Kaum India telah lama meneroka dan tinggal
di Lembah Bujang, Kedah tetapi kekurangan usaha menggali bahan bukti
menyebabkan sejarah dan fakta tersebut semakin hilang ditelan zaman.
Menurut pengkaji sejarah, Balan Nair, minat orang ramai –
khususnya generasi muda kaum India – kembali berputik berikutan
penerbitan buku Bujang Valley: The Wonder That Was Ancient Kedah
karya V. Nadarajan pada 2011. [DENGAR WAWANCARA BFM]
“Bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin
Maidin pernah mengusulkan supaya sebuah kompleks khas dibina menerusi dana
daripada kerajaan persekutuan.
“Apa yang saya dengar, ada pihak yang
menentang cadangan itu kerana tapak baru berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui
di Sungai Batu pada tahun 2009 secara lebih nyata membuktikan kehebatan tamadun
Hindu.”
Demikian diceritakan oleh Balan semasa
diwawancara di rumahnya di Bedong, Kedah pada 31 Januari 2014.
Pertemuan itu diatur Datuk Murugan Alimuthu
dan Kartik Ramachandran
berikutan kes Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013.
Saya bersama-sama Kughan Nadarajah, Prabhawathy Govindarajoo dan Devishi Prabha Sankari mewakili Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan) dalam lawatan khas dua hari ke Lembah
Bujang.
Balan yang berumur 72 tahun mengimbas
kata-kata Zainuddin yang mengingatkan tentang fakta dan realiti kaum Melayu di Tanah Melayu menganut Hinduisme sebelum kedatangan Islam.
Untuk rekod, Kompleks
Galeri Arkeologi Sungai Batu tersebut masih diteruskan berikutan pembukaan 50
tapak pemetaan yang dijangka merungkai sejarah tamadun terawal dan tertua di
Asia Tenggara – mengatasi
usia Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur di Indonesia.
Penemuan baru di Sungai Batu
Laporan Bernama (3 Mac 2014) memetik pengarah
Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr
Mokhtar Saidin sebagai berkata, pemetaan bagi 47 tapak yang dibuka sebelum ini
sudah selesai.
“Hasil daripada 47
tapak yang dibuka itu, kami menemui empat fungsi iaitu tapak industri peleburan
besi, pelabuhan dengan 10 jeti, tapak ritual bagi penyembahan alam sekitar
iaitu Gunung Jerai dan 13 bangunan pentadbiran,” katanya.
Penemuan di tapak ekskavasi
itu dipercayai membuktikan bermulanya tamadun Hindu dari abad ke-5 Sebelum
Masihi hingga abad ke-17 Masihi.
Bagaimanapun masih
banyak lagi penemuan yang belum dijumpai, antaranya kawasan perkuburan,
penempatan dan kilang bata yang turut terletak di Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Untuk rekod, penemuan
tapak peleburan besi mengejutkan para pengkaji kerana dapatan itu menunjukkan
hakikat orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang terlibat dalam industri pertukangan besi
sejak sekian lama.
Sejak tapak baru itu
dibuka, Balan membawa saudara-mara dan rakan-rakan dari dalam dan luar negara
melawat kawasan yang menakjubkan itu beberapa kali.
Wakil Kavyan juga tidak
melepaskan peluang berkunjung ke sana dan bertemu beberapa pelajar USM yang
terlibat dalam kerja-kerja ekskavasi.
Candi-candi di
Lembah Bujang sebenarnya mula ditemui penjajah British pada tahun 1840-an. Pada
tahun 1957, orang ramai mula semakin berminat apabila Tunku Abdul Rahman
sendiri datang melawat salah satu tapak.
“Saya berumur 15 tahun
waktu itu. Saya dan rakan-rakan turut pergi bersama orang ramai. Kami mendengar
penerangan oleh seorang pengkaji barat. Memang saya berasa amat kagum apabila
diberitahu ia merupakan tapak tamadun Hindu,” Balan menceritakan.
Kuasa tangan-tangan ghaib
Warga emas kelahiran
Johor itu mengaku bahawa pada usia remaja, kesedaran terhadap khazanah sejarah
dan budaya tidak begitu tinggi. Hanya apabila meningkat dewasa, beliau sedar
betapa penemuan di Lembah Bujang perlu didokumentasi dan dipelihara sebagai
warisan bangsa dan negara.
