13 May 2026

Bacha


Hujan di Taiping umpama seorang kenalan lama yang datang berkunjung; tahu adab, mengetuk perlahan pada bumbung zink, menyusup di celah-celah daun angsana, dan meninggalkan bau tanah basah yang menenangkan. Seolah-olah tidak menyedari ribut yang bakal melanda.

 

Begitulah di hujung satu lorong berhampiran Jalan Taming Sari, berdiri sebuah kafe kecil yang kurang dikenali umum. Papan tandanya sederhana tetapi bahagian dalamnya hangat; lampu kekuningan, meja kayu berparut halus, dan rak buku kecil memuatkan buku pelbagai bahasa.

 

Di situ, pada setiap pagi, seorang lelaki berusia dua puluh lapan tahun berdiri di belakang mesin espreso dengan lengan berurat dan senyuman yang mudah menambat hati.

 

Wajah Zaryab Haider bujur dengan tulang pipi tegas, janggut nipis sentiasa dirapikan, dan mata kelabu-coklat yang kadang-kadang kelihatan terlalu jauh memandang sesuatu yang tidak dapat dilihat orang lain.

 

Dia berasal dari Afghanistan tetapi pengalaman bertahun-tahun mengembara menjadikannya seperti sungai yang membawa serpihan budaya dari banyak tanah.

 

Pemilik kafe itu, Zainab Rawther, seorang keling (India-Muslim) yang tegas tetapi penyayang. Dia pernah berkata bahawa kehadiran Zaryab membawa bersamanya rahmat dan membuka pintu rezeki.

 

“Awak ini macam magnet,” katanya sambil ketawa kecil. “Orang datang minum kopi, kemudian mereka bawa pulang cerita tentang awak.”

 

Memang benar. Siswa-siswi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang datang bercuti ke Taiping akan berbisik sesama sendiri ketika Zaryab menyanyi perlahan-lahan lagu lama Parsi sambil menyapu buih susu di atas latte.

 

Golongan lelaki muda berkerjaya pula gemar bersembang dengannya tentang filem, sastera, dan politik Asia Selatan. Zainab maklum bahawa Zaryab membaca banyak buku. Di rak kecil berhampiran kaunter, terselit naskhah cerpen Kabuliwala karya Rabindranath Tagore yang sudah lusuh di bahagian tepi, juga The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns oleh Khaled Hosseini, The Reluctant Fundamentalist dan Moth Smoke oleh Mohsin Hamid, serta The Bookseller of Kabul oleh Åsne Seierstad.

 

Zaryab boleh bercakap tentang Amir dan Hassan seolah-olah mereka pernah duduk minum teh bersamanya; tentang konflik batin Changez di Lahore; tentang Kabul yang dilihat melalui mata seorang penjual buku yang degil.

 

“Dalam Kabuliwala,” kata Zaryab suatu petang kepada seorang pelanggan tetap bernama Imran Basher, “yang paling menyentuh bukan sekadar rindu seorang ayah kepada anaknya, sebaliknya bagaimana rindu itu merentasi bangsa dan agama. Rindu itu universal. Ia tidak peduli sempadan.”

 

Imran, seorang lelaki India-Muslim berusia awal tiga puluhan, biasanya datang setiap petang selepas waktu kerja. Dia tidak banyak bercakap pada awalnya, namun pandangannya yang tertumpu ke arah Zaryab tidak pernah benar-benar tersembunyi.

 

Malah, Zaryab sendiri menyedari hal itu. Setiap kali Imran tersenyum, ada getar halus dalam dada Zaryab yang tidak pernah diakuinya secara terbuka. Dia memendamkan sahaja gelora itu seperti seseorang menyimpan surat cinta dalam laci paling bawah.

 

Bahasa Melayu yang dituturkan Zaryab amat fasih, dengan lenggok Perak yang semakin jelas. Suaranya merdu—tidak terlalu tinggi, tidak terlalu berat—dan dia sering menyanyi ketika menyusun cawan atau mengelap meja.


Adakala dia menyanyikan lagu ghazal Urdu, ada kala lagu lama P. Ramlee yang dipelajari daripada Zainab. Tubuh yang sasa hasil rutin di gimnasium berhampiran menjadikan kehadiran Zaryab semakin menonjol. Malah, dalam diam, dia menyimpan impian menjadi … (bersambung)

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]