4 Feb 2013

Konvoi Rumah Ibadat Seremban

[Aktiviti kunjungan ini bertujuan memupuk perpaduan dan persefahaman antara agama]
 
Isu-isu berkaitan kaum dan agama terus menjadi “makanan” golongan politikus; khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Namun, sebenarnya, dalam kalangan orang biasa, isu perkauman dan agama tidaklah sebesar dan sehangat digembar-gemburkan dan diapi-apikan puak tertentu demi kepentingan politik yang sempit.
 
Saya berani katakan demikian berdasarkan pengalaman saya sendiri bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Sedikit perbezaan pendapat/pandangan yang mungkin wujud dalam hal-hal tertentu sebenarnya lebih banyak membuka ruang bagi sesi dialog secara positif; bukannya membawa kepada perpecahan dan permusuhan.
 
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali. Bagi memudahkan proses “mengenali”, tentulah kita perlu saling memahami, menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan yang wujud. Hanya makhluk yang tidak patuh pada kitab suci agama masing-masing akan menafikan kata-kata ini.
 
Sebagai salah satu usaha memupuk perpaduan, persefahaman, silatulrahim dan persaudaraan tanpa batas kaum dan agama, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah menganjurkan “Konvoi ke Rumah Ibadat” pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011.
 
Rumah-rumah ibadat di Jalan Ipoh dan Jalan Sentul, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi konvoi adalah Kuil Subramaniam Chettiar, Gurdwara Sahib, Gereja Katolik St Joseph, Tokong Dewa Pengawal, Masjid Al-Hidayah dan Wat Buddha Sri Lanka – BACA DI SINI.
 
Walaupun hanya dijalankan dalam skala kecil, kunjungan ke enam rumah ibadat pelbagai agama berjaya memupuk persefahaman, integrasi dan persaudaraan, seperti yang saya huraikan dalam sebuah makalah di Free Malaysia Today (4 April 2011) – BACA DI SINI dan baca juga laporan Kosmo! - DI SINI.
 
Acara “Konvoi ke Rumah Ibadat” tidak sempat diadakan pada tahun lalu (2012) walaupun ada permintaan dan minat daripada rakan-rakan di Seremban, Negeri Sembilan dan George Town, Pulau Pinang.
 
Pada masa sama, saya perhatikan bahawa ada beberapa pihak yang menganjurkan acara hampir sama di beberapa tempat di seluruh negara pada tahun lalu. Usaha seperti itu amat menggembirakan dan wajar diberi sokongan; termasuk liputan media.
 
Berkunjung dengan niat murni
 
Pada 1 Januari 2013, saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke Seremban untuk bertemu Atriza Umar dan Mohd Khalid Zainol Abidin dari Jawatankuasa Ikram Negeri Sembilan. Pasangan suami-isteri itu pernah menyertai konvoi pada 2011 dan sangat berminat untuk mengusahakan acara sama di Seremban.
 
Kami bertiga pergi ke beberapa rumah ibadat di sepanjang Jalan Yam Tuan [FOTO DI SINI] untuk memberikan penerangan dan meminta kebenaran untuk mengadakan “Konvoi Rumah Ibadat” yang dijadualkan pada Ahad, 17 Februari 2013. [RUJUK MAKLUMAT FACEBOOK DI SINI]
 
Rata-rata, kami mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan dan pegawai bertugas di rumah-rumah ibadat yang kami kunjungi. Hal ini tidaklah menghairankan kerana tentu sahaja kunjungan khalayak pelbagai kaum dan agama akan membuka ruang ke arah memperkenalkan dan menjelaskan suasana sebenar di rumah-rumah ibadat berkenaan.
 
Semasa Kavyan menganjurkan konvoi pertama pada 2010, masih ada isu hangat mengenai “halangan” orang Bukan Islam memasuki masjid. Tentu sahaja “halangan” itu adalah bermotifkan politik dan bukan merupakan halangan agama. Pada masa sekarang pula, isu penggunaan kalimah “Allah” oleh golongan Bukan Islam masih hangat diperkatakan.
 
Dalam konvoi pertama dan kedua, kami yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama langsung tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengunjungi kuil, masjid, gereja, wat, tokong dan gurdwara. Kunjungan kami adalah dengan niat murni untuk saling memahami dan saling menghormati. Maka, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.
 
