Kita semua tentu biasa bermain “Ular dan Tangga” sejak kecil. Ia biasanya melibatkan antara dua dan empat pemain. Permainan ini amat menyeronokkan dan penuh mendebarkan kerana “langkah” seterusnya benar-benar di luar kawalan mana-mana pemain.
Hal ini amat berbeza dengan Chaturangam (catur) dan Aadu Puli Aatam (kambing dan harimau) di mana perjalanan permainan bergantung kepada kebijaksanaan dan kemampuan pemain menyusun strategi.
Dalam permainan “Ular dan Tangga”, pemain akan melontar dadu untuk mengetahui berapa langkah perlu diambil seterusnya. Dan ia mungkin membawa ke “tangga” yang membolehkan pemain naik/mara, atau membawa ke “ular” yang menyebabkan pemain terpaksa turun/undur.
Ramai yang menganggap ia permainan yang berasal dari Eropah atau Amerika Syarikat. Fakta yang tidak boleh ditukar atau dihapuskan — seperti yang sering berlaku di Malaysia — adalah bahawa permainan ini berasal dari India. Untuk makluman, Chaturangam (catur) dan Aadu Puli Aatam (kambing dan harimau) juga berasal dari India.
Pada zaman dahulu, ia dikenali dengan nama-nama seperti Moksha Patam, Paramapatam, Vaikunthapali, Mokshapat dan Parama Sopana Patam. Nama yang lazim dalam kalangan kaum India di Malaysia ialah “Paramapatam”.
Sebagaimana digambarkan oleh nama “Moksha Patam”, permainan ini asalnya ada kaitan dengan unsur Hindu, iaitu konsep karma (diwakili ular) dan moksha (diwakili tangga). Malah, secara tradisional, penganut Hindu gemar bermain permainan ini semasa Vaikuntha Ekadesi (Disember/Januari).
Kenalilah pelbagai unsur budaya — termasuk pakaian, permainan, makanan dan adat-istiadat — dan berbanggalah dengan identiti dan jadi diri yang unik dan membanggakan. Raikan kepelbagaian, pupuk perpaduan.