Angin yang
kuat meniup langsir biru tua di ruang tamu rumah kecil Rajan. Penulis berusia
35 tahun itu kelihatan duduk di meja tulis, bertungkus-lumus menaip bab
terakhir novel terbaharu.
Di hadapannya,
monitor komputer riba menampilkan baris-baris kata yang semakin mengarahkan
cerita kepada titik penutupan. Novel yang sedang ditulis—berjudul Bayangan Guruji—adalah tentang sebuah
kultus agama Hindu yang berkembang pesat di sekitar bandar Taiping, Perak.
Rajan bukan
sekadar menulis untuk menyampaikan cerita, sebaliknya dia menulis untuk mencari
jawapan. Benarkah Guruji merupakan anak buah kepada seorang politikus yang
diketahui umum menjadi pengamal dan pelopor seks luar tabii?
Sejak
remaja, Rajan selalu mendengar desas-desus tentang Guruji, seorang tokoh yang
dianggap memiliki kuasa luar biasa dan kelompok pengikut yang setia. Berpusu-pusu
orang Hindu menjadi pengikut kerana kononnya Guruji mendapat bimbingan secara
langsung daripada Dewa Indra.
Beberapa
tahun lalu, Rajan terdorong untuk menulis tentang Guruji setelah mendengar
cerita-cerita yang menakutkan dan misteri yang melibatkan kultus tersebut. Selain
melakukan kerja pengantunan remaja lelaki dalam kultus untuk memenuhi selera
politikus bernafsu songsang, Guruji juga didapati memenuhi permintaan pedofil yang
terdiri daripada kalangan orang kenamaan.
Beberapa
tokoh komuniti kononnya memberi sumbangan kepada pertubuhan milik Guruji untuk
menjaga kanak-kanak dan remaja yatim piatu. Pertubuhan itu turut menempatkan
anak-anak daripada keluarga miskin dan anak-anak kepada golongan ibu tunggal.
Hasil
siasatan mendapati, pemimpin komuniti yang kononnya prihatin terhadap masa
depan kanak-kanak terbabit sebenarnya menjadikan pertubuhan kebajikan kendalian
Guruji sebagai markas untuk mendapatkan bekalan budak-budak—lelaki dan
perempuan—bagi memenuhi nafsu.
Guruji juga
didapati membekalkan remaja lelaki berwajah jambu yang memenuhi selera politikus
bernafsu songsang. Semuanya dilakukan secara amat licik dan tersembunyi. Malah,
kumpulan kongsi gelap pimpinan Mukundan didapati memberi perlindungan kepada
segala aktiviti ini.
Rajan berjaya
mengumpul sedikit demi sedikit maklumat. Tetapi, tanpa dia sedari, tindakannya
mula menarik perhatian pihak terbabit.
Di luar,
guruh berdentum, seolah-olah menyambut hujan yang semakin lebat menjelang
tengah malam. Rajan mengusap dahi, menandakan kekesalan yang tersembunyi dalam
hati.
Sebagai
seorang penulis Tamil beragama Hindu yang berfikiran agak terbuka, liberal, dan
kritis terhadap ritual keagamaan, dia tidak pernah berhasrat mahu menyerang
agama atau kepercayaan sesiapa.
Namun,
kisah tentang Guruji dan para pengikut tegarnya menyimpan rahsia yang lebih
besar; sesuatu yang Rajan rasa amat perlu didedahkan kepada dunia luar.
Namun, semua
maklumat yang diterimanya adalah pengakuan secara lisan sahaja. Tidak ada
apa-apa bukti konkrit yang membolehkan sebarang tindakan undang-undang diambil
ke atas pesalah terbabit.
Maka, dia
memutuskan untuk mengadun segala maklumat itu menjadi sebuah karya fiksyen. Sejak
dia memulakan penulisan novel Bayangan
Guruji, penulis kreatif dan wartawan sambilan itu menerima pelbagai mesej
pelik. Mesej yang kebanyakannya berbau dan berbaurbugutan.
Ada mesej WhatsApp yang menyatakan bahawa dia akan
dicari oleh pihak berkuasa. Ada juga mesej yang mengancam akan menghancurkan
kariernya jika dia terus menulis apa-apa perkara negatif tentang Guruji di
akhbar dan media sosial.
Namun,
meskipun berasa takut, Rajan tidak mampu untuk berhenti. Tulisannya seolah-olah
menyeretnya ke dalam dunia yang gelap; seolah-olah ada komplot lebih besar yang
perlu dia bongkar.
Pagi tadi,
Rajan menerima satu lagi mesej yang membuatkan jantungnya berdebar. Mesej tanpa
nama dari nombor yang tidak dikenali.
“Kamu
sedang bermain dengan api, Rajan. Guruji tidak akan membiarkan kamu terus hidup
dan terus menyebarkan pembohongan seperti ini. Pilihan ada di tangan kamu: Berhenti
menulis atau kamu akan kehilangan segala-galanya.” … (bersambung)
[Petikan cerpen ini merupakan draf awal
manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya
Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana
blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]
