[Catatan awal mengenai kunjungan ke Kota Bharu,
Kelantan yang dikatakan “mundur” dan “miskin”.]
Sebenarnya, sejak setahun lalu, selepas
menjadi penulis sepenuh masa, saya begitu ingin ke Kota Bharu, Kelantan untuk
menikmati suasana di sana. Kali terakhir – juga pertama kali – saya ke sana
pada 1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang.
Baru-baru ini, pihak tertentu sibuk
mengeluarkan kenyataan betapa miskin dan mundur negeri Kelantan. Pasti sahaja segala
kenyataan itu bertujuan politik; apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.
Maka, pada akhir Februari 2012, saya
mengambil keputusan untuk ke Kelantan – khususnya Kota Bharu – untuk melihat
sendiri segala “kemunduran” dan “kemiskinan” yang diperkatakan pihak berkenaan.
Bagi saya, daripada bergantung serta
percaya bulat-bulat pada apa yang dikatakan orang, lebih baik saya pergi
sendiri untuk melihat, mengalami serta merasai sendiri suasana sebenar di sana.
Sebaik sahaja saya menyatakan keinginan
untuk ke Kota Bharu menerusi ruangan status di Facebook, reaksi positif yang diterima
amat memberangsangkan.
Begitu ramai rakan-rakan di ruang siber –
kebanyakannya belum pernah saya temui secara bersemuka – tampil “mempersilakan”
saya melakukan kunjungan yang dirancang.
Mereka yang bukan anak Kelantan juga
menyokong cadangan saya untuk ke Kota Bharu; khususnya apabila saya sudah
menyatakan sejak awal bahawa saya mahu menulis siri artikel berdasarkan
pengalaman saya ke tempat berkenaan.
Harus saya akui bahawa sebelum saya membeli
tiket bas ekspres untuk ke Kota Bharu, saya sudah pun dapat merasai kemesraan,
kesantunan serta segala nilai positif yang terdapat dalam kalangan penduduk di
negeri Kelantan.
Begitu ramai rakan-rakan di Facebook yang mencadangkan tempat-tempat
yang perlu dilawati dan makanan yang perlu dicuba. Begitu juga beberapa frasa
penting dalam loghat tempatan yang wajar saya ketahui untuk memudahkan
komunikasi.
Maka, saya tidak was-was untuk pergi ke
Kota Bharu walaupun saya tidak ada kenalan atau saudara-mara di sana. Saya
pergi sebagai “orang luar” untuk mendapatkan pengalaman baru secara objektif.
Saya tidak pernah menyangka bahawa segala
urusan akan menjadi begitu mudah. Amy
Suzani Mohd Ainuddin, salah seorang mangsa royalti teks Komsas, menawarkan
untuk mengatur tempat penginapan dan perjalanan sepanjang saya di Kota Bharu.
Begitu juga, Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan
(Yaatim) tampil menyatakan kesediaan untuk mengatur program yang sesuai
sepanjang saya berada di sana.
Seorang lagi mangsa royalti teks Komsas, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir
Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru turut melahirkan keinginan
untuk ke Kota Bharu.
Maka, akhirnya, kami semua bertemu di Kota
Bharu pada 11 Mac 2012 untuk sama-sama merasai suasana yang dilabelkan sebagai
“mundur” dan “miskin” oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.
Pada masa sama, Nik Faridah Mamat yang menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 26 Februari lalu mencadangkan supaya
saya tidak melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tentu sahaja saya mahu bertemu Tok Guru!
Saya pernah dibawa mengunjungi beliau pada 1995 dan saya dapat melihat serta
merasai sendiri sifat-sifat mulia yang dimiliki pemimpin itu.
Hasil maklumat yang diberikan Nik Faridah,
saya berjaya menghubungi Wan Nik Wan
Yussof, setiausaha politik kepada Menteri Besar Kelantan. Dipendekkan
cerita, beliau bersedia mengatur pertemuan seperti yang dihajati.
Sekitar seminggu sebelum saya bertolak ke
Kota Bharu, Tasya iaitu anak Amy Suzani dimasukkan ke hospital kerana masalah
kesihatan. Nur Hidayah mengambil alih “tugas” untuk mengatur aktiviti sepanjang
saya dan rakan-rakan penulis berada di Kota Bharu.
Nur Hidayah juga mendapatkan bantuan adik
angkatnya, Abdul Mutalib Awang untuk
menjadi pemandu kereta dan pemandu pelancong selama empat hari saya di sana.
Pemuda berumur 23 tahun itu sanggup mengambil cuti bagi memastikan tetamu
mendapat layanan yang sempurna.
