16 Jun 2009

Penulis Pelbagai Kaum

Apakah makna sebenar frasa “pelbagai kaum” seperti yang biasa digunakan, contohnya dalam “Penulis Pelbagai Kaum” dan “Peserta Pelbagai Kaum”?

Sejak diasaskan pada Ogos 1999, kesemua aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan adalah terbuka kepada peserta pelbagai kaum; walaupun Kavyan diterajui sekumpulan penulis kaum India.

Hakikat ini amat jelas di www.kavyan.blogspot.com yang merupakan blog rasmi Kavyan.

Sejumlah aktiviti disusun oleh Kavyan sepanjang Julai dan Ogos 2009 sempena Festival Kuala Lumpur dan Pesta Buku Negeri Selangor.

Namun, nampaknya ada individu/pihak yang beranggapan kononnya Kavyan mengamalkan diskriminasi kaum atau bersikap perkauman.

Kononnya, aktiviti Kavyan khusus bagi “Peserta Bukan Kaum Melayu” kerana khabarnya istilah “pelbagai kaum” merujuk kepada “Bukan Melayu”.

Jadi, aktiviti Kavyan dikatakan khusus bagi peserta Bukan Melayu sahaja!

Malah, frasa “penulis pelbagai kaum” dikatakan merujuk khusus kepada para penulis yang bukan keturunan Melayu.

Entahlah di mana silapnya sehingga ada individu/pihak yang beranggapan dan berpendirian demikian.

Saya bukan pakar bahasa tetapi saya percaya “pelbagai kaum” tidak sesekali membawa makna “Bukan Melayu”.

Adakah ayat “Dia menguasai pelbagai bahasa” bermakna “tidak termasuk bahasa Melayu”?

Adakah “Pelbagai juadah dihidangkan pada majlis itu” membawa makna “tidak termasuk juadah Melayu”?

Adakah “Rakyat Malaysia yang pelbagai kaum hidup aman damai” bermakna “tidak termasuk rakyat kaum Melayu”?

Saya ada mengemukakan pertanyaan mengenai “pelbagai kaum” di Facebook pada 16 Jun 2009 dan menerima reaksi yang tetap memeningkan.

Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pakar-pakar bahasa boleh membantu memberi penjelasan bagi meredakan kekeliruan yang wujud; sekali gus membantu menjelaskan adakah Kavyan bersikap perkauman apabila kesemua aktiviti terbuka kepada “peserta pelbagai kaum”. - Baca lagi DI SINI.