9 Aug 2026

Menyelamatkan Umat Hindu Daripada Dak*ah Kultus



Di sebuah dewan sederhana besar, lima pakar diundang untuk membincangkan satu isu yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat India dan penganut Hindu di Malaysia iaitu pengaruh kumpulan kultus (cult) yang berselindung di sebalik gelaran agama, kerohanian, kebajikan, ceramah motivasi, atau latihan pembangunan diri.

Kelima-lima watak fiksyen ini datang daripada latar belakang yang berbeza. Masing-masing mempunyai falsafah tersendiri. Mereka tidak sentiasa bersetuju. Malah, adakala perdebatan menjadi hangat. Namun, tujuan mereka sama: Mencari jalan untuk melindungi masyarakat daripada manipulasi dan eksploitasi pendak*ah kultus selepas meneliti cerita-cerita dalam buku Sebelas Amanat Swamiji (2025) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026).

Perbincangan dimulakan dengan satu soalan mudah daripada moderator: “Bagaimana kita boleh menyelamatkan penganut Hindu daripada kumpulan kultus?”

Dr. Arvind Raman, seorang ahli sosiologi agama, menjawab terlebih dahulu. Beliau melihat fenomena kultus sebagai masalah sosial yang berkait rapat dengan ketidaksamaan ekonomi, pendidikan, dan keterasingan komuniti.

“Kita sering menyalahkan individu yang terjebak. Itu silap. Kebanyakan orang tidak menyertai kultus kerana mereka bodoh. Mereka menyertainya kerana mereka sedang mencari sesuatu. Ada yang mencari identiti. Ada yang mencari komuniti. Ada yang mencari harapan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ramai individu yang berasa dirinya terpinggir akan lebih mudah menerima pemimpin karismatik yang menjanjikan penyelesaian segera terhadap masalah kehidupan. Inilah peluang dimanipulasi secara licik oleh pendak*ah dan pemimpin kultus.

“Jika masyarakat gagal menyediakan ruang sokongan yang sihat kepada kumpulan berisiko dalam komuniti, maka kultus akan dengan licik mengisi kekosongan itu,” Dr. Arvind mengingatkan.

Puan Revathi Krishnan menggeleng perlahan. Beliau seorang aktivis hak asasi manusia. Baginya, isu utama bukan agama tetapi penyalahgunaan kuasa.

“Saya setuju sebahagiannya. Tetapi kita tidak boleh terlalu bersikap romantik dalam memperkatakan isu ini. Ramai pemimpin kultus tahu apa yang mereka lakukan. Mereka memanipulasi emosi, kewangan, dan kepercayaan pengikut secara sengaja. Mereka bukan sekadar mengisi kekosongan sosial. Mereka mengeksploitasi manusia,” tegasnya.

Menurut beliau, terlalu banyak perbincangan tertumpu kepada mangsa sedangkan pelaku jarang dipertanggungjawabkan. Puak pendak*ah ajaran kultus, serta para guruji dan swamiji yang mengetuai kultus perlu diambil tindakan.

“Kita perlukan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Jika seseorang menipu orang ramai atas nama agama, tindakan mesti diambil,” Puan Revathi mencadangkan sambil mengakui sukarnya harapan itu menjadi kenyataan di negara ini.

Swami Narayanan, seorang sarjana Hindu yang menumpukan perhatian kepada teks-teks tradisional seperti Veda, Upanishad, dan Bhagavad Gita kemudian menyertai perdebatan dalam forum.

“Saya menghormati pandangan kedua-dua pihak. Namun, kita perlu bercakap tentang agama itu sendiri. Ramai pengikut kultus tidak mempunyai asas pengetahuan Hindu yang kukuh. Mereka mudah percaya apabila seseorang mendakwa dirinya avatar, guru agung, atau wakil Tuhan.”

Beliau berhenti seketika dan memandang para hadirin sebelum menyambung.

“Dalam tradisi Hindu, guru memang penting. Tetapi guru tidak boleh berada di atas dharma. Jika seseorang guru atau swamiji atau guruji atau babaji meminta ketaatan mutlak, melarang soalan daripada pengikut, atau menganggap dirinya tidak boleh dipersoalkan, itu petanda bahaya,” Swami Narayanan menegaskan.

“Bukankah sejarah semua agama penuh dengan tokoh yang menuntut ketaatan?”

Pertanyaan Puan Revathi disambut oleh Swami Narayanan dengan senyuman kecil sebelum memberikan reaksi.

“Ya. Sebab itu pendidikan agama Hindu yang sebenar sangat penting. Pengetahuan merupakan benteng pertama untuk menyelamatkan umat Hindu daripada menjadi mangsa mana-mana pendak*ah dan kultus berciri ajaran sesat,” katanya dengan tenang tetapi tegas.

