Benarkah terdapat usaha menyembunyikan
sejarah dan fakta oleh pihak tertentu demi memastikan kebenaran tidak muncul
pada permukaan?
Demikian antara persoalan yang terus
bermain dalam minda saya sejak berpeluang berkunjung ke Lembah Bujang, Kedah
buat kali pertama pada 31 Januari dan 1 Februari 2014.
Saya pergi bersama-sama Prabhawathy Govindarajoo, Devishi Prabha Sankari dan Kughan Nadarajah dengan kerjasama Datuk
Murugan Alimuthu dan Kartik
Ramachandran berikutan kes Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan.
Pada kesempatan
itu, kami dibawa melawat dan mewawancara beberapa tokoh tempatan yang tahu
kisah sebenar Lembah Bujang secara mendalam.
Antara individu
yang sempat ditemui ialah pengkaji sejarah Kedah Tua, Dr Jayabarathi; penulis
veteran, Rayappan dan pengkaji sejarah, Balan Nair.
Penulis berumur
awal 80-an itu memulakan cerita dengan kisah sebuah
kuil di kawasan perbukitan yang terletak antara Bedong dan Tanjung Dawai,
Kedah. Keseluruhan bangunan kuil itu tertimbus di bawah tanah.
Pada tahun 1957, seorang penoreh getah
ternampak sebahagian bangunan kuil itu dan terus memberitahu orang ramai.
Setahun kemudian, kerja-kerja arkeologi dimulakan oleh pengkaji dari Perancis
dan Jerman.
Rayappan bersama-sama rakan-rakannya tidak
melepaskan peluang untuk pergi melihat tapak berkenaan.
“Kami segera cam bahawa bangunan berkenaan
merupakan sebuah kuil Dewa Shiva. Tidak ada sebarang berhala. Apa yang kelihatan adalah
sebuah linga yang mewakili Shiva,”
katanya sambil mengimbas kenangan.
Bangunan kuil dibina menggunakan batu paarai (batu bongkah hampar).
Keseluruhan bangunan berkenaan berjaya digali keluar pada tahun 1958.
Kuil yang hilang penuh misteri
“Kebetulan pada masa itu, dua tokoh budaya
dan bahasa Tamil dari India datang ke Bedong sempena sambutan Tamilar Thirunal. Kami membawa mereka
melawat tapak kuil tersebut dengan penuh bangga,” kata Rayappan yang berusia
sekitar 24 tahun pada waktu itu.
Menurut papan tanda yang dipasang pakar
arkeologi, kuil Shiva itu dibina sekitar kurun 10 Sebelum Masehi atas perintah Rajendra Cholan.
Putera berkenaan
turut diberikan nama “Kadaram-kondan” (Penakluk Kadaram) walaupun tenteranya
juga menakluk Sri Vijaya, Malaiyur (Malayu dan Jambi) dan pelbagai wilayah
lain di Kepulauan Melayu (Nusantara).
Memanglah raja dari negara India itu tidak
pernah datang ke Kadaram (Kedah). Bagaimanapun, mengikut catatan sejarah yang
juga terdapat di India, wujud perjanjian damai antara Kedah dan Kerajaan
Cholan.
“Saya ada terbaca di sebuah majalah
terbitan Singapura bahawa kepingan wang emas dan batu permata turut ditemui
pakar kaji bumi di tapak bangunan kuil berkenaan pada 1958.
“Khabarnya tempayan berisi barangan
bernilai sekitar 9 juta ringgit itu dibawa ke Kuala Lumpur. Selepas itu, tiada
sebarang berita mengenainya,” Rayappan menceritakan sewaktu ditemui di
rumahnya.
Menurut warga emas itu, batu-bata pada kuil
asal juga dipercayai sudah ditukar semasa bangunan berkenaan dipindahkan ke
tapak baru di Lembah Bujang. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada batu-bata
asal yang bernilai tinggi itu.
“Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, sejarah negara nampaknya
sudah mula diubah sesuka hati oleh pihak tertentu. Misalnya, fakta bahawa kuil
berkenaan dibina atas perintah Rajendra Cholan sudah dipadam,” katanya.
