Masyarakat India pada
umumnya percaya bahawa kelahiran, kehidupan dan kematian adalah umpama
lingkaran yang berterusan. Istilah Sanskrit yang digunakan untuk menerangkan
konsep ini adalah “samsara”.
Jiwa atau “atma” akan melalui proses
“samsara” dalam usaha mencapai “moksha” atau “nirvana” iaitu keadaan bebas
daripada sebarang ikatan duniawi dan kembali menemui Pencipta.
Orang India juga pada umumnya percaya
bahawa individu yang hidup sebagai manusia pada kelahiran ini tidak semestinya
telah hidup sebagai manusia pada kelahiran lalu. Begitu juga, tidak semestinya
dia hidup sebagai manusia pada kelahiran seterusnya.
Sebaliknya, kehidupan ditentukan oleh
“karma” iaitu kepercayaan bahawa kebaikan dibalas dengan kebaikan dan kejahatan
dibalas dengan kejahatan. Konsep ini boleh juga difahami sebagai “law of
cause and effect” di mana setiap tindakan membawa tindak balas setimpal.
Orang ramai perlu tahu bahawa pandang dunia
(world view) tamadun India yang
berusia ribuan tahun adalah amat berbeza dengan tamadun-tamadun lain yang
muncul kemudian.
Perlu juga dijelaskan bahawa konsep “karma”
bukan berkaitan dengan agama Hindu semata-mata. Malah, “karma” juga
dipraktikkan oleh penganut agama Buddha dan Jain; serta mula mendapat perhatian
masyarakat dunia tanpa mengira agama.
Sebenarnya, konsep “karma” lebih merupakan
kepercayaan dan kebudayaan masyarakat India ; bukan ajaran agama Hindu
semata-mata. Perkara ini pernah saya sentuh dalam suatu tulisan di majalah Dewan
Agama dan Falsafah pada Ogos 2004. - Baca makalah penuh di Mandala Bicara.
(© Uthaya Sankar SB. Makalah ini disiarkan
di The Malaysian Insider pada 7 Mei 2012. Sila
rujuk juga makalah bertajuk “Dharma sebagai Norma Masyarakat” dan “Dharma sebagai Kod Etika” untuk pemahaman lanjut berhubung topik ini.)