[Ketokohan Nik Abdul Aziz turut menjadi formula
kejayaan di Negeri Serambi Mekah.]
Reaksi yang saya terima
berikutan penyiaran beberapa makalah berdasarkan pengalaman saya di Kota Bharu,
Kelantan sejak tiga minggu lalu adalah amat memberangsangkan.
Cuma, seorang individu
bernama ‘Zana Zanzaly’ (mungkin nama samaran) yang ternyata terlalu obses dengan
kontroversi novel Interlok Edisi Murid, lalu tampil memberikan komen bahawa catatan
pengalaman itu “jauh lebih empok dan sangat elok daripada terkinja-kinja
menyucuh karak Interlok.”
Individu itu – atau
pasangannya yang mungkin juga warga India, Bangladesh atau Pakistan – turut berkata
“Bohot acha hey mere dhost” yang
entah apa makna dalam bahasa ibundanya.
Sementara itu, graduan
Universiti Malaya, Mohd Sallehuddin
dari Johor melihat sisi positif pada pelbagai perkara mengenai Kelantan yang
disajikan menerusi tulisan-tulisan saya.
“Saya lahir di Johor,
namun pernah tinggal di Kota Bharu. Saya mengakui kebenaran perkara-perkara
yang dinyatakan dalam tulisan (makalah) itu,” katanya menerusi komen di Facebook.
Walaupun ramai belia
Kelantan yang belajar di luar, hal ini tidak bermakna negeri itu “miskin”
dengan pusat pengajian tinggi. Pelbagai kolej dan universiti membuka cawangan
di sana. Semuanya nampak jelas di depan mata jika kita pergi untuk melihat sendiri
realiti di negeri berkenaan.
Kolej Islam
Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) berjaya merealisasikan impian
menjadikan Kelantan sebagai “pusat penyebaran, perkembangan dan pembudayaan
ilmu dan syiar Islam yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa”.
Terdapat juga Maahad
Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat di Pulau Chondong yang mengkhusus dalam bidang
pengajian al-Quran Wal-Qiraat, Bahasa Arab dan akademik. Maahad Tahfiz Saind
pula berjaya melahirkan para hafiz yang pakar dalam bidang sains dan teknologi.
Tidak ketinggalan
penubuhan Kolej Pondok Darul Naim di Pasir Tumbuh bagi lepasan sekolah pondok
yang mahu melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Bagi remaja yang
meminati bidang pengajian teknologi, khususnya animasi, terdapat Darul Digital
di KB Bazar. Namun, pasti sahaja segala maklumat kemajuan pendidikan ini kurang
diketahui penduduk di negeri-negeri lain.
Apabila memperkatakan
segala kejayaan dalam segala bidang di Kelantan, tidak dapat tidak, ketokohan
dan kepimpinan Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) sebagai Menteri Besar tidak dapat dinafikan.
Beliau ternyata
“menyumbang” kepada rakyat; bukan sebaliknya. Antara yang paling nyata, Tok
Guru masih tinggal di rumah sendiri di Kampung Pulau Melaka sejak menjadi
Menteri Besar pada Oktober 1990. Elaun perumahan sebanyak RM3,000 yang
diperuntukkan untuknya dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi
projek kebajikan rakyat.
(Awas! Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang semakin hampir, pasti akan muncul
politikus – “Badut Paul Lathic” – yang tiba-tiba membuat gimik mahu “mendermakan”
peruntukan, elaun, dana itu dan dana ini kepada rakyat. Namun, rakyat pasti
hanya tertawa dan bertepuk melihat aksi lucu badut-badut berkenaan.)
Berbalik pada sikap Tok
Guru, tentu tidak ramai yang tahu bahawa 45 peratus daripada gaji bulanan
beliau sebagai MB dipotong atas permintaan beliau sendiri; 40 peratus digunakan
bagi parti dan 5 peratus untuk kerajaan negeri.
Cuba bayangkan jika
ketua kerajaan di negeri-negeri lain sanggup berbuat demikian. Barulah benar
omongan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.
Namun, tentulah terlalu
drastik untuk mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri atau Yang Dipertua Negeri membuat
pengumuman sedemikian pada masa sekarang. Akan tetapi, tidak salah untuk rakyat
mengharapkan ia menjadi janji mana-mana pihak yang memegang tampuk kuasa
kerajaan negeri di negeri-negeri lain selepas PRU-13.
