Apabila menyebut mengenai rumah urut dan
tukang urut, sering kali muncul gambaran negatif dalam minda. Hal ini
disebabkan pelbagai pihak berselindung di sebalik nama rumah urut untuk
menjalankan kegiatan tidak bermoral.
Pada masa sama, perlu diakui bahawa masih
ramai tukang urut tulen beroperasi untuk memberikan perkhidmatan yang
profesional kepada mereka yang memerlukan.
Sejak dilanggar sebuah kereta yang terbabas
di lebuh raya pada 26 Februari 1994, saya mengalami kecacatan kekal pada tangan
kiri dan sakit belakang yang memerlukan urutan tradisional dari semasa ke
semasa.
Maka, sejak dua dekad lalu, selain daripada
fisioterapi, saya juga mendapatkan khidmat tukang urut pelbagai kaum. Ada yang
profesional dan ada pula yang separa profesional.
Khidmat mengurut oleh pakar ayurveda biasanya agak mahal. Ramai juga
kenalan yang pergi terus ke Kerala, India untuk mendapatkan perkhidmatan itu
pada harga lebih murah tetapi saya tidak mampu.
Ayurveda adalah perkataan Sanskrit yang membawa makna “sains kehidupan” di
mana “ayur” bermaksud “hayat” atau “hidup” manakala “veda” bermakna “ilmu” atau
“pengetahuan”. Perubatan ini diamalkan di India sejak lebih 5,000 tahun dahulu.
Saya pernah menulis makalah bertajuk “Ayurveda: Petua Panjang Umur” (The Malaysian Insider, 11 Jun 2012).
Stephen Abraham yang saya kenali sejak zaman pengajian di Universiti Malaya
(1993-1998) berpeluang membaca makalah itu.
Seterusnya Stephen memperkenalkan saya
kepada Bibulal, seorang tukang urut
profesional keturunan Malayali. Saya mendapatkan khidmat urut daripadanya dan
terus berpuas hati dengan kebolehannya memenuhi cita rasa saya.
Tambahan pula, bayaran yang dikenakan
adalah jauh lebih murah berbanding beberapa tempat lain, sedangkan pada
penelitian saya, mutu perkhidmatan adalah jauh lebih baik.
Ramuan herba tradisional
Pada setiap kali sesi mengurut, kami akan
berbual-bual dan saya berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat mengenai ayurveda, urutan tradisional Kerala dan
minyak khas yang digunakan.
Secara tidak langsung, saya dapat
memastikan bahawa Bibulal memang tahu apa yang dilakukannya.
Dari mula hingga akhir sesi, dari hujung
rambut ke hujung kaki, pemuda berumur 27 tahun ini mempraktikkan seni mengurut
tradisional yang bersih dan profesional.
Minyak yang digunakan dibawa khas dari
Kerala. Ada beberapa jenis minyak dicampur dan dipanaskan untuk mengurut badan
serta apa pula minyak khusus untuk mengurut kepala.
Minyak dhanwantharam
dicampurkan dengan minyak karpoora
untuk mendapatkan kesan urutan yang lebih berkesan dan menyegarkan badan.
Minyak ksheerabala pula khas untuk
kepala.
Kesemua minyak yang digunakan oleh Bibulal
adalah ramuan herba tradisional yang dijamin mutunya oleh pengeluar di Kerala.
Maknanya, tanpa perlu pergi ke Kerala, saya masih mendapat kualiti yang sama di
Shah Alam.
Tambahan pula, Bibulal mengikuti kursus
selama dua tahun di Jayabharath Institute
of Panchakarma di Trivandrum, Kerala. Dia juga ada sijil pengesahan
daripada institut berkenaan.
Panchakarma merujuk kepada “panchabootam” atau lima unsur alam iaitu api, tanah, angin, angkasa dan air.
Ayurveda dan urutan tradisional Kerala memanfaatkan ilmu mengenai panchakarma untuk menjamin kesihatan
luaran dan dalaman.
Sudah dinyatakan bahawa “ayur” bermakna
“hayat” atau “hidup”. Hayat dan hidup manusia menggabungkan keseimbangan antara
jasad, minda dan jiwa (body, mind and
soul).
