8 Apr 2026

Kutti Masuk Kandang Babi


Pada saat saya mula menulis kisah ini, Kutti sudah pun berdiri di hadapan pintu Mahkamah Keadilan Binatang buat kali kedua dalam hidupnya, dan saya—yang kononnya seorang pengarang—terpaksa mengaku bahawa saya tidak pasti sama ada dia benar-benar seekor kambing atau sekadar alegori yang tersalah masuk ke ladang babi terbesar di benua itu.

 

Kutti ialah anak kambing betina yang dilahirkan pada suatu pagi yang terlalu jujur untuk dunia yang penuh sandiwara. Emaknya, Embek, menjilat tubuhnya yang basah sambil berbisik: “Kau kambing yang comel, Kutti. Ingat itu.”

 

Tetapi bapanya, Kote, ketika itu sudah mula memandang ke arah pagar ladang jiran, tempat sekumpulan babi berkubang dalam lumpur yang berbau masam dan menjanjikan kuasa.

 

Saya tidak tahu sama ada cinta Kote terhadap babi-babi itu lahir daripada keinginan politik atau sekadar nafsu yang dibungkus retorik pembaharuan sosial.

 

Apa yang pasti, tidak lama selepas Kutti belajar mengembek dengan sempurna, Kote menceraikan Embek dan mengisytiharkan dirinya sebagai Kote Babi, lengkap dengan sidang media besar-besaran di hadapan kandang.

 

“Identiti adalah pilihan,” kata Kote Babi pada hari itu, sambil berdiri di atas tong makanan babi. “Dan saya memilih untuk berhijrah.”

 

Babi-babi betina di sekelilingnya bersorak—atau mungkin sekadar mendengus panjang yang saya tafsir sebagai sorakan.

 

Embek pula berdiri di tepi pagar. Matanya merah—bukan kerana debu tetapi kerana maruah disiat-siat oleh seekor jantan yang tiba-tiba malu menjadi kambing.

 

“Kau boleh tukar nama,” jerit Embek, “tetapi darah Kutti tetap darah kambing!”

 

“Darah boleh dineutralkan dengan diet dan doktrin,” kata Kote Babi dengan penuh angkuh sambil memegang mikrofon pada sidang media.

 

Pada petang itu juga, Kote Babi membawa Kutti menyeberangi pagar, meninggalkan Embek yang terkulai seperti daun kering yang tidak lagi percaya pada musim.

 

Di ladang babi terbesar di benua itu—yang kononnya menjadi model kemajuan perladangan dan pertanian—Kutti dibesarkan sebagai babi. Dia diajar berkubang sebagai ritual kesetiaan, diajar mendengus sebagai bahasa rasmi, dan diajar bahawa kebersihan adalah konspirasi kambing untuk melemahkan daya tahan.

 

Budaya babi di situ bukan sekadar berkaitan lumpur. Sebaliknya tentang penolakan sistematik terhadap segala yang bersih, teratur, dan berprinsip. Satu-satunya objek yang dipuja ialah tahi babi yang dikumpul, dikeringkan, dan dikeraskan menjadi bentuk bongkah kiub di tengah ladang.

 

Saya, sebagai pengarang yang rajin membaca jurnal veterinar dan laporan kesihatan awam, tidak dapat menahan diri daripada menyelitkan dalam fiksyen ini fakta-fakta yang kemudian dijadikan dogma oleh puak babi: Bahawa babi boleh menjadi pembawa pelbagai zoonosis, bahawa persekitaran yang sarat najis babi meningkatkan risiko jangkitan bakteria seperti Salmonella dan E. coli, bahawa virus influenza pernah bermutasi dalam tubuh babi sebelum berjangkit kepada manusia.

 

Namun, di ladang agraria itu, segala risiko dijenamakan sebagai “ketahanan revolusioner”.

 

“Kalau kau sakit dan rasa seperti dirasuk,” kata seekor babi tua kepada Kutti, “itu tanda anggota tubuh kau menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan babi. Kau mesti bersedia untuk melayan semua babi jantan di sini.”

 

Kutti, walaupun masih kecil, menyimpan kemas kata-kata emaknya dalam lipatan memori. Setiap kali dia dipaksa bergolek dalam lumpur bercampur tahi, dia teringat Embek yang pernah berkata, “Kebersihan bukan sekadar fizikal, tetapi akhlak.”

 

Dia cuba meniru dengusan babi tetapi suaranya tetap terdengar seperti embekan yang tercekik.

 

“Kau perlu belajar untuk lebih meyakinkan,” tegur Kote Babi yang kini semakin gemuk dan berkilat kerana diberi layanan intim oleh beberapa babi betina yang bersaing memenangi hatinya. … (bersambung)


[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]