Pernah ada sebuah kuil Dewa Muruhan yang
dibina sekitar 300 tahun lalu di Gunung Jerai. Gunung berkenaan memang amat
sinonim dengan kedatangan pedagang India ke Kedah pada zaman dahulu.
Kita tentu maklum bahawa Gunung Jerai
menjadi semacam mercu tanda dan penunjuk arah kepada kapal pedagang dari India
pada zaman dahulu.
Sikap “bangau oh bangau”
Beberapa penduduk sekitar Bedong yang
ditemui mengatakan bahawa sulam iaitu tombak yang lazim
digambarkan dipegang berhala Muruhan (seperti patung besar di Batu Caves)
pernah dilihat di kuil atas gunung itu.
Kuil, berhala dan sulam itu juga khabarnya sudah ghaib sekarang. Ghaib bukan kerana
kuasa mistik tetapi kerana ada pihak yang dipercayai sedang cuba menyembunyikan
fakta sejarah serta menghapuskan bahan bukti mengenai pengaruh Hindu di Kedah.
“Kita tidak boleh menolak kemungkinan ada
pihak yang tidak mahu menerima hakikat dan fakta sejarah bahawa tanah ini
pernah berada di bawah kuasa dan pemerintahan kerajaan Hindu-Buddha dari India.
“Mungkin ada pihak yang mahu mencipta ilusi
dan kepalsuan bahawa negara ini tidak pernah menerima pengaruh luar – khasnya
India – sebelum penjajahan Portugis, Belanda dan British,” Rayappan berkongsi hipotesis.
Pandangan ini membawa pula kepada persoalan
mengapa tidak ada pihak yang prihatin tampil memperjuangkan dan membetulkan
fakta.
Pertanyaan ini adalah wajar kerana hasil
pertemuan dengan begitu ramai penduduk kaum India di sekitar Bedong selama dua
hari, saya dapati rata-rata mengatakan ada pihak cuba menyembunyikan fakta.
Mereka juga mengeluh kerana sejarah dan
fakta sebenar Lembah Bujang tidak disebarkan kepada umum. Mereka mahu identiti,
fakta dan maklumat sebenar mengenai Lembah Bujang diketahui orang.
Maka, persoalannya adalah mengapa penduduk
di situ – khususnya generasi muda dan tua kaum India yang kononnya begitu
prihatin – tidak memikul tanggungjawab menyebarkan fakta sebenar?
Rayappan memberikan alasan bahawa sejak
1958, hanya pengkaji dan peminat sejarah dan budaya dari Tamil Nadu, India yang
menunjukkan minat untuk datang dan melawat Lembah Bujang.
“Belum pernah ada orang India tempatan
datang bertemu saya dan meminta dibawa melawat tapak-tapak arkeologi di Lembah
Bujang. Hanya beberapa kenalan rapat yang datang,” tegasnya sambil mengaku
bahawa inilah kali pertama beliau diwawancara bagi sebuah makalah.
Peluk tubuh dan menanti
Hampir setahun sudah berlalu sejak lawatan Kumpulan Sasterawan
Kavyan (Kavyan) ke Lembah Bujang tetapi isu-isu yang
ditimbulkan Rayappan terus bermain dalam minda saya.
Tentulah saya tidak mahu mempertikaikan
atau mempersoalkan pandangan yang dikemukakannya. Bagaimanapun, hujah beliau
memberikan gambaran jelas bahawa kaum India sendiri kurang berminat terhadap
sejarah Lembah Bujang.
Penganut Hindu di Malaysia mahu Lembah
Bujang diiktiraf sebagai tapak tamadun Hindu, tetapi mereka sendiri hanya mahu
berpeluk tubuh dan mengharapkan orang lain melakukan tugas itu.
Setahun selepas melawat Lembah Bujang, saya
belum mendengar apa-apa berita mengenai usaha yang dilakukan para pejuang
terbabit untuk mempertahankan apa yang disifatkan sebagai tamadun Hindu.
Pada masa sama, pencinta dan pejuang
tersebut mula bising apabila pihak lain tampil mengangkat Lembah Bujang sebagai
tapak warisan tamadun Melayu. Usah kita lupa bahawa orang Melayu di negara bertuah ini
menganut ajaran Hindu sebelum kedatangan Islam.
