18 Apr 2021

“Tuhan” Juga Milik Eksklusif Orang Islam?

Sementara orang Tamil sedang berbalah tentang tarikh sebenar sambutan tahun baharu (Januari atau April), isu “Keling” masih berlarutan, dan polemik “Allah” belum selesai, nampaknya ada usaha lain sedang dilakukan pihak tertentu secara penuh licik untuk memperlekeh hak beragama orang Bukan Islam di Malaysia.

[English versionClick Here]

Saya mendapat gambaran demikian selepas membaca cerpen-cerpen yang terkandung dalam antologi Meredah Kabus (2021) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), beberapa hari lalu.

Pembacaan saya terganggu kerana setiap kali penulis Bukan Islam memperkatakan “Tuhan”, ia ditukar kepada “tuhan” (huruf kecil). Contohnya:

Mala juga sentiasa diingatkan untuk berdoa dan berterima kasih kepada tuhan. (Hlm. 10)

“Demi tuhan,” tegas Ha Rim. (Hlm. 40)

“Biar tuhan dan undang-undang saja yang menghukum mereka! (Hlm. 41)

Semoga tuhan melindungi John daripada sebarang bencana. (Hlm. 63)

Amanah yang diberikan oleh tuhan kepadanya itu yang harus diutamakan. (Hlm. 99)

Apabila cerpen dalam antologi ini ditulis penulis beragama Islam, maka pihak DBP secara penuh sedar membenarkan penggunaan “Tuhan”. Contohnya:

Farid tidak pernah putus mensyukuri rahmat Tuhan. (Hlm. 156)

Isu mengenai “Tuhan” dan “tuhan” pernah timbul semasa saya dilantik menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid pada tahun 2011.

Antara saranan dan desakan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah supaya “tuhan” dalam novel Interlok (2010) dibetulkan kepada “Tuhan” sebelum dicetak semula.

[Pengalaman Interlok  Selepas Allah, Tuhan Pula?]

Nampaknya, bukan hanya istilah “Allah” dijadikan milik eksklusif orang Islam di Malaysia, malah “Tuhan” juga mahu diwartakan sebagai milik khusus orang Islam. Dikatakan bahawa “Tuhan” (huruf besar) hanya layak digunakan bagi Allah. 

Kumpulan cerpen sulung saya, Orang Dimensi diterbitkan DBP pada 1994, diikuti Siru Kambam (1996), dan Surat Dari Madras (1999). Dalam ketiga-tiga buku itu digunakan “Tuhan” tanpa sebarang masalah. Tentu sahaja saya tidak mengizinkan “Tuhan” dalam manuskrip saya ditukar kepada “tuhan”.

Prinsip pertama dalam Rukun Negara ialah “Kepercayaan kepada Tuhan”. Adakah Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 dengan tujuan utama “membentuk perpaduan yang kukuh” dan menjadi “kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum” hanya merujuk kepada Allah dengan penggunaan istilah “Tuhan”? -- Pendedahan penuh boleh dibaca dalam Suvarna Bhumi (2022).

______________________________

UTHAYA SANKAR SB ialah seorang penulis dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan iaitu kumpulan penulis masyarakat India yang menulis dalam Bahasa Malaysia. Ulasan ini disiarkan di Malaysiakini pada 16 April 2021.

[Nota: Ketua Pengarah DBP Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika dihubungi Malaysiakini berkata akan meneliti perkara ini terlebih dahulu dan memberi penjelasannya selepas ini.]


[Jawapan DBP  di sini]