30 Mar 2026

Anjing: Reaksi Pembaca dan Pendengar

Cerpen “Anjing” tersiar di Mingguan Malaysia pada 26 April 1998. Selepas sekitar 28 tahun, adakah ia masih mampu menyentuh pemikiran dan emosi?

Pada 29 Mac 2026, saya mengirim pautan rakaman audio bacaan cerpen itu kepada beberapa orang rakan. Berikut antara reaksi ikhlas yang diterima:

“Apabila cerpen ini didengar melalui suara Uthaya sendiri, memberi impak yang sama walaupun sudah dibaca dan didengar berkali-kali sebelum ini. Pelbagai jenis perasaan muncul di benak ketika situasi anjing itu diceritakan. Bagaikan watak anjing dan watak ayah benar- benar muncul di depan mata,” kata M. Mahendran, penulis veteran dari Bentong, Pahang.

Berikut pula catatan panjang kiriman Irene Tan Ai Ling, penulis veteran dan bekas jururawat yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan pada 30 Mac 2026:

“Saya baru selesai mendengar audio ini. Pelupuk mata masih tergenang air mata yang perlahan-lahan tumpah ketika saya menaip teks ini. Pernah saya ulas sebelum ini, cerpen ‘Anjing’ sangat mencuit emosi saya. Walaupun saya bukan pet’s lover, kisah anjing ini ada kaitan hampir persamaan dalam kehidupan yang saya alami. Mendiang suami suka beri makan kepada anjing-anjing di luar rumah. Anak bongsu juga suka anjing. Pengalaman dalam keluarga abang saya pula hampir ada persamaan dengan kisah dalam cerpen ini. Anjing diberi nama Coco. Semenjak suami saya meninggal dunia, saya banyak meluangkan masa di bilik kecil di rumah abang. Di luar bilik adalah tempat Coco berbaring. Saya selalu teringat cerpen Uthaya bertajuk ‘Anjing’. Adakah saya akan emosi sebagaimana pemandu lori dalam cerpen itu? Setiap kali keluar rumah, selesai makan, saya pasti teringat beli makanan untuk Coco; seperti satu kewajipan. Anjing ni (Coco) akan berlari datang apabila tahu ada orang bawa makanan. Anjing telah menjadi peneman kesunyian ketika saya berkabung susulan kehilangan suami yang pulang ke negeri abadi. Bila Coco mati akibat sakit tua,  saya menangis; teringat cerpen Uthaya dan emosi pemandu lori dalam cerpen itu. Pada saya, cerpen ‘Anjing’ ini sangat meninggalkan kesan kepada pembaca dan pendengar, terutama mereka yang menyanyangi binatang ciptaan Tuhan. Anjing hanyalah seekor binatang. Namun dalam diri manusia ada kebinatangan dalam sikap dan diri. Tahniah kerana Uthaya berjaya menyelongkar emosi menerusi gaya penceritaan.”

Cerpen “Anjing” tersiar di Mingguan Malaysia pada 26 April 1998 sebelum dimasukkan dalam kumpulan cerpen Kathakali (2009). Cerpen ini juga pernah diterjemah kepada bahasa Tamil untuk siaran di stesen radio MinnalFM pada 6 September 2009. Kisah “kelahiran” cerpen ini [boleh dibaca di sini].

Rakaman audio cerpen “Anjing” dan tujuh cerpen lain dilakukan di studio berbayar pada Mei 2017 dan dilancarkan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada 11 Jun 2017 – [baca mengenainya di sini].

Cerpen “Anjing” pernah diulas oleh Anuradha Chelliah pada tahun 2020 – [baca di sini]. Manakala pada September 2023, saya berusaha mencari sukarelawan untuk membaca, mendengar, dan mengulas cerpen itu. Individu yang tampil menawarkan diri ialah Liew Meng Seng, Anuradha Chelliah, M. Mahendran, Veralona Mollon Perrin, dan Malini Lakshmi Bai. Maklumat lanjut dan pautan bagi video ulasan boleh dirujuk [di sini].

Sementara itu, dalam buku Suvarna Bhumi (2022), ada sebuah esei mengupas topik “Mengapa Rasulullah Membenci Anjing?” dan ditulis sebelum saya meninggalkan Islam (April 2022). Bacalah juga rencana “Kami Tidak Benci Anjing” dan “Pahala Sayangi Anjing”.

[Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Jika mahu mana-mana buku diharamkan, sila hubungi Kementerian Dalam Negeri, seperti dilakukan Pusat Aduan Rakyat Malaysia pada 2019.]