Saturday, 24 January 2015

Tragedi Lembah Bujang

Kaum India telah lama meneroka dan tinggal di Lembah Bujang, Kedah tetapi kekurangan usaha menggali bahan bukti menyebabkan sejarah dan fakta tersebut semakin hilang ditelan zaman.

Menurut pengkaji sejarah, Balan Nair, minat orang ramai – khususnya generasi muda kaum India – kembali berputik berikutan penerbitan buku Bujang Valley: The Wonder That Was Ancient Kedah karya V. Nadarajan pada 2011. [DENGAR WAWANCARA BFM]

“Bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin pernah mengusulkan supaya sebuah kompleks khas dibina menerusi dana daripada kerajaan persekutuan.

“Apa yang saya dengar, ada pihak yang menentang cadangan itu kerana tapak baru berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada tahun 2009 secara lebih nyata membuktikan kehebatan tamadun Hindu.”

Demikian diceritakan oleh Balan semasa diwawancara di rumahnya di Bedong, Kedah pada 31 Januari 2014.

Pertemuan itu diatur Datuk Murugan Alimuthu dan Kartik Ramachandran berikutan kes Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013.

Saya bersama-sama Kughan Nadarajah, Prabhawathy Govindarajoo dan Devishi Prabha Sankari mewakili Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dalam lawatan khas dua hari ke Lembah Bujang.

Balan yang berumur 72 tahun mengimbas kata-kata Zainuddin yang mengingatkan tentang fakta dan realiti kaum Melayu di Tanah Melayu menganut Hinduisme sebelum kedatangan Islam.

Untuk rekod, Kompleks Galeri Arkeologi Sungai Batu tersebut masih diteruskan berikutan pembukaan 50 tapak pemetaan yang dijangka merungkai sejarah tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara – mengatasi usia Angkor Wat di Kemboja dan Borobodur di Indonesia.

Penemuan baru di Sungai Batu

Laporan Bernama (3 Mac 2014) memetik pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mokhtar Saidin sebagai berkata, pemetaan bagi 47 tapak yang dibuka sebelum ini sudah selesai.

“Hasil daripada 47 tapak yang dibuka itu, kami menemui empat fungsi iaitu tapak industri peleburan besi, pelabuhan dengan 10 jeti, tapak ritual bagi penyembahan alam sekitar iaitu Gunung Jerai dan 13 bangunan pentadbiran,” katanya.

Penemuan di tapak ekskavasi itu dipercayai membuktikan bermulanya tamadun Hindu dari abad ke-5 Sebelum Masihi hingga abad ke-17 Masihi.

Bagaimanapun masih banyak lagi penemuan yang belum dijumpai, antaranya kawasan perkuburan, penempatan dan kilang bata yang turut terletak di Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Untuk rekod, penemuan tapak peleburan besi mengejutkan para pengkaji kerana dapatan itu menunjukkan hakikat orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang terlibat dalam industri pertukangan besi sejak sekian lama.

Sejak tapak baru itu dibuka, Balan membawa saudara-mara dan rakan-rakan dari dalam dan luar negara melawat kawasan yang menakjubkan itu beberapa kali.

Wakil Kavyan juga tidak melepaskan peluang berkunjung ke sana dan bertemu beberapa pelajar USM yang terlibat dalam kerja-kerja ekskavasi.

Candi-candi di Lembah Bujang sebenarnya mula ditemui penjajah British pada tahun 1840-an. Pada tahun 1957, orang ramai mula semakin berminat apabila Tunku Abdul Rahman sendiri datang melawat salah satu tapak.

“Saya berumur 15 tahun waktu itu. Saya dan rakan-rakan turut pergi bersama orang ramai. Kami mendengar penerangan oleh seorang pengkaji barat. Memang saya berasa amat kagum apabila diberitahu ia merupakan tapak tamadun Hindu,” Balan menceritakan.

Kuasa tangan-tangan ghaib

Warga emas kelahiran Johor itu mengaku bahawa pada usia remaja, kesedaran terhadap khazanah sejarah dan budaya tidak begitu tinggi. Hanya apabila meningkat dewasa, beliau sedar betapa penemuan di Lembah Bujang perlu didokumentasi dan dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara.

