Tahniah diucapkan kepada Cikgu Uthaya Sankar SB atas kejayaan menerbitkan buku Khanda Puranam: Perang Dewa dan Asura (2022). Buku ini membuka persepsi kita mengenai keindahan dan keunikan karya klasik India yang amat bernilai.
Sesungguhnya,
sejak kecil, saya hanya sedia maklum bahawa Dewa Muruga @ Murugan merupakan dewa Hindu, juga merupakan adik kepada Dewa Vinayagar dan dijadikan ikon dominan bagi perayaan Thaipusam iaitu perayaan yang diraikan pada bulan Thai (Thaimasam) dan berbintang Pusam (Pusam Natchathiram) di seluruh
pelosok dunia.
Namun
demikian, tanggapan saya berubah setelah meneliti kandungan buku Khanda Puranam. Buku ini sesuai dijadikan
santapan minda generasi muda masa kini kerana diterbitkan dalam Bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan. Isi cerita Khanda Puranam adalah mesra bahasa, mudah difahami dan sebati
dengan cita rasa penggemar karya klasik.
Buku ini juga
boleh menjadi platform utama kepada semua penggemar karya sastera kerana dapat
memahami kisah sebenar mengenai kelahiran Dewa Muruga melalui teknik
penceritaan yang tersusun rapi dari awal hingga akhir.
Sesungguhnya,
Dewa Muruga memiliki kelahiran penuh mistik, mempunyai kemampuan bagi
menghapuskan kejahatan dan memberikan kejayaan kepada para pengikutnya. Buku Khanda Puranam juga menyajikan kosa kata
yang mudah difahami dan dikuasai. Sebagai pendidik, saya berbangga kerana dapat
menjadi pembaca dan pengulas buku ini.
Sebagaimana
agama dan kitab-kitab suci wujud bagi membentuk manusiawi, sebegitulah juga
buku Khanda Puranam menyajikan sejarah
klasikal dewa-dewi menerusi kronologi menarik bagi membentuk atau menjana
pemikiran kritis dan kreatif pembaca.
Saya amat
menyantuni dan mengagumi hasil penulisan dan projek Khanda Puranam oleh Cikgu Uthaya Sankar SB kerana setiap kisah yang
disajikan dalam buku magikal ini merungkai salasilah keluarga Dewa Muruga,
perang sura dan asura serta kehidupan sarwajagat.
Besarlah
harapan saya agar semua pembaca atau penggemar karya sastera dapat memanfaatkan
penceritaan yang terkandung dalam buku Khanda
Puranam sebagai tombak (Vel)
untuk memahami asal-usul dewa-dewi.
Sesungguhnya,
saya dapat memahami bahawa Cikgu Uthaya Sankar SB telah mengkaji dan mendalami sejarah epik bagi
menerbitkan sebuah karya murni yang berinformasi ini. Rakaman penghargaan khas
ditujukan kepada beliau atas komitmen dan kesungguhan sepanjang penghasilan buku
Khanda Puranam. Saya sendiri dapat
menghafalz serta mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Dewa Muruga yang memiliki
variasi nama seperti Kartikeya, Kumaran, Shanmugam, Subramaniam, Velan, dan
Murugan.
Terdetik di
hati untuk meneroka lebih lanjut mengenai cerita-cerita klasik kerana yang lama
atau purba merupakan emas yang tinggi nilainya.
