Thursday, 21 February 2013

Tentang Salam dan Salam 1Malaysia

Saya sering memulakan e-mel dengan “Vanakam. Salam” tanpa mengira kaum, agama, keturunan dan bahasa ibunda penerima mesej berkenaan.
 
Rasional saya amat mudah. Saya memang mengharapkan agar penerima e-mel itu berada dalam keadaan aman, sejahtera dan dilindungi Tuhan.
 
Sehingga kini, memang tidak timbul apa-apa masalah daripada kalangan rakan-rakan dan individu yang menerima e-mel daripada saya. Rata-rata faham konsep sebenar – serta niat – yang terkandung dalam ucapan “Vanakam” (Bahasa Tamil) dan “Salam” (Bahasa Arab dan Bahasa Malaysia).
 
Seorang rakan saya di laman rangkaian sosial Facebook, Faiz Jamaluddin menyatakan pada 28 Disember 2012 bahawa “Assalamualaikum” atau “Salam” merupakan ucapan doa kesejahteraan, di mana “Assalamualaikum” sama ertinya dengan “Selamat Sejahtera”.
 
Pemuda itu bagaimanapun sedikit hairan mengapa di Malaysia, “kita (orang Islam) diharamkan untuk mengucapkan ‘Assalamualaikum’ kepada orang Bukan Islam, padahal kita dihalalkan mengucapkan ‘Selamat Sejahtera’ kepada mereka”.
 
Saya mengemukakan topik itu untuk mendapatkan komen rakan-rakan menerusi Facebook. John Norafizan berpendapat bahawa keadaan seperti itu tidak boleh dilihat sebagai bukti nyata kejahilan masih menebal di negara bertuah ini.
 
“Ada beberapa pendapat ulama berkenaan hal ini. Di United Kingdom, India dan Pakistan juga perkara sama berlaku; iaitu orang Islam tidak boleh memberi salam kepada orang Bukan Islam,” katanya.
 
John berbesar hati mengemukakan pautan ke laman Suhaib Webb di mana terdapat makalah bertajuk “Rules of Greeting non-Muslims in Islam (Saying Salaam/Replying Salaam)” oleh Nurideen Lemu An-Nigeri.
 
Berdasarkan hujah-hujah ilmiah yang dikemukakan, Nurideen tetap membuat kesimpulan bahawa memberi dan membalas salam orang Bukan Islam tidak menjadi kesalahan, apatah lagi diharamkan menurut Quran, Hadis dan Sunah.
 
Berbalik pada perbincangan dan dialog terbuka di Facebook, Vehl Murali menceritakan bagaimana pada zaman universiti, beliau dan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama diwajibkan belajar Bahasa Arab.
 
Jangan kongkong kasih-sayang antara agama
 
“Guru kami mengajar bahawa ‘Assalamualaikum’ bererti ‘peace be upon you’. Beliau juga menambah, ia merupakan satu bentuk ucapan atau salam yang sangat sesuai dalam konteks Malaysia. Saya berpandangan, penggunaan ucapan salam itu tidak salah. Malah, adalah berdosa jika cuba mengongkong penyebaran kasih-sayang antara kaum dan agama dengan alasan-alasan yang tidak rasional,” katanya.
 
Seorang lagi rakan, Debbie Loh, tampil bertanya secara sinis, apakah hanya orang Australia yang boleh menggunakan ucapan “G’day mate” dan hanya orang Perancis berhak menggunakan “Bonjour”.
 
“Kalaulah agama menjadi isu utama dalam penggunaan serta halangan penggunaan ‘Assalamualaikum’, apakah bentuk sapaan atau salam yang digunakan oleh orang Arab beragama Kristian? Jangan kita lupa bahawa ‘Assalamualaikum’ dalam Bahasa Arab adalah sama makna dengan ‘Shalom’ dalam Bahasa Hebrew yang digunakan orang Yahudi dan Ibrani,” katanya.
 
Seorang lagi rakan yang menggunakan nama pena Post Script tampil mencelah bahawa “orang Arab memang tiada bahasa lain selain Arab”.
 
Tentu sahaja saya gembira dengan perbincangan dan dialog yang berlaku. Bagi saya, dialog yang berlaku di ruang maya menerusi Facebook tidak salah. Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad (s.a.w) dan Baginda amat menggalakkan dialog antara budaya dan agama. Saya tidak kisah jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa “debat bukan budaya kita” (Jun 2012) kerana politikus bukan idola saya.
 