Lelaki keturunan Malayali itu melahirkan kekesalan kerana kaum India, khususnya generasi muda, kurang ada kesedaran tentang khazanah budaya dan bahan bukti sejarah yang sedang disembunyikan dan dihapuskan secara perlahan-lahan.

Sekiranya diperhatikan, insiden Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan pada September 2013 hanya disedari orang ramai sekitar tiga bulan kemudian.

Seperti biasa, pelbagai pihak – khususnya MIC dan badan-badan berasaskan kaum India – mula bising-bising serta mendesak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Lembah Bujang.

Amat menyedihkan kerana segalanya hanya hangat-hangat tahi ayam.

Sebagai contoh, kempen Facebook 1 Million Likes To Save Bujang Valley oleh Pemuda MIC seolah-olah berakhir selepas sekumpulan politikus muda bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi yang dipecahkan pemaju.

Semakan pada 11 Januari 2015 menunjukkan paparan terakhir di laman itu mengenai Lembah Bujang adalah suatu keratan akhbar pada 6 April 2014. Dengan 22,960 “like” setakat ini, tentulah sasaran “1 Million Likes” masih terlalu jauh.

Semasa diwawancara di rumahnya, Balan menegaskan perlunya generasi muda kaum India terus-menerus memperjuangkan supaya fakta, bukti dan sejarah mengenai tamadun Hindu di Lembah Bujang khasnya dan Malaysia amnya tidak dihapuskan tangan-tangan ghaib.

“Apabila saya mendapat berita mengenai Candi Nombor 11 dirobohkan pemaju perumahan, hati saya remuk. Betapa kita (kaum India) tidak ada kuasa dan kedudukan untuk memperjuangkan dan mempertahankan khazanah tamadun kita,” keluhnya.

Wakil Kavyan turut melawat Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang menghimpunkan pelbagai bahan sejarah yang mengkagumkan mengenai tamadun masa silam yang pernah wujud di sekitar Lembah Bujang dan Merbok.

Tanggungjawab bersama

Kami turut bertemu dan mewawancara penduduk di sekitar kawasan Candi Nombor 11 yang dimusnahkan pada September 2013. Masing-masing menceritakan apa yang dilihat dan berlaku pada waktu itu serta selepas itu.

Ada beberapa kisah dan pendedahan yang terlalu sensitif serta tidak dapat dipaparkan secara terbuka di sini kerana melibatkan kuasawan dan golongan tertentu yang berusaha menafikan sejarah.

Kita perlu sedar bahawa candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 membuktikan kehebatan tamadun yang dikongsi bersama oleh orang India dan orang Melayu sejak dahulu.

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab memelihara, memulihara serta mempertahankan Lembah Bujang tidak terletak pada bahu mana-mana kaum/agama tertentu. Sebaliknya tugas bersama Bangsa Malaysia yang cinta akan tamadun, sejarah dan warisan budaya bangsa.

Menurut laporan di Utusan Malaysia (24 Jun 2013), Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mahu mendapatkan pengiktirafan Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai tapak warisan dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Sementara itu, pada 18 Januari 2015, sekumpulan orang yang lengkap “memakai busana Melayu bertanjak, bersampin dan berkeris” (menurut blog penganjur) bakal melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai aktiviti penghayatan tamadun Melayu dan Islam.

Bagi kaum India dan politikus India yang sering mendabik dada mengatakan Lembah Bujang adalah “milik” mereka, nampaknya tidak ada pula sebarang usaha seperti itu dilakukan.

Hampir setahun selepas berkunjung ke Lembah Bujang, saya belum mendengar sebarang program menarik seperti itu diatur secara besar-besaran oleh MIC atau mana-mana pertubuhan berasaskan kaum India dan agama Hindu.

Mungkin mereka hanya akan teruja dan bangkit bersuara serta mencipta laman khas di Facebook apabila satu lagi tragedi besar menimpa candi-candi di Lembah Bujang. – Baca juga: Siapa Kisah Lembah Bujang?

[Makalah ini ditulis pada 11 Januari 2015 berasaskan wawancara bertarikh 31 Januari 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Januari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!