Ada sebuah peribahasa Tamil yang
mengingatkan bahawa apa-apa yang didengar mungkin palsu dan apa-apa yang
dilihat juga palsu; lalu tindakan terbaik adalah menyelidik sendiri sesuatu
perkara.
Sambil berpegang pada peribahasa itulah
juga saya memutuskan untuk tidak mempercayai bulat-bulat kempen besar-besaran
pihak tertentu yang berusaha keras memberi gambaran paling negatif mengenai
keadaan di Kelantan.
Akhirnya, apabila berada di Kota Bharu pada
11-14 Mac 2012, saya berpeluang mendapatkan sendiri jawapan berhubung pelbagai
perkara berkaitan Negeri Serambi Mekah yang mengamalkan corak pentadbiran
“Membangun Bersama Islam”.
Kebanyakan maklumat yang sahih dan tepat
ini saya peroleh menerusi perbualan santai bersama-sama pelbagai pihak yang
sempat saya temui di sana. Misalnya rakan-rakan penulis yang sama ada berasal
dari Kelantan atau kini tinggal di negeri itu.
Tidak ketinggalan juga hasil perbualan
bersama-sama sekian ramai golongan orang kelainan upaya (OKU) yang menghadiri Persidangan OKU Darul Naim Peringkat Kebangsaan
di Hotel Raudah.
Saya juga berkesempatan bergaul bersama
penduduk setempat yang cukup mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah
dan pengalaman. Selebihnya, juga menerusi pemerhatian – bukan sekadar melihat,
tetapi meneliti apa-apa yang berlaku di depan mata.
Selain daripada itu, pelbagai bahan bacaan
yang diperoleh dari pejabat Urus Setia
Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan juga amat membantu usaha mengumpulkan
fakta sebenar yang malangnya kurang diketahui orang ramai; khususnya generasi
muda.
Misalnya, buku 100 Fakta Kelantan Menerajui Perubahan (2011) menyebut bahawa
“sebahagian besar progarm yang dilaksanakan di Kelantan telah diciplak oleh
Kerajaan Pusat dengan menampal label lain dan mengaku kononnya merekalah yang
memulakan program tersebut”.
Saya tidak mahu menyokong mana-mana pihak
dalam “pertikaian” ini, sebaliknya sekadar mahu meneliti sebahagian daripada
perkara-perkara yang menarik perhatian saya mengenai kehebatan di Kelantan
sejak 1990.
Abdul
Mutalib Awang, pemuda berusia 23 tahun yang menjadi
“pemandu pelancong” saya antara lain menceritakan mengenai Skim Az Ziwaaj iaitu
bantuan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumahtangga tetapi kurang mampu.
Skim berkenaan yang diperkenalkan pada 2011
memperuntukkan bantuan RM1,000 bagi individu berpendapatan kurang daripada
RM700 sebulan.
Bagi keluarga miskin tegar, bantuan makanan
asas berupa beras (10 kilogram sebulan) diberikan sejak Februari 2011 di bawah
Skim Al It’aam.
Menurut sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri, sehingga September 2011, sekitar 8,100 penduduk miskin dari seluruh
Kelantan menerima bantuan itu.
Kakitangan kerajaan persekutuan sudah biasa
dengan jadual kerja lima hari seminggu. Rupa-rupanya, sistem ini mula-mula
diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan memberi cuti pada Jumaat dan
Sabtu.
Begitu juga dengan cuti bersalin 60 hari
yang dinikmati kakitangan wanita. Dahulu, cuti hanya 42 hari. Kakitangan
kerajaan negeri menjadikannya 60 hari supaya si ibu boleh meluangkan lebih
banyak masa bersama bayi, serta untuk berehat.
Di Kelantan, apabila seorang wanita
bersalin, si suami diberi cuti kebajikan seminggu supaya dia dapat membantu
menguruskan dan menyediakan keperluan isteri.
“Hospital Bersalin An-Nisa dikendalikan
doktor dan kakitangan wanita serta mengikut kaedah Islam. Selain memberi
keselesaan kepada bakal ibu, hospital seperti ini juga menjamin ketenangan
fikiran kepada semua pihak,” kata Nur
Hidayah yang menjadi penyelaras program sepanjang saya berada di Kota
Bharu.
Saya juga diberitahu oleh seorang pak cik
yang bekerja di sebuah rumah kebajikan anak-anak yatim mengenai Skim Kifalah
Warga Emas yang diberikan tanpa batas kaum, agama dan fahaman politik.
Di bawah skim berkenaan yang diperkenalkan
pada 2007, apabila warga emas (lebih 60 tahun) yang mendaftar meninggal dunia,
sumbangan RM500 diberi untuk menguruskan jenazah. Baki RM1,000 pula akan diberi
kemudian kepada warisnya.
Selain daripada itu, Tabung Serambi Mekah
yang ditubuhkan pada 1991 bertujuan membantu golongan tua, daif, miskin dan
uzur membaiki rumah. Tabung itu juga digunakan untuk pelaksanaan kerja-kerja
bantuan berikutan kemusnahan akibat bencana alam dan kebakaran.
Bagi penduduk miskin tegar yang tidak mampu
memiliki rumah, disediakan pula Rumah Dhuafat sejak 2007. Skim berkenaan juga
boleh dimanfaatkan oleh keluarga yang menghadapi masalah berikutan rumah asal
terbakar, rumah terlalu uzur, pendapatan tidak tetap atau mempunyai ramai
anak/tanggungan.
Tabung Amanah Tok Kenali yang ditubuhkan
pada 1992 adalah untuk membantu penduduk Kelantan yang cemerlang dalam
pelajaran dan mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Kerja-kerja meningkatkan taraf pendidikan sekolah agama rakyat dan pusat
pengajian pondok juga tidak dilupakan.
Kota Bharu diisytiharkan sebagai “Bandar
Raya Islam” pada Oktober 2005. Pasti sahaja pelbagai pihak cuba memberi
gambaran negatif terhadap perkara yang baik itu kerana mahu meraih “keuntungan
politik”. Tidak perlulah dihuraikan lebih lanjut di sini.
Bagaimanapun, daripada apa yang saya
perhatikan sendiri, pengisytiharan itu sebenarnya membuktikan komitmen kerajaan
negeri di bawah pimpinan golongan ulama untuk melaksanakan secara lebih
menyeluruh aspek-aspek pembangunan yang selaras dengan ajaran Islam.
Saya tidak akan terkejut jika masih ada
pihak tertentu yang mahu memanipulasi usaha murni itu dengan cuba menyebarkan
fitnah bahawa masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam akan tertindas.
Penyebaran dakyah seperti itu membuktikan
bahawa golongan tertentu tidak memahami ajaran sebenar Islam. Malah, kedudukan
Kota Bharu sebagai “Bandar Raya Islam” sejak 2005 menjadi bukti nyata bahawa
tidak ada sebarang penindasan ke atas sesiapa.
Saya rasa bertuah kerana berpeluang
mengalami sendiri suasana sebenar di Kelantan – khasnya di Kota Bharu – dan
dapat pula berkongsi maklumat itu bersama orang ramai.
Seperti kata Mahatma Gandhi, jadilah perubahan yang
mahu anda saksikan di dunia ini kerana tidak akan tercapai kebaikan sekiranya
tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 4 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 April
2012. Sila baca juga: Ada Apa dengan Kelantan?)