Sejurus selepas acara I Want To Touch A Dog berlangsung pada 19 Oktober 2014, ia
menimbulkan kontroversi hangat. Ramai yang tampil memberikan pandangan dan
hujah mengenai perbuatan orang Islam “sengaja” menyentuh dan memegang anjing.
Makalah bertajuk “Pahala Sayangi Anjing” (The Malay Mail Online, 10 November 2014)
memuatkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama yang berfikiran
progresif mengenai isu berkaitan anjing.
Baru-baru ini, saya mengadakan perbualan
secara khusus dengan beberapa rakan Melayu-Islam tentang topik berkaitan
anjing. Tujuannya adalah untuk menghasilkan sebuah makalah yang dapat membantu
pembaca Bukan Islam memahami isu anjing dari perspektif orang Islam.
Perbualan kami bukan semata-mata berkaitan
hukum tentang anjing menurut Islam, tetapi lebih kepada aspek pengalaman dan
pandangan peribadi rakan-rakan sebagai orang Islam yang hidup dalam kalangan
masyarakat majmuk.
Antara soalan yang ditanya adalah berkaitan
perkara-perkara yang pernah diajar oleh ibu bapa dan saudara-mara semasa mereka
kecil mengenai hukum menyentuh anjing.
“Saya diajar bahawa anjing itu haram disentuh. Kalau
tersentuh kena samak (sertu). Tetapi
jika terserempak dengan anjing di sekitar rumah, kami sekadar menghalaunya
saja.
“Anjing perkara
biasa di sekitar kampung saya kerana kami berjiran dengan ramai penduduk Cina. Orang
tua kami kadang-kadang kenal pemilik anjing. Jarang kami terjumpa anjing liar atau
anjing jalanan di kampung kami.”
Demikian
diceritakan Hazama Harun yang lahir di Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Beliau kini
tinggal di Cheras dan bekerja sebagai editor kanan di sebuah syarikat
penerbitan buku pendidikan.
Bagi Helmy Ahmad pula, sejak kecil, beliau
sudah dididik oleh keluarga bahawa sekiranya tersentuh anjing, maka wajib sertu; iaitu cucian sekali dengan air
tanah dan enam kali dengan air bersih.
Hukum agama terhadap najis
mughallazah
Atiqah Arshad dari Slim River, Perak menjelaskan bahawa anjing
termasuk dalam kategori najis mughallazah
iaitu najis berat.
Diterangkan
dalam buku Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir bahawa
mazhab Syafi’i mewajibkan basuhan tujuh kali qiyas jika tersentuh anjing.
Manakala
mengikut mazhab Maliki, kalau seseorang dijilat oleh anjing atau terkena air
liur, barulah wajib dibasuh dan disamak. Untuk makluman, mazhab Syafi’i,
Maliki, Hanafi dan Hanbali termasuk dalam kategori Sunni iaitu Ahli Sunnah Wal
Jamaah.
“Walau
bagaimanapun, jika badan anjing tersebut basah maka hendaklah dibasuh. Ini
kerana kebasahan kulit/bulu anjing berkemungkinan besar berpunca daripada
jilatan anjing kerana anjing memang menjilat tubuhnya,” kata penulis buku itu.
Hazama menambah
maklumat bahawa dalam keadaan badan/tangan seseorang itu kering dan badan
anjing juga kering, maka jika tersentuh, tidak perlu disamak.
“Tetapi jika
dalam keadaan salah satu daripadanya basah, perlu disamak. Ada sesetengah orang
memberikan pandangan, tangan kita berpeluh. Walaupun kita anggap kering tetapi
lebih baik disamak juga jika tersentuh anjing,” kata pengarang itu yang
menggunakan nama pena Aiza Zizan.
Persoalan lain
yang mungkin timbul dalam fikiran orang Bukan Islam adalah kenapa orang Islam
di Malaysia sering memberikan reaksi seperti berasa jijik melihat anjing.
Apabila
pertanyaan ini dikemukakan, Helmy yang tinggal di Kuala Lumpur menjelaskan
bahawa beliau tidak berasa jijik jika anjing itu bersih dan berkelakuan baik.
Anjing liar/jalanan yang berbau busuk dan meleleh air liur tetap menjijikkan
kerana faktor kotor.
Atiqah juga
tidak ada alasan untuk berasa jijik melihat anjing yang bersih dan sihat.
Katanya, “mereka juga makhluk yang diciptakan Tuhan.” Pandangan
ini dikemukakan walaupun beliau mengaku ada pengalaman dikejar anjing.
Antara jijik, takut dan
berwaspada
Seorang rakan
dari Kuantan, Pahang turut berkongsi pandangan. Liana mengakui bahawa rata-rata kanak-kanak Melayu dimomokkan
dengan cerita tentang keganasan dan penyakit yang dibawakan anjing.
