Demikian pertanyaan nakal yang timbul walaupun
saya hanya berada di Kota Bharu, Kelantan pada 11-14 Mac 2012 untuk meninjau
serta melihat sendiri keadan sebenar di sana. Secara kebetulan, tahun ini
adalah Tahun Melawat Kelantan.
Saya berpeluang bertemu beberapa individu –
penulis dan bukan penulis – yang sudi berkongsi pelbagai kisah dan maklumat
yang tentu sahaja sukar dan sedikit mustahil dapat diperoleh jika saya tidak
datang sendiri ke “bandar raya Islam” ini.
Malah, saya juga amat bertuah kerana
mendapat rezeki untuk bertemu dan mengadakan perbincangan tertutup bersama
Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) di
kediaman rasmi beliau.
Selain itu, saya bersama-sama Rohani
Deraman dari Johor Bahru, Zainab Ngah (Kuala Terengganu) serta Roshidayu Che
Mat dan suaminya (Shah Alam) turut dibawa oleh Nur Hidayah dan Abdul Mutalib
Awang ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk taklimat khas berhubung
pelbagai perkara yang membantu menjernihkan pemahaman mengenai negeri itu.
Pengarah Urus Setia Penerangan Kerajaan
Negeri, Haji Abdul Rahman Yunus dan
Penolong Pengarah (Penerbitan), Haji
Rosidi Semail (Rossem) meluangkan masa bersama-sama kami untuk menjawab
pelbagai pertanyaan yang timbul.
Segala penerangan dan penjelasan yang
diberikan itu amat penting dan bermanfaat, khususnya untuk saya, kerana saya
memang mahu menulis siri makalah hasil kunjungan ke Kota Bharu.
Salah satu topik yang menarik perhatian
saya adalah berkaitan keharmonian kaum dan agama di negeri itu yang diterajui
ulamak sejak 1990.
Selain daripada maklumat yang saya peroleh
hasil berbualan secara santai bersama-sama sekian ramai individu yang saya
temui selama empat hari di Kota Bahru, maklumat bercetak yang diberikan oleh
urus setia penerangan juga sangat membantu.
Abdul Rahman mengakui bahawa salah satu
aspek penting dalam kalangan masyarakat majmuk adalah kehidupan harmoni
walaupun wujud perbezaan kaum, agama, budaya dan tradisi.
“Orang Melayu yang merupakan kaum majoriti
di Kelantan sebenarnya hidup aman damai bersama-sama masyarakat Cina, India dan
Siam. Malah, kesemua mereka saling bantu-membantu ke arah memajukan negeri ini.
“Konsep ‘Membangun Bersama Islam’ yang
diamalkan oleh pemimpin negeri ini turut diterima dan disokong oleh penduduk
pelbagai kaum dan agama kerana apa yang dilaksanakan memang sesuai bagi semua,”
katanya.
Buku Kelantan
Ikon Keharmonian Kaum (2011) yang diberikan oleh Rosidi pula membantu
menghuraikan realiti keharmonian kaum dan agama di Kelantan sejak 1990.
Semasa saya meneliti buku itu, memang
terasa betapa realiti di Kelantan kurang ditonjolkan serta dipaparkan kepada
masyarakat umum di seluruh negara. Saya semakin yakin bahawa selain Sabah dan
Sarawak, keharmonian sebenar masyarakat majmuk memang hidup subur di Negeri
Serambi Mekah.
Walaupun kerajaan negeri tidak menggunakan
sebarang slogan seperti “1Kelantan” tetapi suasana harmoni, perpaduan dan
saling menghormati wujud secara amat nyata di sini. Bandingkan pula dengan
gagasan “1Malaysia” yang masih kabur dari segi
makna, pengisian dan pelaksanaan.
Saya perhatikan sendiri bagaimana kedai
makanan Cina di Kelantan dikunjungi kaum Melayu kerana yakin dan percaya bahawa
makanan yang disajikan adalah halal. Keadaan seperti ini sukar dilihat di Kuala
Lumpur (misalnya) kerana prasangka, was-was dan perasaan ragu-ragu amat
menebal.
Rupa-rupanya terdapat juga “China Town”
iaitu di Jalan Kebun Sultan. Deretan rumah-rumah kedai milik orang Cina
terdapat di sepanjang jalan berkenaan. Pada waktu malam, kawasan itu bertukar
menjadi tapak pasar malam yang diusahakan peniaga Cina.
Dari aspek kebebasan beragama, terdapat
tokong yang dibina oleh/untuk penduduk kaum Cina di Kelantan. Walaupun mereka
fasih bercakap loghat Kelantan dan berpakaian seperti orang Melayu, pegangan agama bawaan
nenek-moyang masih dikekalkan.
Terdapat Tokong Mek berusia lebih 200 tahun
di Kampung Cina. Dua lagi tokong di kawasan berkenaan ialah Tokong Na Eng Kong
dan Tokong Leng Eng Tian. Tokong Tau Mu Kong pula terdapat di Jalan Hamzah.
Bangunan Dewan Perniagaan Cina di Jalan
Kebun Sultan menampilkan konsep seni bina tradisional Cina. Pengubahsuaian seni
bina itu hanya berjaya dilakukan selepas Nik Abdul Aziz menjadi MB pada 1990.
“Tidak menjadi kesalahan jika kaum Cina
menggunakan rekabentuk dan senibina tradisional dalam budaya mereka. Lagi pun,
masjid-masjid di negara China sendiri dibina menggunakan konsep senibina Cina.
