serius bahawa kultus itu sebenarnya ajaran sesat yang membinasakan.
Dalam
cerpen ini, watak Swamiji berjaya membina kultus bukan kerana dia mempunyai
ilmu yang benar, sebaliknya kerana dia mahir mengeksploitasi kelemahan manusia:
Keinginan untuk mempunyai jawapan, rasa ingin menjadi istimewa, ketakutan,
nafsu, kepercayaan kepada kuasa ghaib, dan kecenderungan untuk menurut
kelompok.
Maka,
mesej utama yang disampaikan secara tersirat menerusi cerpen “Kultus Keamanan”
ialah hakikat kepercayaan tanpa pemikiran kritis boleh berubah menjadi alat
penindasan. Apabila seorang pemimpin kultus menuntut agar dirinya tidak boleh
dipersoalkan, pada saat itulah pengikut wajar berhenti mengikut dan mula
bertanya sama ada dia seorang pemimpin atas seorang penipu.

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!