16 Jun 2009

Asimilasi vs Jati Diri

Beberapa pelajar di beberapa IPTS di mana saya pernah mengajar subjek Malaysian Studies (1999-2008) menghubungi saya untuk menyatakan bahawa apa yang pernah saya kuliahkan kepada mereka mengenai “perpaduan”, “integrasi”, “asimilasi”, “jati diri” dan seumpamanya kini ‘berguna’ apabila mereka cuba memahami konsep Satu Malaysia yang sedang “didedahkan sedikit demi sedikit” oleh Perdana Menteri sejak April 2009.

Memang benar. Saya ada juga menyatakan mengenai pengalaman mengajar Malaysian Studies sewaktu diundang memperkatakan mengenai Satu Malaysia di Astro Awani pada 17 April 2009.

Juga dalam kertas kerja yang saya bentangkan di Seremban pada 9 Mei 2009 dan BOLEH DIBACA DI SINI.

Sejak awal, saya nyatakan bahawa Satu Malaysia bukan formula baru. Pasti sahaja ramai yang “bermati-mati” menafikan kata-kata saya.

Apapun, akhirnya, pada 6 Jun 2009, Perdana Menteri sendiri mengakui hakikat itu. [BACA DI SINI]

Dan pada 15 Jun 2009, Rakyat berpeluang mendapat lebih banyak maklumat dan penjelasan yang membuktikan bahawa Satu Malaysia tidak jauh berbeza dengan Bangsa Malaysia.

Pada sidang Dewan Rakyat, Perdana Menteri menjelaskan bahawa Satu Malaysia “menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.”

Sebagaimana konsep Bangsa Malaysia, Satu Malaysia juga menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar semua rakyat boleh hidup bersama-sama dalam keadaan saling menghormati sebagai Bangsa Malaysia.

Bagaimanapun, jangan lupa bahawa Satu Malaysia mementingkan “perpaduan” manakala Bangsa Malaysia yang diimpikan mahu merealisasikan “integrasi”.

Maka, bagi saya, Satu Malaysia adalah langkah awal (err … masih di tahap “awal” selepas lebih 50 tahun?) ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Pandangan saya mengenainya BOLEH DIBACA DI SINI untuk penjelasan lanjut.

Apapun, Satu Malaysia bukan berciri “asimilasi”, sebaliknya mementingkan “jati diri”; dan jaminan ini amat penting dalam pembinaan Bangsa Malaysia.