Maka tidak ada sebab kerajaan negeri mahu menghalang permohonan mereka,
walaupun pernah ditolak kerajaan terdahulu sebelum 1990,” kata Tok Guru.
Pada masa sama, agak menarik juga untuk
diperhatikan bahawa sebuah masjid di Rantau Panjang dibina menggunakan konsep
reka bentuk Cina. Malah, masjid itu dikenali sebagai Masjid Beijing. Khabarnya
arkitek dan pekerja mahir dibawa khas dari China dan Uzbekistan, manakala imam
didatangkan dari Yunan, China.
Mungkin hanya di Kelantan kita dapat
melihat masyarakat pelbagai kaum dan agama sama-sama terlibat dalam pelbagai
acara yang biasanya dikaitkan dengan kaum/agama tertentu. Dan tidak perlu
diraikan atau dipromosikan dengan slogan “1Kelantan” misalnya.
(Tentu sahaja kita tidak boleh mengambil
kira ‘penampilan istimewa’ tokoh politik tertentu di kuil atau tokong atau
masjid atau wat atau gereja, lalu mencium/dicium tangan si polan dan si polan
sambil meminta penganut agama berkenaan meletakkan keyakinan 100 peratus pada
kehebatan parti politik tertentu supaya kaum itu terus menjadi ‘pendatang’ di negara bertuah ini. ...)
Hasil perbualan bersama beberapa orang,
saya mendapat tahu bahawa pada setiap tahun, kaum Cina di Kelantan turut
terlibat secara langsung dalam membuat bubur asyura yang diberikan pula kepada
jiran-tetangga beragama Islam. Tidak timbul sebarang masalah atau prasangka.
Bagi penganut agama Buddha – khususnya
masyarakat Siam – terdapat 20 wat (“ketik”) di seluruh Kelantan. Komuniti itu
tertumpu khususnya di beberapa kampung di Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Pasir
Puteh dan Machang.
Dalam pada patung Dewa Muruhan di Batu Caves sering ditonjolkan
sebagai tarikan pelancong, kita jangan lupa bahawa patung “Sleeping Buddha”
terbesar di Asia Tenggara terdapat di Kampung Jambu, Tumpat.
Wat Machimmaran berusia lebih 500 tahun di
Kampung Jubakar, Tumpat pula menempatkan
patung “Sitting Buddha” terbesar di Asia Tenggara. Patung berketinggian 30
meter, 47 meter panjang dan keluasan dalaman 22.25 meter persegi itu siap
dibina pada 2001.
Satu lagi tarikan pelancong (selain tempat
beribadat) adalah patung “Standing Buddha” setinggi 36 meter di Wat
Buddhathaksin Ming Mogol, Kampung Balai, Bachok.
Haji
Zulkifli Mamat, ADUN Pulai Chondong yang saya temui
di kediaman rasmi MB Kelantan pada 13 Mac lalu menghuraikan bahawa
patung-patung berkenaan menjadi ikon yang dikenali di seluruh dunia dan menjadi
tarikan pelancong.
“Akan tetapi, bukti kebebasan beragama
serta bukti perpaduan sejati antara penduduk pelbagai kaum dan agama kelihatan
di mana-mana tempat di seluruh Kelantan. Sikap bertolak ansur dan saling
menghormati sedia wujud dan menjadi budaya masyarakat di negeri ini,” katanya
yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan
Perpaduan Masyarakat.
Dalam pada itu, kaum India yang merupakan
masyarakat minoriti di Kelantan lebih tertumpu di kawasan perladangan di Kuala
Krai, Machang, Tanah Merah, Tumpat, Gua Musang dan Kota Bharu.
Kebebasan beragama bagi penduduk beragama
Hindu juga tidak diabaikan. Hal ini nyata menerusi beberapa kuil yang terdapat
di tempat-tempat tumpuan masyarakat India/Hindu.
Antara kuil utama adalah Kuil Kerila Karu
Mariammah di Ladang Kerila, Tanah Merah; Kuil Muthu Mariamman di Tumpat; dan Kuil
Siva Subramaniyar di Jalan Hamzah, Kota Bharu.
Saya pernah menghadiri beberapa sesi dialog
antara agama di Kuala Lumpur. Malangnya, ada wakil agama tertentu yang sentiasa
tidak hadir dengan alasan bahawa agamanya tidak membenarkan dialog seumpama itu.
Agak menarik bahawa perjumpaan ketua-ketua
agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh berlangsung di Kota Bharu pada
Januari 2010. Namun tentulah tidak dilaporkan secara meluas ke seluruh negara.
Pertemuan dan majlis makan tengah hari itu
berjaya diadakan berikutan inisiatif Tok Guru yang memahami secara mendalam
ajaran Islam yang sebenar.
“Islam mengajar bahawa hubungan sesama
manusia atas apa ikatan sekalipun mesti mengutamakan perdamaian, persefahaman,
berbaik sangka dan perbincangan, demi mewujudkan persetujuan sesama kita ke
arah mencapai budaya hidup yang harmoni di kalangan sesama manusia,” katanya
semasa merasmikan majlis itu.
Maka, bukanlah suatu hakikat yang
menghairankan apabila saya diberitahu bahawa penduduk Bukan Islam turut tampil
membantu usaha-usaha ‘Membangun Bersama Islam’ yang diterajui Kerajaan Negeri
Kelantan.
Tiada sebarang sogokan wang, motif politik
atau pulangan material. Sebaliknya, keikhlasan menjadi tunjang segala kehebatan
yang saya perhatikan sendiri di Kelantan.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 2 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 April
2012. Baca juga: Indah Rupa dari Khabar)