Semasa
mengunjungi penulis veteran, M. Mahendran di Bentong, Pahang pada
April 2025, saya terkejut dan teruja melihat beberapa pohon kanikonna (pokok pancuran emas) berbunga
lebat di luar pangsapuri beliau.
Apabila
saya pergi semula ke sana sempena Permukiman Penulisan Kavyan pada hujung
minggu lalu [21 Jun 2025], beberapa pokok itu masih berbunga, walaupun tidak
lebat.
Sebagai
individu keturunan Malayali, saya amat gembira melihat
pokok kanikonna di Malaysia. Pada Mei
2025, saya turut berpeluang melihat pokok itu di sekitar Subang Jaya, Selangor.
Nama
saintifiknya ialah Cassia fistula dan
merupakan bunga rasmi bagi negeri Kerala, India. Malah, ia juga pokok dan bunga
kebangsaan bagi Thailand sejak 2001.
Bunga
kanikonna berasal dari negara India dan
dikenali dengan pelbagai nama di sana. Misalnya, ‘konrai’ dalam bahasa Tamil, ‘amaltas’
(Hindi dan Urdu), ‘sonalu’ (Bengali), ‘rela’ (Telugu), ‘garmalo’ (Gujarati), ‘bahava’
(Marathi), dan ‘kakke’ (Kannada).
Nama-nama
dalam bahasa Sanskrit pula termasuk suvarna bhushana, aragwadha, shampaka,
chaturangula, arevata, suvarnaka, kritamala, pragraha, amaha, arogyasimbi,
kushtasudana, vyadhighata, dan jvarantaka.
Dalam
bahasa Sinhala di Sri Lanka, ia dikenali dengan nama ‘ehela’ sementara di
Thailand sebagai ‘ratchaphruek’, ‘dok khoun’ di Laos, dan ‘tengguli’ di Indonesia.
Nama lazim dalam bahasa Inggeris ialah ‘golder shower’, ‘Indian laburnum’, dan ‘purging
cassia’.
Bagi
masyarakat keturunan Malayali, bunga ‘kanikonna’ dengan lima kelopak kuning sangat
istimewa kerana dikaitkan dengan sambutan Vishu iaitu tahun baharu. Secara
kebetulan, pokok ini berbunga lebat pada bulan April menjelang sambutan ‘Vishu’.
Namun
begitu, sebagaimana turut dilaporkan di The
Times of India (12 April 2017), perubahan iklim dunia menyebabkan musim
pohon ‘kanikonna’ berbunga sudah tidak dapat diduga.
Bunga
ini sangat berkait rapat dengan sambutan Vishu oleh komuniti Malayali di
seluruh dunia. Bunga ‘kanikonna’ merupakan salah satu unsur penting dalam
penyediaan ‘Vishukani’ yang dijadikan objek pertama dilihat pada pagi tahun baharu.
Selain
daripada beras, kelapa, ‘vaalkannadi’ (cermin), lampu tradisional, ‘thiru
udayada’ (kipas tangan), dan patung Dewa Vishnu, Vishukani tidak lengkap tanpa
barangan berwarna kuning keemasan seperti lemon, nangka, mangga, pisang, nanas,
‘kanivellari’ (timun kuning), dan bunga ‘kanikonna’.
Bagi
negara di mana bunga ‘kanikonna’ sukar didapati, orang Malayali akan
menggantikan dengan bunga lain yang berwarna kuning keemasan. Namun begitu, atas
permintaan tinggi daripada komuniti Malayali di luar negara, bunga ‘kanikonna’
segar turut dieksport dari Kerala ke luar negara sejak beberapa tahun lalu.
Antara
negara itu ialah Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, Qatar, Bahrain, Arab
Saudi, United Kingdom, Kanada, Jerman, dan New Zealand. Malah, turut dijual di
beberapa kedai di Brickfields, Kuala Lumpur menjelang Vishu setiap tahun.
Anak
dan isteri saya akan membeli beberapa jambak atau untaian, menyimpannya di
dalam peti sejuk, menggunakannya bagi ‘Vishukani’ dan kemudian meletakkannya di
dalam ‘uruli’ (bekas tembaga) berisi air supaya kekal segar selama hampir
seminggu.
Sekarang
ini memang sudah ada bunga ‘kanikonna’ plastik dijual kerana bunga asli sukar
dicari. Namun begitu, bunga ‘kanikonna’ asli yang segar merupakan suatu
nostalgia yang mungkin hanya difahami komuniti Malayali.
Walaupun
lahir, membesar, dan menjadi anak jati Malaysia, orang Malayali tetap tidak
mahu melupakan identiti, jati diri, dan tradisi nenek moyang. Maka, seboleh
mungkin, sambutan perayaan seperti Vishu dan Onam serta seni persembahan seperti Kathakali
dan Mohinayattam dipertahankan.
Maklumat
mengenai budaya tradisi ini dihuraikan dalam buku Mandala
Bicara (2016) supaya generasi muda Malayali khasnya dan
masyarakat pelbagai kaum di Malaysia amnya dapat memahami dan menghayati kesemuanya.
Bagi
pokok ‘kanikonna’, walaupun ia berasal dari negara India (Asia Selatan),
ternyata iklim dan tanah di Malaysia (Asia Tenggara) sangat sesuai untuknya. Namun
begitu, tidaklah mudah untuk menanamnya di rumah, khususnya jika tinggal di
pangsapuri atau rumah dengan halaman terhad.
Pokok
ini boleh membesar setinggi 10 hingga 20 meter. Ia tumbuh subur di iklim topika
dan berbunga lebat pada musim panas (April-Mei). Pokok ini berbunga dalam
bentuk untaian yang terjuntai. Itulah juga sebabnya bunga ‘kanikonna’ digelar ‘golden
shower’ dalam bahasa Inggeris.
Sepanjang
tahun, pokok ini berdaun hijau. Apabila tiba musim berbunga, hampir keseluruhan
pokok itu kelihatan seperti dipenuhi bunga berwarna kuning keemasan yang terjuntai
dan beralun ditiup angin.
Dalam
bidang perubatan ayurveda tradisional, pelbagai bahagian pokok ini seperti
bunga, daun, buah (benih), kulit, dan akar digunakan bagi mengubati pelbagai
penyakit termasuk demam, penyakit kulit, dan sembelit.
Perubahan
iklim dunia yang tidak menentu sejak lebih sedekad lalu dikatakan menjadi punca
pokok ‘kanikonna’ berbunga secara tidak menentu. Malah, di negeri Kerala
sendiri, ia dilaporkan berbunga sebelum dan selepas musim sambutan Vishu.
Kesukaran
mendapatkan bunga segar dan ditambah pula dengan kos mengeksport yang tinggi
menyebabkan ramai orang Malayali di luar negara India beralih menggunakan bunga-bunga
lain sebagai alternatif.
Malah,
menurut laporan media di negara India, sejak beberapa tahun lalu, bunga ‘kanikonna’
plastik semakin mendapat sambutan. Selain harga yang jauh lebih murah, ia juga
boleh didapati sepanjang tahun.
Namun
begitu, tentulah bunga plastik tidak akan dapat mengatasi keseronokan memetik
dan menghiasi Vishukani menggunakan bunga ‘kanikonna’ segar dan asli.
Nota: Saya turut melihat pokok kanikonna di
sekitar Kota Kemuning (Shah Alam), Kuala Selangor, dan Sayong (Perak). Ternyata pokok ini memang
ada di Malaysia, walaupun keunikannya kurang disedari penduduk di negara ni.
(Rencana
ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 21 Jun 2025 dan
disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 28 Jun 2025.)