“Apabila berbicara mengenai perkara-perkara berkaitan Islam, harap dirujuk kepada mereka yang benar-benar arif mengenai agama Islam supaya mendapat penjelasan yang tepat dan betul mengenai sesuatu perkara.”
 
Demikian nasihat yang dikemukakan Hafez Amri dan pandangan itu amat wajar, khususnya dalam keghairahan politikus dan juak-juak tertentu melaungkan ungkapan “Salam 1Malaysia” tanpa merujuk pada golongan yang benar-benar arif mengenai Islam. Atau mungkin juga “golongan agama” memilih untuk tidak menentang atau mempersoalkan atau membetulkan apa-apa sahaja yang dilakukan oleh politikus.
 
Dalam perbincangan kami, Aslam Bigai mengemukakan contoh ucapan “Namaste” (Hindi) dan “Vanakam” (Tamil) yang membawa makna “selamat sejahtera” dan “semoga bahagia dan dilindungi” tanpa mengira batas kaum dan agama.
 
Sesungguhnya, sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya. Antaranya adalah “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam”. Saya ada menghuraikan perkara ini menerusi sebuah tulisan di majalah IluvIslam (16-22 April 2010) – BACA DI SINI.
 
Bagi saya, bukanlah sesuatu yang pelik jika seorang individu “Bukan Islam” di Malaysia menggunakan frasa-frasa berkenaan secara spontan dan dengan penuh pemahaman, serta sedikit pun tiada niat mempersenda (atau menghina) Islam. Jangan kita lupa bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan, majoriti penduduk Malaysia beragama Islam dan pelajaran berkaitan Islam menguasai begitu banyak mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara.
 
Kekurangan dan kejahilan kita sendiri
 
Bercakap mengenai “Assalamualaikum”, Maiyang Hadziri pula cuba menjelaskan bahawa “kum” dalam ucapan itu merujuk pada kata jamak walaupun diucap kepada seorang sahaja.
 
“Hal ini kerana pada bahu setiap insan, ada satu malaikat; iaitu Raqib dan Atid. Malaikat berkenaan juga menerima ucapan salam yang kita sampaikan,” jelasnya.
 
Faiz Jamaluddin tampil bertanya, “Jika ‘kum’ digunakan kerana ada malaikat pada bahu, bagaimana dengan ucapan ‘Assalamu alaika ya Rasulallah” dan “Assalamu alaika ayyuhan-nabiyyu’?”
 
Seterusnya, Adam Abdullah menjelaskan bahawa ucapan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh” adalah khusus untuk sesama Islam dan tidak boleh digunakan pada orang Bukan Islam. “Bukan untuk Bukan Muslim,” tegasnya.
 
Pada pandangan Vehl Murali, ucapan “Salam” sudah bermula di negara-negara Arab sebelum kedatangan Islam. Maka, katanya, tidak perlulah sapaan yang positif itu dihadkan pada satu-satu agama; khususnya dalam konteks negara berpenduduk majmuk.
 
Kita perlu sedar dan mengakui hakikat bahawa istilah “salam” dalam Bahasa Malaysia datang daripada Bahasa Arab yang membawa makna “aman” atau “sejahtera” (peace). Dalam konteks Malaysia, kesilapan besar yang sering dilakukan kelompok tertentu adalah dengan mengaitkan “salam” hanya dengan agama tertentu. Hal ini mungkin berlaku kerana As-Salam adalah satu daripada 99 nama Allah dalam Islam. Saya pernah memperkatakan hal ini dalam catatan di blog pada November 2010 – RUJUK DI SINI.
 
Apabila kita gagal membezakan antara “salam” dan “As-Salam”, maka timbullah prasangka apabila orang Bukan Islam menyapa dengan kata “salam”. Kekurangan dan kejahilan sebenarnya terletak pada diri kita sendiri yang berfikiran sempit dan tidak tahu makna “salam”.
 
Malah, dalam kalangan orang Israel (Yahudi), ada lagu popular bertema keamanan berjudul “Salaam”. Dalam Bahasa Hebrew, “salam” disebut “shalom” manakala dalam Bahasa Malta disebut “sliem”.
 
