Sunday, 24 February 2013

Demi Allah! (Bahagian 1)

Saya menggunakan laman rangkaian sosial Facebook bukan untuk berbual-bual kosong (chatting) atau berkebun secara maya di Farmville. Sebaliknya untuk membuka ruang dan peluang ke arah mewujudkan suasana yang menggalakkan dialog, interaksi, perbincangan dan perkongsian pandangan berhubung soal-soal berkaitan bahasa, sastera, filem, budaya, agama, politik dan sosial.
 
Rata-rata rakan-rakan pelbagai agama, etnik, kaum, budaya, kepercayaan, latar belakang dan ideologi terlibat sama dalam dialog yang diadakan. Seperti diakui seorang sahabat, Ananth Kumar, dialog antara agama perlu digalakkan sebagai usaha memecah pemikiran kolot dan tembok penghalang perpaduan. [Topik berkaitan: Konvoi Rumah Ibadat]
 
Bagaimanapun, apabila saya membuka topik berkaitan “Assalamualaikum” pada 28 Disember 2012, beberapa individu memutuskan untuk mengeluarkan (unfriend) saya daripada senarai rakan. Beberapa lagi individu berbuat demikian – unfriend dan block – selepas saya menulis makalah mengenai topik sama di The Malaysian Insider (31 Disember 2012).
 
Topik yang saya dan rakan-rakan bincangkan di Facebook sejak minggu lalu adalah mengenai penggunaan kalimah/perkataan “Allah” oleh orang Tidak Islam (atau selalu disebut “Bukan Islam”). Seperti dijangka, beberapa lagi individu mula memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook.
 
Memanglah menyedihkan kerana kelompok berkenaan yang sebelum ini bersemangat mahu menambah saya sebagai rakan untuk berkongsi idea dan pandangan mengenai pelbagai topik, tiba-tiba memilih untuk tidak terlibat dalam dialog antara agama (inter-faith dialogue). Tidak mengapalah; good riddance to bad rubbish.
 
Isu lama yang kini muncul kembali adalah mengenai “larangan” penggunaan kalimah “Allah” oleh orang Tidak Islam. Sejak dahulu, saya sering berkongsi pandangan mengenai isu ini bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum dan agama.
 
Pada pandangan peribadi saya – dan saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pandangan ini – mana-mana pihak yang mengatakan bahawa orang Tidak Islam tidak berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada “Tuhan” adalah golongan yang mengamalkan cara dakwah yang salah; malah anti-dakwah.
 
Semasa isu novel Interlok: Edisi Murid (2010) sedang hangat, saya turut dilantik oleh Menteri Pelajaran menganggotai panel bebas yang ditugaskan khas untuk meminda novel itu untuk dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajar Bahasa Malaysia (Komsas).
 
Suatu isu timbul apabila perkataan “Tuhan” (dengan “T” huruf besar) dalam naskhah/edisi asal Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain ditukar sesuka hati oleh editor/penerbit kepada “tuhan” (dengan “t” huruf kecil) pada edisi murid. Alasan yang diberikan oleh beberapa anggota panel adalah bahawa “Tuhan” hanya boleh digunakan apabila merujuk kepada “Tuhan Islam” manakala “Tuhan Bukan Islam” mesti ditulis sebagai “tuhan”. [BACA LAGI DI SINI]
 
Perkara sama – kejahilan, kekhilafan, munafik, syirik – bagaikan sedang berulang. Kalau kita perhatikan, hujah berupa tindakan menegakkan benang basah yang hangat diperkatakan sekarang adalah bahawa “Allah” hanya boleh digunakan bagi “Tuhan Islam” manakala “Tuhan Bukan Islam” perlulah menggunakan nama-nama lain (apa sahaja) selain daripada “Allah”.
 
Saya dilahirkan beragama Hindu tetapi pengetahuan saya terhadap agama-agama lain sejak kanak-kanak berada pada tahap yang membanggakan. Cuma, saya sentiasa sedar bahawa Tuhan menciptakan saya sebagai individu kaum India beragama Hindu dan saya tidak akan mengubah ketetapan Pencipta demi mengejar apa-apa “gula-gula” yang ditawarkan mana-mana pihak.
 
