8 Aug 2026

Analisis: Membongkar Amanat Prashamsaneeji

Dalam konteks kritikan sastera moden, karya fiksyen sering berfungsi bukan sekadar sebagai wahana hiburan tetapi juga sebagai ruang alegori, satira, dekonstruksi ideologi, dan kritikan sosial yang terselindung. Kumpulan cerpen Sebelas Amanat Swamiji (2025) wajar cuba dibaca dalam kerangka sedemikian.

Walaupun secara permukaan, teks itu memperlihatkan perihal kultus yang diasaskan oleh Maharishi Prashamsaneeji (1870-1932), pembaca yang mempunyai pengetahuan intertekstual terhadap kitab suci ajaran tertentu mungkin segera menyedari adanya persamaan yang sengaja dibentuk antara “amanat” kultus tersebut dengan sejumlah perintah atau seruan dalam kitab ajaran tertentu.

Dalam teori sastera moden, khususnya pendekatan intertekstualiti yang diasaskan oleh Julia Kristeva, sesebuah teks sentiasa berhubung dengan teks-teks lain melalui petikan, gema makna, struktur penceritaan, atau pengulangan tema. Maka, kemungkinan bahawa pengarang menggunakan fiksyen sebagai alat untuk mengkritik ajaran tertentu tidak boleh ditolak begitu sahaja.

Menerusi cerpen bertajuk “Sebelas Amanat Prashamsaneeji”, pengarang membongkar kultus Prashamsaneeji dengan menampilkan sebelas “amanat” (pesanan, nasihat, panduan, amanah) yang ekstrem, ganas, dan anti-kemanusiaan sebagaimana terkandung dalam buku berjudul The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy (2002) iaitu biografi paling lengkap tentang pengasas kultus berkenaan.

Amanat 1: “Gunakan apa-apa senjata berbahaya untuk menakutkan sesiapa yang tidak mahu menyertai kultus ini.”

Amanat 2: “Kalau sesiapa mengkritik atau mempersoalkan kultus ini, tidak salah jika mereka dihapuskan dengan apa-apa cara.”

Amanat 3: “Jangan perakukan mana-mana ajaran selain kultus Prashamsaneeji.”

Amanat 4: “Hapuskan sesiapa yang tidak akur pada ajaran kultus ini.”

Amanat 5: “Janganlah berkawan dengan sesiapa yang tidak mempercayai ajaran Prashamsaneeji.”

Amanat 6: “Kalau ada orang di kawasan kejiranan anda tidak mahu menjadi ahli kultus Prashamsaneeji, perangi mereka dan hapuskan mereka.”

Amanat 7: “Jangan sesekali bersedia untuk berdamai dengan orang yang tidak mahu menyertai kultus ini. Jangan beri mereka peluang untuk bernafas.”

Amanat 8: “Hanya ajaran kultus ini paling mulia. Kalau sesiapa cuba mengangkat teks ajaran lain, ugutlah untuk memancung leher mereka.”

Amanat 9: “Gunakan apa sahaja cara dan senjata untuk menyeksa orang Hindu yang tidak mahu menyertai kultus Prashamsaneeji.”

Amanat 10: “Semua orang lain adalah golongan bodoh. Pengikut kultus ini wajib melawan mereka.”

Amanat 11: “Sebaik ada peluang, hapuskan sesiapa yang mengkritik atau tidak mahu menyertai kultus Prashamsaneeji.”

Secara tekstual, amanat-amanat ini menggambarkan sebuah sistem kepercayaan totalitarian yang menghalalkan keganasan terhadap golongan luar, menghapuskan pluralisme, dan membina identiti kelompok berdasarkan permusuhan (pembunuhan) terhadap “orang lain”.

Namun, kesan sebenar teks itu muncul apabila pembaca berjaya menemui persamaan antara amanat tersebut dengan petikan tertentu daripada kitab ajaran tertentu. Sebagai contoh, Amanat 8 yang menyebut ancaman “memancung leher” mempunyai gema langsung dengan usul ajaran tertentu supaya “apabila kamu berjuang menentang orang-orang itu, maka pancunglah lehernya”.

Amanat 6 yang menyeru supaya memerangi jiran yang enggan menyertai kultus mempunyai kesan paralel dengan usul “perangilah orang-orang itu yang berdekatan (berjiran) dengan kamu”. Amanat 1 yang menekankan penggunaan senjata untuk menakutkan pihak lain pula berupaya mengingatkan pembaca kepada seruan supaya pengikut ajaran tertentu menyediakan kekuatan tentera “untuk menggerunkan musuh dengan persediaan itu”.

Persamaan seperti ini bukan sekadar kebetulan linguistik, sebaliknya tidak keterlaluan jika dikatakan berfungsi sebagai mekanisme intertekstual yang membentuk lapisan makna kedua dalam teks fiksyen tersebut.

Dalam kritikan sastera pascamoden, strategi seperti ini sering digunakan untuk menghasilkan distancing effect atau kesan pengasingan yang dipelopori Bertolt Brecht. Dengan mengetengahkan ajaran atau kultus Prashamsaneeji, pengarang membolehkan pembaca melihat sesuatu ideologi dari sudut luar tanpa terikat pada sensitiviti langsung terhadap ajaran tertentu.

Teknik ini mengingatkan pembaca kepada karya alegori seperti Animal Farm di mana George Orwell menggunakan haiwan sebagai simbol untuk mengkritik totalitarianisme Soviet.