Minyak meresap ke bawah kulit
Menurut Bibulal, tubuh menghadapi masalah
apabila keseimbangan itu terganggu. Apabila keseimbangan semula jadi antara
alam dan manusia (human and nature)
terganggu, ia juga boleh memberi kesan kepada kesihatan badan.
Hasil perbualan bersama Bibul pada setiap
sesi mengurut, saya yakin bahawa beliau mempunyai pengetahuan mendalam mengenai
ayurveda, panchakarma dan perubatan tradisional Kerala.
Pemuda ini juga sering menambah ilmu
menerusi pembacaan bahan-bahan di internet. Ada pelbgai sumber sahih yang boleh
dijadikan rujukan.
Penguasaan Bahasa Malayalam membolehkannya
membaca pelbagai buku dalam bentuknya yang asal. Beliau juga mencatatkan nota
dan maklumat dalam buku khas sebagai panduan.
Pengalaman berurut dengan Bibulal
memberikan kepuasan kerana dilakukan secara profesional, bersih dan pakar. Setiap
sesi mengurut berlangsung selama sejam dan ditambah dengan mandian stim (steam bath) selama 20 minit.
Minyak akan dicampur dan dipanaskan sebelum
mengurut. Menurut Bibulal, langkah ini bagi memastikan kandungan herba dalam
minyak itu meresap masuk ke bawah kulit lalu memberikan kesan lebih baik.
Daripada pemerhatian saya, teknik menggosok
lebih banyak digunakan berbanding menekan. Tindakan ini adalah kerana kandungan
minyak akan meresap dan mengembalikan keseimbangan badan.
Teknik menekan pula digunakan apabila
perlu, misalnya jika ada bahagian yang terseliuh atau saraf yang keras. Urutan
pada kepala pula terbukti menghilangkan sakit kepala, meredakan panas badan dan
mengurangkan tekanan.
Pelanggan Bibulal tidak ramai. Beliau cuba
menghadkan hanya dua atau tiga pelanggan sehari. Hal ini bagi memastikan setiap
pelanggan diberikan perkhidmatan terbaik tanpa perlu tergesa-gesa.
Pelanggan dari pelbagai latar pekerjaan
Tukang urut profesional ini hanya menerima
pelanggan lelaki. Rata-rata berumur lebih 30 tahun. Kebanyakan adalah pelanggan
tetap yang sangat berpuas hati dan seterusnya mencadangkan kepada rakan-rakan.
Saya perhatikan ada seorang pesara yang
mengalami strok datang mengurut setiap dua minggu. Urutan yang diberikan
membantu melancarkan aliran darah serta mengekalkan kesegaran tubuh.
“Beberapa pelanggan tetap saya adalah
pemandu lori. Mereka sering mengadu sakit badan dan otot kerana bekerja keras.
“Golongan profesional pula mengalami sakit
pinggang, bahu dan kepala akibat tekanan di tempat kerja,” Bibulal menceritakan
sambil tekun mengurut saya baru-baru ini.
Walaupun pelanggan datang dengan aduan dan
permintaan yang spesifik, tukang urut profesional ini akan mencadangkan urutan
penuh seluruh badan selama sejam dengan bayaran yang sama.
Hal ini kerana sekiranya hanya bahagian
tertentu diurut – misalnya bahu, tangan atau pinggang sahaja – pelanggan hanya
mengalami keselesaan dan kelegaan sementara.
Urutan seluruh badan berserta perhatian
tambahan pada bahagian spesifik yang sakit akan membuatkan pelanggan pulang
dengan puas, segar dan bertenaga.
Tentulah perkongsian pengalaman dan
maklumat ini tidak bertujuan mempromosi mana-mana tukang urut. Sebaliknya untuk
menyatakan hakikat masih ada tukang urut profesional yang bersedia memberikan
perkhidmatan secara tulen.
Dalam pada itu, berbeza dengan tanggapan
serta pengalaman awal saya sendiri, ternyata khidmat ayurveda dan urutan tradisional Kerala yang profesional boleh
didapati pada harga yang relatif rendah.
[Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2015 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Januari 2015. Paparan ini bukan untuk mengiklankan perkhidmatan mengurut! © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]