Lelaki keturunan Malayali itu melahirkan kekesalan kerana kaum India, khususnya
generasi muda, kurang ada kesedaran tentang khazanah budaya dan bahan bukti
sejarah yang sedang disembunyikan dan dihapuskan secara perlahan-lahan.
Sekiranya diperhatikan,
insiden Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013 hanya
disedari orang ramai sekitar tiga bulan kemudian.
Seperti biasa, pelbagai
pihak – khususnya MIC
dan badan-badan berasaskan kaum India – mula bising-bising serta mendesak
kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera bagi
menyelamatkan Lembah Bujang.
Amat menyedihkan kerana
segalanya hanya hangat-hangat tahi ayam.
Sebagai contoh, kempen Facebook 1 Million
Likes To Save Bujang Valley oleh Pemuda MIC seolah-olah berakhir selepas sekumpulan
politikus muda bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi yang
dipecahkan pemaju.
Semakan pada 11 Januari
2015 menunjukkan paparan terakhir di laman itu mengenai Lembah Bujang adalah
suatu keratan akhbar pada 6 April 2014. Dengan 22,960 “like” setakat ini,
tentulah sasaran “1 Million Likes” masih terlalu jauh.
Semasa diwawancara di
rumahnya, Balan menegaskan perlunya generasi muda kaum India terus-menerus
memperjuangkan supaya fakta, bukti dan sejarah mengenai tamadun Hindu di Lembah
Bujang khasnya dan Malaysia amnya tidak dihapuskan tangan-tangan ghaib.
“Apabila saya mendapat
berita mengenai Candi Nombor 11 dirobohkan pemaju perumahan, hati saya remuk.
Betapa kita (kaum India) tidak ada kuasa dan kedudukan untuk memperjuangkan dan
mempertahankan khazanah tamadun kita,” keluhnya.
Wakil Kavyan turut
melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang menghimpunkan pelbagai bahan
sejarah yang mengkagumkan mengenai tamadun masa silam yang pernah wujud di
sekitar Lembah Bujang dan Merbok.
Tanggungjawab bersama
Kami turut bertemu dan
mewawancara penduduk di sekitar kawasan Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pada
September 2013. Masing-masing menceritakan apa yang dilihat dan berlaku pada
waktu itu serta selepas itu.
Ada beberapa kisah dan
pendedahan yang terlalu sensitif serta tidak dapat dipaparkan secara terbuka di
sini kerana melibatkan kuasawan dan golongan tertentu yang berusaha menafikan sejarah.
Kita perlu sedar
bahawa candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun
1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada
2009 membuktikan kehebatan tamadun yang dikongsi bersama oleh orang India dan
orang Melayu sejak dahulu.
Sesungguhnya
tugas dan tanggungjawab memelihara, memulihara serta mempertahankan Lembah
Bujang tidak terletak pada bahu mana-mana kaum/agama tertentu. Sebaliknya tugas
bersama Bangsa Malaysia yang cinta akan
tamadun, sejarah dan warisan budaya bangsa.
Menurut laporan
di Utusan Malaysia (24 Jun 2013),
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mahu mendapatkan pengiktirafan
Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai tapak warisan dunia daripada Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Sementara itu,
pada 18 Januari 2015, sekumpulan orang yang lengkap “memakai busana Melayu
bertanjak, bersampin dan berkeris” (menurut blog penganjur) bakal melawat Tapak
Arkeologi Sungai Batu sebagai aktiviti penghayatan tamadun Melayu dan Islam.
Bagi kaum India dan
politikus India yang sering mendabik dada mengatakan Lembah Bujang adalah
“milik” mereka, nampaknya tidak ada pula sebarang usaha seperti itu dilakukan.
Hampir setahun selepas
berkunjung ke Lembah Bujang, saya belum mendengar sebarang program menarik
seperti itu diatur secara besar-besaran oleh MIC atau mana-mana pertubuhan
berasaskan kaum India dan agama Hindu.
Mungkin mereka hanya
akan teruja dan bangkit bersuara serta mencipta laman khas di Facebook apabila satu lagi tragedi besar
menimpa candi-candi di Lembah Bujang. – Baca juga: Siapa Kisah Lembah Bujang?
[Makalah ini ditulis pada 11 Januari 2015 berasaskan wawancara bertarikh
31 Januari 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Januari 2015.
© Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]