Berapa kerapkah anda
berpeluang bertemu MB/KM di negeri anda? Di Kelantan, nampaknya Tok Guru
meluangkan masa sekitar sejam pada setiap Jumaat – selepas solat subuh – untuk
bertemu orang ramai yang datang ke masjid di sebelah rumahnya.
Ramai ibu bapa yang
datang dari jauh dan dekat untuk meminta Tok Guru melakukan upacara mencukur
rambut dan membelah mulut bayi mereka. Suasana pasti seperti apa yang berlaku
apabila Mahatma Gandhi dikerumuni orang ramai di India suatu masa dahulu!
“Saya beragama Hindu
tetapi saya tetap mengatakan bahawa Tok Guru adalah contoh terbaik pemimpin
yang benar-benar prihatin terhadap rakyat. Memang sukar mendapat seorang
pemimpin sejati seperti beliau.
“Saya menyokong sesiapa
sahaja yang layak, amanah dan ikhlas dalam berkhidmat kepada rakyat tanpa
mengira kaum, agama dan fahaman politik; kerana kita semua adalah rakyat
Malaysia,” kata Katie Roa yang kini
berada di London tetapi setia mengikuti perkembangan di Malaysia.
Tidak hairanlah Nawawee Mohammad sebagai seorang rakyat
yang mempunyai hak mengundi pula membandingkan sikap Tok Guru dengan MB di negeri-negeri
lain.
“Saya berasa amat
bertuah dapat bertemu dan bersalam dengan Tok Guru kerana dalam hidup saya,
hanya MB Kelantan yang pernah saya salam; manakala MB lain di negara ini, nak
tengok muka mereka pun susah,” kata Nawawee yang suka membaca dan menulis
sajak.
Seorang lagi individu
yang memberi komen secara ikhlas ialah Subramaniam
Govindaraju. Katanya, Tok Guru seorang individu dan pemimpin yang hebat
serta wajar dicontohi oleh semua pemimpin lain di negara ini tanpa mengira
perbezaan fahaman politik.
Aliran tunai paling
besar juga dicatatkan di Kelantan dan hal ini adalah kerana penduduk
membeli-belah menggunakan wang tunai; bukan kad kredit seperti di kebanyakan
tempat lain.
Pasti ada pihak yang
mengatakan penduduk Kelantan “miskin” kerana tidak memiliki rumah besar, kereta
besar, barang kemas dan alat solek. Akan tetapi, kalaulah perkara itu benar,
mengapa begitu banyak pasar raya dan perniagaan besar membuka cawangan di
negeri berkenaan?
“Penduduk Kelantan
mewah. Cuma tidak pandai bergaya seperti kebanyakan orang di pantai barat,”
kata Izan Ali, seorang novelis yang
turut kagum dengan begitu banyak pusat beli-belah dan perniagaan yang dimiliki
orang Melayu di Kelantan.
Saya sendiri perhatikan
bagaimana orang Kelantan suka berniaga dan mengusahakan perniagaan – kecil mahu
pun besar. Sebutlah apa sahaja perniagaan yang halal dan beretika, saya percaya
orang Kelantan – Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli – sudah dan mampu
mengusahakannya.
Ravi Chandran, seorang
doktor dari Kuala Lumpur turut mengirim reaksi dan menceritakan bahawa dia
sudah dua tahun tinggal di Kelantan.
“Tempat ini sudah menjadi rumah kedua saya sekarang. Tidak ada apa-apa
masalah seperti yang digembar-gemburkan pihak tertentu,” katanya yang kini
menetap di Kampung Chicha, Kubang Kerian.
Demikianlah hebatnya realiti
dan penduduk sebuah negeri yang selama ini dimomokkan sebagai “miskin” dan
“mundur” oleh pihak tertentu yang terbukti hanya meludah ke langit.
Kalau ada sesiapa yang
masih tidak percaya, silalah pergi untuk melihat, menikmati dan mengalami
sendiri suasana sebenar di sana.
“Pakat maghi rame-rame jenguk Kelate,” kata Abdul
Mutalib Awang, pemuda yang menjadi pemandu pelancong sepanjang saya di sana
pada 11-14 Mac 2012.
Memang sesuai! Tambahan
pula, tahun ini adalah Tahun Melawat Kelantan.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 10 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 April 2012.
Baca juga: 1Kelantan atasi 1Malaysia? )