Kunjungan saya ke Kota Bharu, Kelantan pada
11-14 Mac 2012 memberi peluang untuk mendapatkan maklumat, gambaran dan fakta
sebenar berhubung pelbagai perkara.
Hal ini amat penting kerana orang ramai
selalu disuapkan dengan maklumat yang tidak benar dan berniat jahat mengenai
apa-apa perkara yang berlaku di Kelantan.
Atas dasar itulah juga sebenarnya saya ke
sana; iaitu untuk melihat sendiri keadaan di Kota Bharu dan menulis beberapa
artikel berdasarkan apa yang saya lihat, baca, dengar dan alami sendiri.
Sebaik bas ekspres yang saya naiki masuk ke
sempadan Kelantan menerusi Gua Musang, saya asyik memandang keluar tingkap bas
untuk melihat apakah benar negeri itu “mundur” dan “miskin” sebagaimana
dilaung-laungkan pihak tertentu.
Anehnya, sepanjang perjalanan dari Gua
Musang ke Kota Bharu, kehijauan, kemajuan, pembangunan serta persekitaran yang
saya perhatikan sama sahaja seperti yang biasa saya lihat di Ipoh, Taiping,
Shah Alam, Klang, Seremban, Johor Bahru dan mana-mana tempat lain.
Gambaran yang selalu dimomokkan adalah
bahawa Kelantan bukan sebuah negeri yang sesuai bagi penduduk pelbagai kaum,
adat, budaya dan agama. Kononnya pentadbiran berteraskan Islam yang menjadi
amalan Kerajaan Negeri “menindas” penduduk kaum dan agama lain.
Saya pernah ke Kota Bharu pada 1995 dan
kini kali kedua saya ke sana. Saya pernah bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1995
bersama-sama sekumpulan penulis dan kini kali kedua saya berpeluang bertemu tokoh
itu.
Ada pelbagai perkara menarik yang saya
perhatikan dan alami di Kota Bharu. Misalnya, saya tidak sendirian dalam
perjalanan mengelilingi bandar ini. Rohani
Deraman dari Johor Bahru, Zainab
Ngah dari Terengganu, Roshidayu Che
Mat dan suaminya dari Shah Alam, serta Nur
Hidayah dan Abdul Mutalib Awang
dari Kota Bharu sentiasa bersama-sama saya dalam mengunjungi pelbagai tempat.
Begitu juga, apabila sekumpulan penulis di
Kelantan mendapat tahu – menerusi Facebook – mengenai kedatangan kami,
mereka turut mengatur pertemuan-pertemuan kecil untuk berkongsi pengalaman dan
cerita.
Saya akan menceritakan secara lebih khusus
mengenai pelbagai perkara di Kelantan dalam artikel akan datang. Bahagian
pertama ini pula semacam pengenalan umum berdasarkan pengalaman saya di Kota
Bharu selama empat hari.
Kalau ada sesiapa mengatakan bahawa
penduduk Bukan Melayu dan Bukan Islam di Kelantan tidak diberi layanan baik,
kata-kata itu adalah dusta. Hasil pengalaman saya di sini – serta pertemuan
dengan orang ramai – kepelbagaian kaum, adat, budaya dan agama sebenarnya
“diraikan” di Kelantan.
Selepas Sarawak dan Sabah, konsep sebenar
perpaduan, persefahaman dan hormat-menghormati antara kaum/agama jelas
kelihatan di Kelantan. Hakikat ini pasti sahaja jauh berbeza dengan gambaran
buruk yang selalu diberikan pihak tertentu mengenai suasana di Kelantan.
Nasihat saya amat mudah: jangan percaya
kata orang, sebaliknya pergi sendiri ke Kelantan untuk mengetahui perkara
sebenar. Malah, itulah juga nasihat yang diberikan rakan-rakan di Facebook apabila saya melahirkan
keinginan untuk mengunjungi Kota Bharu pada akhir Februari lalu.
Walaupun saya pergi tanpa sebarang
perancangan dan jadual aktiviti, ternyata jadual saya menjadi amat padat sebaik
tiba di Kota Bharu. Pertemuan bersama golongan penulis yang dikenali serta baru
dikenali, peluang berbual bersama pihak berkuasa tempatan dan ahli politik,
perkongsian maklumat bersama pegawai kerajaan negeri, berkongsi cerita bersama
pemandu pelancong ...
Agak menarik juga bahawa beberapa penulis
di Kelantan secara khusus meminta saya menjelaskan isu sebenar berhubung
kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Saya sangka isu
itu selesai berikutan keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia menggantikan
novel itu dengan novel Konserto Terakhir.
Namun, siapa sangka bahawa ada pihak yang
cuba memutar-belit kisah sebenar dengan memberi gambaran bahawa saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
mahu novel Interlok (edisi asal)
diharamkan.
Pada masa sama, saya tidak terkejut kerana
memang ada puak tertentu yang sedang bergerak secara “underground” di Lembah Klang dengan menyebarkan fitnah bahawa saya
dan Kavyan adalah golongan “pelampau” dan “anti-Melayu” serta kami dan karya kami
perlu dipulaukan.
Maka, kunjungan saya ke Kota Bharu juga
membuka ruang dan peluang secara tidak dirancang untuk memberikan maklumat
tepat mengenai keseluruhan isu berkaitan novel Interlok Edisi Murid serta fitnah yang
disebarkan puak tertentu.
(Tentu sahaja Tokoh Lidah Bercabang, Encik Limau,
Raja Serigala Bahasa, Penerima Anugerah Laut, Timah Wangi dan rakan-rakan
mereka tidak menyangka saya akan ke Kelantan serta berpeluang mendedahkan perkara
sebenar berhubung perkara tersebut.)
Dari segi makanan, saya tidak menghadapi
sebarang masalah. Malah, nampaknya penduduk Kelantan lebih sensitif mengenai
apa yang tidak boleh dimakan oleh orang lain.
Kalau di Kuala Lumpur, sering kali ada
pihak yang menghidangkan daging lembu dan memberi alasan bahawa mereka
tidak tahu kaum India beragama Hindu tidak makan daging itu. Sebaliknya, selama
empat hari saya di Kota Bharu, saya tidak berhadapan dengan sikap seperti itu.
Kunjungan ke Kota Bharu juga membuka ruang
pertemuan bersama Rohani Deraman dan Amy
Suzani Mohd Ainuddin yang menjadi mangsa royalti teks Komsas. Kami sempat juga
berkongsi maklumat dan pandangan bersama-sama peguambela dan peguamcara, Mohammad Faizal Che Yusof.
Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa
perancangan kunjungan ini serta perjalanan saya selama empat hari di Kota Bharu
membuktikan semangat perpaduan sebenar dalam kalangan semua individu yang
terlibat. Sesungguhnya, kami meraikan kepelbagaian yang wujud.
Ternyata saya amat beruntung kerana
berpeluang berkunjung ke Kota Bharu untuk merasai sendiri suasana sebenar di
sana. Banyak pengalaman yang ditimba dan banyak juga sesi perkongsian maklumat.
Semuanya akan saya gunakan untuk menulis
beberapa artikel agar orang ramai mampu mendapatkan gambaran sebenar mengenai
Kelantan amnya dan Kota Bharu khasnya. Sekurang-kurangnya kita tidak akan terus
“tertipu” dengan dakyah palsu yang disebarkan pihak tertentu.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 30 Mac 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 April 2012. Bacaan lanjut: Kelantan di Mata Rakyat)