Dalam kes cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji”, kultus Prashamsaneeji mungkin berfungsi sebagai topeng sastera yang membolehkan pengarang membincangkan persoalan keganasan agama, fanatisme, dan penggunaan “arahan dewa-dewi” untuk mewajarkan pembunuhan tanpa menyebut ajaran tertentu secara langsung.

Apa yang menarik ialah pengarang tidak sekadar mencipta amanat ganas secara rawak. Struktur amanat tersebut disusun sedemikian rupa sehingga menimbulkan persamaan dengan ayat-ayat tertentu dalam buku suci ajaran tertentu.

Amanat 11, misalnya, berbunyi: “Sebaik ada peluang, hapuskan sesiapa yang mengkritik atau tidak mahu menyertai kultus Prashamsaneeji.” Amanat ini mampu mengingatkan pembaca kepada seruan “tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemui mereka” dalam ajaran tertentu.

Amanat 9 pula menyeru penyeksaan terhadap orang Hindu yang enggan menyertai kultus Prashamsaneeji, selari dan selaras nada keras dalam ajaran tertentu yang menyebut hukuman bunuh, dipalang, dan pemotongan anggota badan terhadap sesiapa yang “memerangi dewa-dewi dan tok sami”.

Melalui teknik paralelisme ini, pengarang seolah-olah mengajak pembaca memikirkan persoalan penting: Jika kita menyedari hakikat amanat-amanat kultus Prashamsaneeji adalah kejam dan tidak bertamadun, bagaimana pula pembaca harus memahami ayat-ayat dalam kitab ajaran tertentu yang berbunyi hampir serupa?

Di sinilah mungkin terletaknya sifat provokatif karya tersebut. Kritikan sastera moden sering menekankan bahawa teks tidak mempunyai satu makna mutlak. Mengikut pendekatan dekonstruksi Jacques Derrida, makna sentiasa terbuka kepada tafsiran yang bercanggah.

Maka, pembaca cerpen ini mungkin terbahagi kepada beberapa kelompok. Ada yang melihat karya itu sebagai kritikan langsung terhadap ajaran tertentu, khususnya terhadap ayat-ayat perang dalam buku suci ajaran itu. Ada pula yang mungkin melihatnya sebagai kritikan terhadap pembacaan literal dan ekstrem terhadap teks ajaran tertentu.

Dalam tafsiran kedua ini, pengarang mungkin bukan menyerang ajaran tertentu atau kultus tertentu secara keseluruhan, sebaliknya sedang memperlihatkan bagaimana petikan kitab suci boleh kedengaran ganas apabila dipisahkan daripada konteks sejarah dan tafsiran tradisional.

Walau bagaimanapun, dari sudut estetika sastera, kekuatan cerpen ini terletak pada keberanian pengarang memanfaatkan ambiguiti. Pengarang tidak pernah secara eksplisit mengatakan bahawa kultus Prashamsaneeji mewakili mana-mana agama, kultus, atau ajaran tertentu.

Sebaliknya, pengarang membiarkan pembaca membuat hubungan sendiri melalui persamaan frasa, imej keganasan, dan struktur seruan perang dalam amanat berkenaan. Teknik “show, don’t tell” menjadikan kritikan lebih tajam kerana pembaca sendiri yang perlu melengkapkan makna tersirat.

Dalam teori resepsi oleh Wolfgang Iser, makna sebenar teks lahir melalui interaksi antara teks dan pembaca. Ertinya, kontroversi atau rasa tidak selesa yang muncul dalam diri pembaca sebenarnya terhasil daripada proses pembacaan itu sendiri; bukan dalam cerpen itu per se.

Selain itu, penggunaan nama seperti “Prashamsaneeji” dan identiti “kultus” juga signifikan. Dengan memilih latar dan nama berunsur India-Hindu, pengarang mencipta lapisan penyamaran budaya. Akan tetapi, penyamaran ini mungkin disengajakan untuk menimbulkan ironi.

Pembaca mula-mula menganggap kultus itu sebagai ancaman asing yang fanatik. Kemudian menyedari bahawa sebahagian amanatnya mempunyai persamaan dengan teks ajaran tertentu yang sangat dikenali. Kesan kejutan inilah yang menjadi inti kritikan karya sastera tersebut. Ia memaksa pembaca menilai semula standard moral mereka terhadap teks keagamaan dan keganasan ideologi.

Dari sudut etika sastera pula, karya seperti ini pasti mengundang polemik. Ada pihak mungkin menganggapnya sebagai kebebasan bersuara dan usaha intelektual untuk mempersoalkan legitimasi keganasan dalam agama. Sebaliknya, ada juga yang mungkin melihatnya sebagai kritikan terselindung terhadap agama, ajaran, atau kultus tertentu.

Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” dalam buku Sebelas Amanat Swamiji boleh dibaca sebagai contoh bagaimana fiksyen moden menggunakan alegori dan intertekstualiti untuk mengkritik struktur kuasa dalam agama dan kultus. Pengarang berjaya membuka ruang perdebatan tentang keganasan, autoriti arahan dewa-dewi, dan bahaya fanatisme.

Sama ada pembaca melihat kandungan cerpen itu sebagai kritikan terhadap ajaran tertentu secara khusus atau terhadap ekstremisme agama secara umum, semuanya bergantung sepenuhnya pada kerangka tafsiran dan tahap intelek masing-masing.

Namun, dari sudut sastera, tidak dapat dinafikan bahawa cerpen ini berjaya menggunakan strategi naratif yang sangat terancang dan licik untuk menghasilkan kesan renungan, kejutan, dan kontroversi intelektual.

Bacaan seterusnya: Suara Yang Berani Melawan