“Akibatnya,
hampir semua kanak-kanak Melayu-Islam memang sungguh takut dan fobia dengan
anjing tanpa mengetahui hakikat sebenar hukum Allah berkaitan
anjing,” kata rakan itu yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Pada penelitian
Liana, kebanyakan ibu bapa Melayu marah-marah jika anak terpijak tahi anjing
kerana sukar dicuci atau disamak.
“Ibu bapa pula
mengajar saya sejak kecil tentang keindahan Islam. Kata mereka, anjing itu
najis tetapi Islam juga mengajar cara bersamak. Jika kita mencuci tangan
selepas makan, secara tidak sedar kita sebenarnya menggunakan air lebih
daripada enam kali.
“Untuk mencuci
najis yang ada kaitan dengan anjing, cuma memerlukan tambahan satu lagi basuhan
air tanah yang mudah didapati di mana-mana,” katanya yang ternyata tidak jijik
melihat anjing.
Bercakap
mengenai isu hampir sama, Hazama pula mengaku berasa jijik melihat anjing yang
berpenyakit atau anjing liar. Hal ini kerana beliau takut dicederakan atau
dijangkiti penyakit.
“Kalau tiada
penyakit dan bukan anjing jalanan, saya tidak rasa jijik walaupun memang masih
berasa takut melihat anjing bersaiz besar.
“Saya ada
pengalaman dikerumuni empat ekor anjing liar. Saya cuba halau tetapi anjing-anjing
itu tidak mahu beredar. Saya lari dan dikejar lalu jatuh hingga cedera pada
siku dan lutut. Sejak itu, saya trauma apabila berhadapan dengan anjing; tetapi
bukan jijik,” beliau menjelaskan.
Bagi Helmy
pula, rasa takut itu bergantung pada keadaan. Sekiranya anjing itu bersaiz
besar, garang dan menyalak sehingga meremang bulu roma, maka beliau rasa takut.
“Tapi sekiranya
anjing itu jinak, tidak menyalak sesuka hati serta tidak menyeringai
menunjukkan taring, saya tidak berasa takut,” katanya sambil menambah bahawa
jiran hadapan rumahnya memelihara anjing.
Sikap tolak-ansur dengan
jiran-tetangga
Berdasarkan pengalamannya
sendiri, Helmy boleh bertolak-ansur jika rakan-rakan atau jiran-tetangga Bukan
Islam memelihara anjing.
“Tiada masalah
jika mereka mampu mendidik anjing itu serta mampu mengawalnya. Masalah timbul
apabila ada pemilik yang membiarkan sahaja anjingnya sehingga menjadi ganas
seperti anjing liar.
“Saya tidak
salahkan anjing kerana sepatutnya si pemilik yang bertanggungjawab. Jangan kata
anjing, sekiranya kucing tidak terkawal lalu berak merata-rata, kita tetap
kecewa dengan sikap pembela kucing itu,” katanya.
Hazama
sependapat dalam hal ini. Apa yang dibimbanginya hanyalah jika berlaku lagi kes
anjing garang yang gagal dikawal pemilik sehingga menyerang dan mencederakan
orang awam.
“Saya juga
tiada masalah jika jiran membela anjing. Asalkan mereka tahu menjaga anjing
peliharaan mereka dengan baik,” Atiqah menegaskan.
Pada pendirian
Liana, tiada alasan untuk sesiapa pun membenci atau berasa jijik pada anjing
kerana binatang itu memang ada banyak manfaat kepada manusia sejak zaman
dahulu.
“Allah
menjadikannya bersifat najis untuk menggalakkan manusia sentiasa menjaga
kebersihan. Setiap ciptaan Allah ada sebab dan kegunaan.
“Saya masih
ingat pesanan ibu saya iaitu ‘Kalau ingin menjadi doktor haiwan, jadilah.
Selepas pegang anjing atau babi yang dirawat, samak sahaja, tak susah’. Saya
masih ingat pesanan ibu walaupun saya kini tidak menjadi doktor haiwan,” kata
pensyarah itu.
Hasil
perbincangan santai ini membuktikan bahawa orang Melayu-Islam sebenarnya tidak
berasa jijik atau membenci anjing. Sebaliknya, akibat didikan sejak
kanak-kanak, ada orang yang berasa sedikit takut melihat anjing.
Sedikit perkongsian ikhlas oleh
rakan-rakan seperti disajikan di sini diharap mampu membantu masyarakat
pelbagai kaum lebih memahami isu sebenar serta hukum agama Islam berkaitan soal
kenajisan anjing. [Baca juga – Tentang Anjing dan Babi]
[Makalah ini ditulis pada 15 Januari 2015 berdasarkan perkongsian
maklumat oleh rakan-rakan dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 19 Januari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]