1 Nov 2017

Penerimaan Kaum India Terhadap Bahasa Kebangsaan

Salah satu salah tanggap, prejudis dan stereotaip yang mungkin wujud terhadap kaum India adalah bahawa kelompok ini kurang terbuka terhadap kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar.

Salah tanggap ini mungkin wujud berikutan kurangnya kaum India – secara relatif berbanding kaum Melayu – terlibat dalam bidang-bidang yang mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan. Kemampuan dan kecenderungan kaum India menggunakan Bahasa Inggeris, Tamil dan bahasa ibunda (seperti Malayalam, Telugu dan Punjabi) juga mungkin dilihat sebagai tanda-tanda kurang menerima kepentingan bahasa kebangsaan.

Sejak kecil, saya secara peribadi mempunyai pengalaman bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada tahun 1999 pula memberikan saya peluang lebih formal untuk mendekati masyarakat di seluruh negara menerusi acara bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya.

Bercakap secara khusus mengenai komuniti India, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa kanak-kanak, remaja, belia dan golongan dewasa tidak ada sebarang masalah untuk menerima bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka sedar bahawa bahasa kebangsaan tidak sesekali menghalang – apatah lagi menghapuskan – bahasa ibunda dan bahasa-bahasa lain yang ingin mereka turut kuasai.


Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sering dijadikan contoh kekurangan penerimaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam kalangan kaum India. Salah tanggap ini sama sekali tidak berasas. Sama ada kanak-kanak kaum India belajar di SJKT, Sekolah Kebangsaan (SK) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), mereka masih menerima dan memperakukan kepentingan serta kedudukan bahasa kebangsaan.

Tohmahan yang sering dilemparkan kepada pelajar lepasan SJKT dan SJKC adalah kekurangan pencapaian akademik dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah. Tuduhan seperti ini menunjukkan kedangkalan dan kejahilan kita terhadap hakikat perbezaan antara bahasa kebangsaan sebagai mata pelajaran akademik di sekolah dan penerimaan bahasa kebangsaan tanpa perlu menjadi pakar lingustik bahasa. Usah kita lupa bahawa seseorang yang mencintai sesuatu bahasa tidak semestinya merupakan pakar linguistik dalam bahasa berkenaan.

Sering kali ada pihak yang mengeluarkan pelbagai kenyataan negatif mengenai penerimaan bahasa kebangsaan oleh generasi muda kaum India. Misalnya, akhbar Berita Harian (18 Mac 2010) memetik kenyataan Raja Rajeswari Seetha Raman yang “mendedahkan kajiannya terhadap pelajar bukan Melayu menunjukkan hanya 30 daripada 300 responden berminat terhadap bahasa Melayu.”

Kenyataan-kenyataan negatif dan tidak berasas daripada pihak tidak bertanggungjawab seperti di atas terus menyembunyikan hakikat sebenar penerimaan kaum India terhadap bahasa kebangsaan. Dalam realiti, kaum India – termasuk individu yang mungkin kurang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah – menerima bahasa kebangsaan dengan hati dan tangan terbuka. Malangnya, gambaran negatif yang diberikan oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan hakikat ini kurang diketahui umum.

Maklumat rasmi yang terkandung dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017) terbitan Pejabat Perdana Menteri menunjukkan secara tuntas bahawa bahasa kebangsaan dan Tamil merupakan bahasa yang paling difahami masyarakat India di Semenanjung Malaysia. Malah, kemampuan membaca dan mengarang (menulis) bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka lebih tinggi berbanding Tamil.

Ramai individu kaum India yang lahir selepas tahun 1960 bukan sahaja memiliki tahap penerimaan yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan, malah memiliki penguasaan bahasa yang amat tinggi dan membanggakan. Penglibatan dan sumbangan mereka dapat dilihat dalam hampir semua bidang yang mementingkan penggunaan bahasa kebangsaan, misalnya bidang penyiaran, kewartawanan, penulisan, perguruan, perniagaan, pengurusan, pentadbiran, penyelidikan dan politik.


Berdasarkan pengalaman saya secara peribadi sejak tahun 1970-an, serta pengalaman Kavyan sejak tahun 1999, memang terbukti kaum India tidak ada sebarang masalah untuk menerima bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian. Walaupun sebahagian kaum India tetap memperjuangkan hak penggunaan bahasa ibunda serta hak untuk menghantar anak-anak ke SJKT, perjuangan ini tidak sesekali membawa makna mereka menolak atau menentang bahasa kebangsaan.

Boleh dibaca dalam buku Kisah Sasterawan Kavyan (2021).

[Makalah ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 18 Ogos 2017 dan tersiar di majalah Dewan Masyarakat, Oktober 2017. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta mana-mana paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.]