Turut sama dalam “rombongan” ini ialah Zainab Ngah, seorang penulis dari Perak
yang kini menetap di Terengganu. Walaupun kesihatannya agak terjejas, beliau
tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama saya dan Rohani untuk meninjau
sendiri segala “kemiskinan” dan “kemunduran” yang diperkatakan pihak tertentu.
Cikgu Roshidayu
Che Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Shah
Alam turut datang bersama suami dan anaknya untuk sama-sama meninjau keadaan di
Kota Bharu.
Saya turut berpeluang bertemu Wan Asyeah Wan Nawang, seorang penulis
yang sebelum ini saya kenali berikutan komen negatif yang beliau berikan
terhadap saya berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid dan Kamus Dewan.
Beliau segera meminta maaf dan mengakui
bahawa komen negatif yang beliau berikan di Facebook
pada tahun lalu adalah terlalu emosional dan “terikut-ikut cakap orang”. Bagi saya,
tidak menjadi masalah kerana saya bersedia menerima apa sahaja komen yang mahu
dikemukakan.
Agak menarik bahawa hubungan kami berdua
menjadi rapat dan mesra. Pasti orang tidak akan percaya bahawa Wan Asyeah
pernah menulis komen negatif mengenai saya sebelum ini!
Ada suatu perkara yang meninggalkan kesan
dalam hati saya. Dalam perjalanan ke rumah Wan Asyeah, beliau singgah untuk
membeli murtabak. Beliau membeli murtabak daging (lembu) untuk dihidangkan
kepada rakan-rakan penulis yang datang.
Saya sangat tersentuh – secara positif –
kerana beliau membeli sekeping murtabak ayam khusus untuk saya kerana beliau
tahu dan sedar bahawa saya tidak makan daging lembu.
Insiden kecil ini amat bermakna kerana
walaupun majoriti penduduk di Kelantan adalah orang Melayu beragama Islam,
mereka amat sensitif terhadap budaya kaum/agama lain.
Semua yang saya paparkan ini berlaku dalam
masa tidak sampai 24 jam saya berada di Kota Bharu. Orang ramai yang saya temui
di tempat awam pula murah dengan senyuman.
Menceritakan pengalaman di Kota Bharu,
Roshidayu berkata, pertemuan itu amat istimewa dan sukar dilupakan.
“Istimewa kerana berpeluang bertemu
beberapa penulis yang sebelum ini hanya saya kenali melalui karya atau
bersembang menerusi Facebook. Saya juga gembira kerana dapat sama-sama
memberikan maklumat sebenar mengenai Kelantan kepada golongan penulis,”
katanya.
Zainab Ngah pula melahirkan kekaguman
melihat segala kemajuan – fizikal, sosial dan rohani – di Kota Bharu berbanding
di Terengganu.
“Kalau nak suruh bandingkan antara
Terengganu dan Kelantan, saya lebih kagum dengan Kelantan, baik dari segi pusat
membeli-belah, rangkaian jalan raya dan bangunan tinggi. Terengganu Cuma
berbangga dengan Taman Tamadun Islam yang tersergam indah Masjid Kristal yang
tidak diiktiraf untuk solat Jumaat, serta replika masjid-masjid seluruh dunia.
Kalau Kelantan dikatakan mundur, ternyata Terengganu pula lebih mundur,”
katanya.
Bagi Rohani Deraman, beliau pernah tinggal
di Kota Bharu pada tahun 1980-an. Melihat akan segala pembangunan di sini
sekarang, beliau melahirkan rasa kagum dan bangga.
“Kota Bharu membangun sejajar bandar-bandar
lain; termasuk di Lembah Klang. Rasa-rasanya tidak ada beza dengan segala
kemudahan yang ada di Johor Bahru. Cuma, apa yang tiada di sini adalah
pusat-pusat hiburan, panggung wayang dan kedai nombor ekor. Mungkin itulah
‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang dimaksudkan pihak tertentu apabila melabel
Kelantan sebagai negeri yang mundur,” kata penulis sepenuh masa itu.
Saya akan menulis lagi mengenai pengalaman
saya di Kota Bharu; khususnya mengenai “kemunduran” dan “kemiskinan” yang
dihebohkan pihak tertentu.
Sama-samalah kita buat
kesimpulan sama ada keadaan di Kota Bharu, Kelantan “indah khabar dari rupa”
atau “indah rupa dari khabar”.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 30 Mac 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 April 2012. Bacaan lanjut: Meraikan Kepelbagaian di Kota Bharu)