Dalam konteks Arab-Islam, “As-Salamu Alaykum” membawa makna “may peace be upon you” dan biasanya dibalas dengan “wa alaykum as-Salam” yang membawa makna “and upon you be peace”. Dalam konteks Arab-Islam, kedua-dua ucapan itu tidak disempitkan pada etnik, kaum, bangsa dan agama tertentu.
 
Dalam konteks Bahasa Malaysia, “Assalamualaikum” adalah istilah Bahasa Arab yang membawa makna “selamat sejahtera kepada kamu semua” dan “damai atau kesejahteraan padamu” (Kamus Dewan). Maka, sesiapa yang berkata “Assalamualaikum dan selamat sejahtera” sebenarnya jahil dan/atau fanatik.
 
Sampaikanlah salam
 
Malah, “memberi salam” tidak semestinya merujuk kepada ucapan “assalamualaikum” seperti yang disangka golongan tertentu; sebaliknya merujuk pada perbuatan mengucapkan kata-kata hormat seperti assalamualaikum, salam, vanakam, namaste, hello, sat sri kal dan selamat sejahtera.
 
Begitu juga apabila kita “kirim salam” kepada seseorang. Makna sebenar “kirim salam” adalah bahawa kita mengharapkan orang berkenaan berada dalam kesejahteraan. Dalam Bahasa Inggeris, sering disebut “Please send him/her my regards” yang membawa makna “Tolong sampaikan salam saya kepadanya”.
 
Malangnya, ramai golongan jahil yang sering bertanya, “Kirim salam saja? Tak kirim barang?” kerana mereka tidak tahu makna “kirim salam” dan “sampaikan salam”. Serta mereka ternyata mementingkan material dan kurang didikan agama/budaya.
 
Lebih malang apabila dalam konteks kelompok tertentu, “salam” (atau vanakam, atau shalom, atau apa sahaja istilah dalam bahasa mereka) hanya bagi kelompok itu yang ternyata amat fanatik dan berfikiran sempit. Kononnya salam (atau vanakam, atau shalom, atau namaste, atau sat sri kal, atau apa sahaja istilah yang membawa konotasi sama dalam bahasa mereka) tidak boleh diucapkan kepada orang lain dan ucapan salam daripada orang lain juga tidak boleh dibalas.
 
Mujurlah hal-hal yang menjahanamkan dan penuh kejahilan seperti ini tidak berlaku dalam kalangan rakan-rakan saya. Mereka juga faham bahawa dalam konteks budaya masyarakat India di seluruh dunia, “salam” (aman, sejahtera, shanti) ditujukan kepada semua insan tanpa batas kaum, agama dan bangsa.
 
Berbalik pada dialog terbuka di Facebook pada 28 Disember 2012, Salinah Jay bersetuju dengan pandangan Hafez supaya kita merujuk pada orang yang pakar bidang agar hujah tidak tersasar.
 
“Assalamualaikum boleh digunakan untuk sesiapa sahaja. Apabila saya masuk ke kelas untuk mengajar, saya beri salam kepada semua pelajar tanpa mengira agama. Setiap SMS dan mesej saya kepada saudara juga dimulakan dengan salam,” kata beliau yang saya kenali sejak sekolah menengah.
 
Apa yang Salinah katakan memang benar. Dalam kalangan rakan-rakan saya, kami memang sudah biasa memberi/membalas salam kerana niat kami adalah baik; iaitu demi keamanan dan kesejahteraan tanpa batas kaum.
 
“Ada banyak pendapat dalam hal memberi/membalas salam. Saya selalu berpegang bahawa Islam adalah agama yang indah dan mudah; agama yang praktikal. Jadi, janganlah kita menyusahkan diri selagi sesuatu amalan – seperti memberi/membalas salam – tidak bercanggah dengan akidah atau haram dalam urusan fiqh dan syariat.”
 
Demikian pandangan penutup Salinah yang sebenarnya juga merangkumkan pandangan saya dalam topik yang diperkatakan ini. Assalamualaikum. – Baca juga satu lagi makalah berkaitan topik sama DI SINI. Dan baca juga isu kalimah "Allah" DI SINI.
 
[Makalah ini ditulis pada 29 Disember 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 31 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!