Pada pandangan
saya, candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun
1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada
2009 sepatutnya menyedarkan kita bahawa ia adalah milik Tamadun Tanah Melayu;
termasuk orang Melayu-Hindu dan India-Hindu pada masa
dahulu.
Apabila sebuah
candi yang dibina di Lembah Bujang pada kurun ke-8 dirobohkan pemaju pada September 2013 –
dan kejadian itu diketahui ramai beberapa bulan kemudian – masyarakat pelbagai kaum mula bersuara
bagi melahirkan rasa marah dan kecewa.
Kemusnahan yang
berlaku pada candi berusia lebih 1,200 tahun di Sungai Batu menyedarkan orang
ramai bahawa monumen serta tapak arkeologi itu bukan hanya milik orang
India-Hindu; sebaliknya juga milik orang Melayu-Hindu pada masa dahulu.
Perkara ini
pernah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Apa Khabar, Lembah Bujang?” (The Malay Mail Online, 17 Mac 2014).
Seminar khas kedaulatan Melayu
Dalam perkembangan terkini, pada 17 Januari
2015, suatu seminar khas dijadualkan di Taman Lembah Bujang, Bedong. Antara
kertas kerja yang menarik adalah “Tarikan Mistik Gunung Jerai dan Sekitarnya”
serta “Hindu dan Buddha Berasal daripada Agama Islam”.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi
Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mokhtar Saidin dijangka
menyampaikan kertas berja bertajuk “Sungai Batu Sebagai Tapak Tamadun Tertua di
Asia Tenggara”.
Keesokan hari, peserta akan dibawa melawat
Tapak Arkeologi Sungai Batu. Menurut penganjur, “sesiapa yang sayangkan Melayu
dan Islam boleh datang” serta “digalakkan memakai busana Melayu bertanjak,
bersampin dan berkeris”.
Menurut maklumat di blog penganjur, mereka “memohon
dikembalikan hak ketuhanan Melayu
selain hak ketuanan Melayu”. Maka, usah
mengharapkan kehebatan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang diangkat menerusi
program ini.
Dalam pada itu, usahlah pula kita bertindak
bodoh dengan bertanya apa peranan MIC dalam mempertahankan Lembah Bujang
sebagai tapak warisan India-Hindu.
Selepas Candi Nombor 11 dijahanamkan pemaju
pada September 2013, Pemuda MIC dilaporkan turun padang. Mereka menyerahkan
memorandum kepada setiausaha sulit kanan Menteri Besar Kedah pada 3 Disember
2013.
Saya mencatatkan dalam makalah “Selamatkan Ashram, Hapuskan Chetti” (The Malay Mail Online, 19 November 2014)
bahawa Pemuda MIC telah bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu
candi dan memuatkan foto di laman Facebook
1 Million
Likes To Save Bujang Valley.
Semakan pada 11 Januari 2015 menunjukkan
laman berkenaan disukai (“like”) 22,960 orang (bertambah 5 orang sejak 18
November 2014). Sejak 23 Disember 2014, laman itu sekadar diisi pelbagai berita
mengenai usaha Pemuda MIC Kebangsaan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
Berita terakhir mengenai Lembah Bujang di
laman berkenaan adalah suatu keratan akhbar pada 6 April 2014. Sasaran “1
Million Likes” juga masih terlalu jauh!
Semoga paparan ini membuka mata dan menjadi
tamparan pada pipi kelompok pejuang Lembah Bujang daripada kalangan kaum
India-Hindu.
Kita berhak untuk kecewa kerana mereka
nampaknya hanya tahu berpeluk tubuh serta mengharapkan orang lain membuat
kerja.
Mereka hanya tahu bising-bising apabila
pihak lain bersikap proaktif dalam mengubah sejarah demi agenda politik. Sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. – Baca juga: Tragedi Lembah Bujang
[Makalah ini ditulis pada 11 Januari 2015 berasaskan wawancara bertarikh
31 Januari 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 12 Januari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog
kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]