Antara rumah ibadat yang dikenal pasti bagi tujuan konvoi pada 17 Februari 2013 adalah Gurdwara Sahib, Seremban Visitation, Kuil Sri Bala Thandayuthapani, sebuah tokong Cina dan Masjid Negeri yang dirasmikan pada 1967. Kesemuanya terletak sepanjang Jalan Yam Tuan dan peserta boleh sahaja berkonvoi secara berjalan kaki, menunggang motosikal atau memandu kereta.
 
Bagi memudahkan urusan, tempat pertemuan bagi para peserta adalah di Stesen Komuter Seremban pada pukul 9:00 pagi. Dari sana, Atriza dan Mohd Khalid akan memimpin konvoi ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama mengikut jadual yang ditetapkan.
 
Saya percaya bahawa konvoi ini tidak akan banyak berbeza dengan dua konvoi sebelum ini di Kuala Lumpur. Sekiranya ada sebarang perbezaan kecil, tentulah ia boleh diambil sebagai maklumat baru yang menambah ilmu dan pemahaman kita terhadap agama-agama di Malaysia.
 
Peraturan di rumah ibadat
 
Secara umumnya, tentulah para peserta perlu dan diwajibkan berpakaian sopan sepanjang menyertai konvoi/kunjungan ke rumah-rumah ibadat. Apabila memasuki masjid, misalnya, pengunjung wanita wajib menutup kepala/rambut. Begitu juga apabila memasuki gurdwara, lelaki dan wanita wajib menutup kepala/rambut.
 
Maka, tentulah penganjur menggalakkan (baca: mengingatkan) peserta konvoi supaya membawa kain yang sesuai untuk menutup kepala; selain daripada topi/payung untuk digunakan semasa berjalan berama-ramai dari satu rumah ibadat ke satu rumah ibadat lain di bawah panas terik atau hujan renyai.
 
Konvoi yang diatur ini adalah bebas daripada pengaruh politik. Sekiranya ada politikus yang berminat untuk hadir sama, mereka diingatkan supaya “menanggalkan” topi politik sepanjang menyertai konvoi ini yang sudah ada objektif tersendiri.
 
Hal-hal berkaitan dialog antara agama dan usaha-usaha mencari persamaan antara agama masih terlalu sensitif di negara bertuah ini di mana slogan-slogan muluk seperti “Salam 1Malaysia” selalu dilaung-laungkan tanpa perlu memahami atau menghayati apa yang dimaksudkan. Label-label seperti pluralisme dan sekularisme juga selalu disebut-sebut untuk menghalang usaha murni memupuk persefahaman dan persaudaraan antara kaum dan agama.
 
Menerusi Konvoi Rumah Ibadat pula, peluang dan ruang dibuka seluas-luasnya untuk memupuk perpaduan secara ikhlas dan tulen. Sebarang pertanyaan mengenai agama yang dikemukakan sepanjang konvoi ini bukan bertujuan untuk berdakwah atau memperlekeh mana-mana agama. Sebaliknya untuk membuka ruang bagi saling memahami, mengenali dan menghormati.
 
Maka, tentulah peserta konvoi daripada pelbagai agama akan sama-sama “belajar” cara berwuduk apabila mengunjungi masjid dan cara membasuh kaki apabila mengunjungi kuil. Begitu jugalah dengan peluang melihat dari dekat kitab-kitab suci apabila mengunjungi gereja dan gurdwara, serta melihat seni ukir dan patung-patung apabila pergi ke tokong.
 
Konvoi sehari yang diatur dengan niat murni ini adalah juga bagi membantu menghindarkan segala salah tanggap dan pandangan tidak benar yang mungkin wujud mengenai rumah-rumah ibadat pelbagai agama. Tak berkunjung, maka tak kenal.
 
Atas sebab itulah juga peserta digalakkan membawa keluarga mereka supaya aura positif yang dikongsi bersama-sama sepanjang konvoi ini dapat dinikmati bersama. Bukan untuk “meninggalkan” agama asal tetapi demi meraikan kepelbagaian.
 
[Orang ramai yang berminat menyertai Konvoi Rumah Ibadat Seremban pada 17 Februari 2013 boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut. Makalah ini ditulis pada 8 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 14 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]