Ada Tuhan Islam dan Tuhan Bukan Islam?
 
Apa pun, apabila seseorang mengatakan bahawa hanya “Tuhan Islam” boleh digelar “Allah” manakala “Tuhan Bukan Islam” perlu diberi apa-apa nama lain selain “Allah”, maka orang itu sebenarnya bagaikan sudah terpesong daripada ajaran Islam kerana berpendapat dan berpendirian bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!
 
Dalam agama Hindu, konsep “Eka Aneka” (Sanskrit) digunakan untuk mengakui keesaan Pencipta atau disebut tauhid dalam Bahasa Arab. Konsep “eka” (Sanskrit) sering disebut sebagai “esa” atau “tunggal”. Muncul konsep “ekan anekan” (Tamil) – Tuhan yang eka (tunggal) tetapi dikenali dalam aneka (pelbagai) bentuk dan nama berdasarkan sifat-sifat-Nya yang infinitif.
 
Malah, usah kita lupa pada hakikat bahawa agama Hindu adalah antara agama yang paling awal berbicara tentang tauhid (keesaan Tuhan), seperti turut diakui Muhammad Fitri Abdullah dari Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia dalam suatu seminar di Shah Alam pada 30 Mei 2009.
 
Penganut agama Sikh berkongsi ucapan “Sat Sri Akaal” serta tidak keberatan menerima ucapan itu daripada orang Bukan Sikh. Guru kesepuluh dalam agama Sikh iaitu Guru Gobind Singh menekankan konsep dan prinsip ini. Dalam Bahasa Punjabi, “sat” bermakna “kebenaran” (truth) dan “Akaal” merujuk kepada Tuhan, iaitu “Pencipta yang tiada mula dan tiada akhir” atau “hakiki”.
 
Ucapan “Sat Sr Akaal” membawa makna “Tuhan adalah Kebenaran Hakiki”. Dalam kalangan penganut agama Islam, frasa/ucapan yang sering diberikan adalah “Allahu Akhbar” yang membawa makna “Allah Maha Besar” dalam Bahasa Arab.
 
Maka, apabila ada pihak tampil mengatakan bahawa ada “Tuhan Islam” (Allah) dan ada “Tuhan Bukan Islam”, maka sangat memeranjatkan bagi saya sebagai seorang penganut agama Hindu yang berpegang teguh pada konsep Tuhan Yang Maha Esa.
 
Malah, sebagai seorang individu yang mendalami agama Islam, Kristian, Sikh, Buddha dan sebagainya sejak usia kanak-kanak, saya berasa hairan, pelik, terkejut dan terkedu apabila ada pihak yang kononnya “pakar agama” tetapi tampil mengeluarkan kenyataan menidakkan keesaan Tuhan.
 
Seorang sahabat lama yang menggunakan nama Abang Long di Facebook berkongsi pengalaman: “Rakan dan sahabat saya yang Bukan Islam, sejak dahulu apabila mereka susah hati, selalu menyebut ‘Tuhan Allah banyak baik, kita minta macam-macam daripada Dia’. Adakah saya perlu menegur percakapan mereka?”
 
Shamsinor Zaman mengemukakan pandangan yang berlainan tetapi wajar difikirkan secara serius. Katanya, “isu kalimah Allah tidak sepatutnya dibincangkan oleh pakar agama semata-mata. Ini masalah sosio-budaya dan masalah bahasa. Kenapa tokoh kedua-dua bidang berkenaan diam?’
 
Dalam pada itu, ada pula “pakar agama” yang membuktikan lagi kejahilan dan sikap anti-dakwah dengan menegaskan bahawa sekiranya orang Tidak Islam mahu menggunakan perkataan “Allah” maka mereka wajib memeluk Islam terlebih dahulu. Saya tidak tahu jika wujud manusia yang “kurang cerdik” daripada kelompok manusia seperti itu. Dalam keghairahan kononnya “berdakwah”, orang seperti itu mencemarkan kesucian dan keindahan Islam. – Bersambung [BACA DI SINI]. Topik berkaitan: Assalamualaikum.
 
[Uthaya Sankar SB sedar bahawa mungkin lebih ramai orang akan memanfaatkan butang unfriend dan block pada Facebook selepas membaca makalah ini. Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 14 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!