Dr. Kalaivani Muthu, seorang ahli psikologi klinikal yang banyak membantu bekas ahli kumpulan kultus pula bersuara selepas dewan senyap seketika.

“Saya rasa, kita masih belum menyentuh isu paling penting,” katanya. “Kultus tidak merekrut manusia yang rasional. Pendak*ah kultus merekrut manusia yang sedang mengalami tekanan emosi.”

Moderator, ahli panel, dan hadirin menunggu dengan penuh minat untuk mendengar perkongsian Dr. Kalaivani yang bersetuju untuk menceritakan secara ringkas pengalaman membantu bekas ahli beberapa kumpulan kultus yang beroperasi di rantau ini.

“Ada mangsa yang kehilangan ahli keluarga. Ada yang mengalami perceraian. Ada yang bergelut dengan hutang. Ada yang berasa kesunyian. Pemimpin dan pendak*ah kultus menawarkan kasih sayang, perhatian, bantuan kewangan, dan makna hidup. Pada peringkat awal, semuanya kelihatan indah.”

Menurut Dr. Kalaivani, ramai orang luar gagal memahami bahawa ahli kultus sering menjadi mangsa manipulasi psikologi yang sangat kompleks. [Baca juga: Kisah Guluji dan Guruji]

“Kita tidak boleh hanya berkata, ‘Mereka patut tahu.’ Otak manusia tidak berfungsi begitu apabila seseorang berada dalam keadaan tertekan. Hal inilah juga yang kita dapat perhatikan dalam kedua-dua buku yang menjadi asas kepada perbincangan kita di sini.”

Anggota kelima dalam panel ialah Encik Rajesh Kumar, seorang aktivis masyarakat yang terlibat secara langsung dengan belia kaum India di kawasan bandar dan ladang. Sejak awal, beliau lebih banyak mendengar sebelum akhirnya bersuara untuk berkongsi pandangan dan pengalaman.

“Saya setuju dengan semua yang dikatakan. Tetapi saya mahu bercakap secara khusus tentang golongan belia,” katanya, sekali gus menarik perhatian pemuda dan pemudi dalam kalangan hadirin.

Encik Rajesh menjelaskan bahawa ramai anak muda kaum India di negara ini berdepan krisis identiti.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


“Mereka tidak tahu sejarah dan asal usul komuniti. Mereka tidak mengenali serta menghargai identiti dan jati diri. Mereka tidak tahu tentang keunikan komuniti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi, Bengali, dan sebagainya. Mereka tidak merasakan hubungan yang kuat dengan kuil, keluarga, atau masyarakat. Maka, apabila muncul seorang pemimpin kultus atau puak pendak*ah kultus yang bercakap dengan yakin dan memberi rasa kepunyaan, maka belia India terus tertarik dan terpengaruh,” katanya tanpa berselindung.

Menjawab soalan susulan daripada moderator, Encik Rajesh menegaskan bahawa usaha menangani pengaruh kultus dalam kalangan kaum India mesti bermula lebih awal.

“Kita perlu melibatkan belia dalam aktiviti masyarakat, kesukarelawanan, kesenian, dan pendidikan budaya. Jangan tunggu sehingga mereka sudah direkrut puak kultus dan ajaran sesat. Sudah terlambat kalau anak-anak kita sudah masuk ke jalan sehala tanpa peluang untuk pulang ke pangkal jalan,” tegasnya berdasarkan pengalaman menangani kes-kes melibatkan golongan belia.

Perdebatan dalam forum menjadi lebih menarik apabila para pakar mula mencabar satu sama lain. Misalnya, Dr. Arvind mempersoalkan penekanan Swami Narayanan terhadap kepentingan pendidikan agama.

“Ramai individu berpendidikan tinggi juga terjebak dalam kultus. Ada doktor, jurutera, guru, pensyarah, malah peguam yang menjadi pengikut setia kultus. Adakah mereka juga kurang pendidikan?”

Swami Narayanan mengangguk, minum air, dan tersenyum kecil sebelum menjawab pertanyaan Dr. Arvind.

“Benar. Tetapi saya bercakap tentang kebijaksanaan, bukan sekadar maklumat. Seseorang boleh memiliki ijazah kedoktoran dan masih gagal membezakan antara kerohanian dan pemujaan individu. Pada masa sama, ketua kultus dan pendak*ah kultus pula bijak dan licik memanipulasi mangsa dari segala sudut,” katanya.

Seterusnya, Puan Revathi pula mencabar cadangan Encik Rajesh.

“Program belia memang baik. Tetapi adakah ia mencukupi apabila seseorang ketua kultus mempunyai jutaan ringgit dan rangkaian antarabangsa untuk menyebarkan ajarannya?”

