15 Apr 2026

Penyembah (Berhala) Batu Hitam

Langit petang berwarna tembaga cair. Seolah-olah dewa-dewi di kayangan sedang meleburkan sisa karma manusia di ufuk barat.

Angin yang menyapu halaman bangunan agam di pinggir bandar Taiping membawa bau campuran bunga melur layu, minyak cendana, peluh manusia, dan sedikit hanyir besi berkarat dari pagar lama yang mengelilingi kawasan itu.

Di penjuru pentas kayu yang selalu menjadi tumpuan setiap upacara, di situlah selama puluhan tahun berdiri berhala batu granit hitam yang dipercayai sebagai anugerah Dewa Indra dari svarga kepada Maharishi Prashamsaneeji.

Namun, pada petang itu, ruang di penjuru pentas kelihatan kosong. Kosong seperti rongga dada yang ditinggalkan atma.

Kamatchi Paati berdiri terketar-ketar; jari-jemari kurus dan berurat menggigil di udara seolah-olah masih cuba menyentuh sesuatu yang tidak lagi wujud.

“Mana?” Suaranya pecah seperti kaca retak. “Mana kepala Maharishi?”

Orang ramai yang mula berkumpul selepas mendengar jeritan pertama hanya mampu berpandangan sesama sendiri. Ada yang menangis, ada yang terus melutut di atas lantai simen dan menyentuh lantai tempat berhala itu biasa diletakkan—seolah-olah sisa shakti masih meresap di celah retakan.

Berhala itu memang aneh sejak awal. Hanya kepala dan leher—tanpa mata, tanpa mulut. Torso dibuat daripada bongkah batu lain yang diganti setiap kali pecah atau rosak.

Kepala dan leher itulah yang dianggap sakti—batu granit hitam yang kononnya diberikan oleh Dewa Indra sendiri di Indraloka apabila Maharishi Prashamsaneeji naik ke kayangan dalam samadhi yang panjang pada tahun 1930; ketika Malaya masih dalam cengkaman penjajah.

Ada yang percaya batu itu sebenarnya meteor—tahi bintang—yang gugur dari langit, membelah awan seperti anak panah vajra. Ada yang berbisik, ia mungkin pasir yang lebur akibat hentakan kosmik lalu membeku dan membentuk wajah tanpa mata dan mulut.

Ada juga pengikut kultus yang tertanya-tanya (dalam diam) mungkinkah batu itu menyimpan radiasi halus, sinaran yang tidak kelihatan tetapi mampu menenangkan fikiran; memulihkan penyakit?

Tanggapan dan andaian itu timbul kerana terlalu ramai yang mendakwa, setiap kali dahi mereka menyentuh dahi batu itu, ada getaran halus, seakan arus elektrik lembut menyusup masuk ke dalam tengkorak, mengurai kusut fikiran, memadam kesakitan sendi, menenangkan degupan jantung yang kacau.

Tetapi tiada siapa pernah berani mengujinya secara saintifik. Setiap kali cadangan itu timbul, ia dipatahkan oleh Guruji, ketua kultus sekarang, yang wajahnya sentiasa tenang seperti tasik tanpa angin.

“Saya rasa ia hanya batu biasa,” katanya pada suatu ketika, sambil tersenyum tipis. “Tetapi oleh kerana Maharishi Prashamsaneeji pernah menyembah dan mencium batu ini dengan penuh bhakti, maka saya ikut dengan penuh setia.”

Kata-kata itu diulang-ulang oleh pengikut setia sebagai hujah paling muktamad. Batu itu mungkin biasa tetapi kesetiaan kepada Maharishi Prashamsaneeji menjadikannya luar biasa.

Kini, batu itu hilang!

Jeritan pertama yang memecah keheningan petang datang daripada seorang remaja bernama Kavin Raj. Dia antara generasi muda yang semakin berani bertanya soalan yang tidak disenangi golongan tua.

“Ini tak masuk akal!” Kavin menjerit, matanya liar. “CCTV ada! Macam mana boleh hilang?”

Rakaman kamera litar tertutup malam sebelumnya, apabila diperiksa, hanya memaparkan skrin gelap.

“Rosak,” kata juruteknik yang dipanggil tergesa-gesa.

Wayar dipotong? Tidak. Litar pintas? Tidak juga. Seolah-olah kamera itu sendiri memilih untuk buta pada malam berhala itu lenyap.

“Ini petanda,” bisik Mukundan, ketua kumpulan gangster dan sekutu Guruji.  “Mungkin Maharishi sudah kembali ke svarga.”

Kata-kata itu membuat beberapa orang tersedu-sedu. Tetapi Kavin hanya mendengus.

“Kalau betul, kenapa perlu CCTV rosak?”

Soalan itu terbiar di udara; tergantung seperti bau kemenyan yang tidak mahu hilang.

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]