3 Oct 2018

Thali, Rantai Perkahwinan Wanita India

Upacara penting dalam perkahwinan kaum India adalah apabila pengantin lelaki mengikat Thali (juga taali, mangala sutra atau mangalyam) pada leher pengantin perempuan dan ini menandakan kedua-dua mereka telah berkahwin secara sah. Ini melayakkan mereka untuk digelar sebagai suami-isteri.

Thali sebenarnya adalah benang yang disalut dengan kunyit dan dijadikan seperti rantai. Ramai yang beranggapan Thali adalah loket yang dipakai bersama rantai, tetapi sebenarnya tidak.

Secara tradisi, Thali hanyalah benang yang disalut dengan kunyit dan itulah yang sepatutnya dipakai oleh wanita India yang telah bersuami. Namun, ramai wanita India pada masa ini menggunakan rantai emas untuk menggantikan Thali.

Loket yang dipakai pada Thali berbeza mengikut keturunan Tamil, Malayali, dan Telugu. Malah ia juga berbeza mengikut agama. Mereka yang beragama Hindu menggunakan Thali yang berbeza dengan mereka yang beragama Kristian. Masyarakat India Muslim juga menggunakan Thali.
           
Ada juga Thali yang diukir mengikut generasi secara turun-temurun. Biasanya, anak lelaki akan meminta tukang emas untuk menyediakan Thali yang serupa seperti yang digunakan oleh ibunya untuk bakal isterinya.

Thali akan ditempah beberapa hari sebelum majlis perkahwinan. Hanya wanita yang telah berkahwin akan ke kedai emas untuk mengambil Thali dan membawanya pulang ke rumah pengantin lelaki. Thali tersebut akan diberkati sebelum dibawa ke tempat atau dewan perkahwinan.

Tiga hari selepas majlis perkahwinan, benang Thali lazimnya akan ditukar kepada rantai emas. Rantai inilah yang kekal dipakai oleh kaum wanita India sebagai tanda sudah bersuami.


[Esei pendek ini ditulis oleh Anuradha Chelliah sebagai salah satu usaha kecil-kecilan membantu Bangsa Malaysia mengenali budaya India/Hindu, serta “menyelamatkan” budaya India/Hindu daripada dicuri pihak lain. © Anuradha Chelliah 2018.]