“Memang tidak mencukupi,” Encik Rajesh mengakui. “Tetapi kita tidak boleh bergantung sepenuhnya pada kerajaan atau mahkamah atau pertubuhan agama. Komuniti mesti memainkan peranan untuk sama-sama membina jaringan sokongan serta memastikan tidak ada sesiapa dalam komuniti kita tersesat atau terpengaruh dengan ajaran mana-mana kultus.”

Para hadirin kelihatan mengangguk, seolah-olah menyedari tanggungjawab sebenar yang terletak pada pundak mereka.

Sejurus kemudian, Dr. Kalaivani mencabar semua anggota panel dengan persoalan penting yang perlu juga diberikan perhatian serius.

“Kita bercakap tentang usaha mencegah. Bagaimana pula dengan mereka yang sudah terjebak dalam kultus?”

Suasana menjadi lebih senyap. Para hadirin seperti menunggu topik itu dibincangkan oleh panel. Anggota panel dan moderator pula seolah-olah menunggu ahli psikologi klinikal itu sendiri berkongsi lebih banyak maklumat.

“Ramai keluarga melakukan kesilapan dengan menyerang atau memalukan ahli kultus,” Dr. Kalaivani meneruskan. “Mereka memanggil anak, pasangan, atau saudara mereka sebagai ‘bodoh’. Tindakan itu biasanya menyebabkan mangsa semakin bergantung kepada kultus tersebut yang bijak memanipulasi emosi mangsa sehingga mangsa merasakan kultus itu lebih memahami dirinya berbanding ibu bapa, pasangan, dan saudara mara.”

Jelasnya, pendekatan yang lebih berkesan ialah mengekalkan hubungan, mendengar dengan penuh empati, dan membantu individu terbabit berfikir secara kritis tanpa tekanan dan hukuman.

“Keluar daripada kultus selalunya proses yang rumit dan perlahan,” Dr. Kalaivani menyimpulkan dan rakan-rakan dalam panel mengangguk kerana menyedari kebenaran kata-kata itu.

Menjelang penghujung sesi, moderator meminta setiap pakar menyimpulkan cadangan paling penting dalam usaha melindungi dan menyelamatkan umat Hindu di Malaysia daripada perangkap kultus.

Dr. Arvind berkata, masyarakat perlu mengurangkan pengasingan sosial dan membina jaringan sokongan yang lebih kuat. Puan Revathi menegaskan perlunya ketelusan kewangan, akauntabiliti, dan tindakan undang-undang terhadap penipuan oleh kultus yang berpura-pura menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Swami Narayanan pula menekankan pendidikan agama yang berasaskan sumber sahih serta budaya bertanya soalan sebagai pelindung utama. Manakala Dr. Kalaivani menuntut akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan untuk bekas mangsa kultus.

Encik Rajesh pula mahu program pembangunan belia diperluaskan di seluruh negara demi membimbing lebih ramai pemuda dan pemudi tentang isu penularan kultus yang mungkin dipandang ringan tetapi sebenarnya mencabar agama Hindu.

Walaupun terdapat banyak perbezaan pandangan, kelima-lima pakar sebenarnya bersetuju dalam beberapa perkara. Misalnya, kultus tidak boleh ditangani melalui satu pendekatan sahaja. Pendidikan tanpa sokongan emosi tidak mencukupi. Begitu juga, penguatkuasaan undang-undang tanpa kesedaran masyarakat tidak mencukupi. Malah, pengetahuan agama tanpa pemikiran kritis tidak mencukupi. Begitulah juga, program belia tanpa penglibatan keluarga tidak memadai.

Ternyata, kaum India di Malaysia memerlukan gabungan pendidikan, pemikiran kritis, kesihatan mental, pengukuhan komuniti, dan kefahaman agama yang matang sebagai perisai yang mampu menyelamatkan komuniti minoriti ini daripada dak*ah kultus bertentangan ajaran Hinduisme.

Panel juga bersetuju bahawa persoalan utama bukanlah bagaimana untuk mencari guru yang sempurna, tetapi bagaimana untuk membina masyarakat yang tidak mudah menyerahkan kebebasan berfikir kepada “ketua” atau pemimpin kultus.

Moderator menyimpulkan dengan mengingatkan para hadirin bahawa dalam tradisi Hindu, pencarian kebenaran sentiasa dianggap sebagai satu perjalanan. Perjalanan itu memerlukan keberanian untuk bertanya, kerendahan hati untuk belajar, dan kebijaksanaan untuk meragui puak pendak*ah dan pemimpin kultus yang mendakwa memiliki semua jawapan, selain menjanjikan jalan sehala menuju svarga.

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]