Wednesday, 28 July 2010

Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia

Kepada rakan-rakan yang mahu menulis komen bagi mana-mana catatan status, pautan atau foto di laman Facebook saya, sila semak apa yang ditulis itu dengan teliti sebelum dipaparkan. Sejak awal, saya berusaha memastikan tidak ada mana-mana bahasa “dibunuh” di laman Facebook saya. (Sedikit kelonggaran diberikan apabila anda mengirimkan mesej peribadi kepada saya memandangkan komunikasi hanya melibatkan anda dan saya; bukan dipaparkan kepada umum.) Kerjasama anda amat diharapkan dan dihargai. – Uthaya Sankar SB pada 8 Mei 2013.
 
Selewat-lewatnya sejak Januari 2010, apabila seseorang menambah saya sebagai “rakan” di Facebook, saya akan mencatat makluman berikut pada halaman mereka:

“Terima kasih. Selamat bertemu di ruang siber. Biar saya maklumkan sejak awal: Saya tidak akan melayan sesiapa yang tidak tahu (atau tidak mahu) menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin yang betul apabila berkomunikasi dengan saya menerusi Facebook. Saya tidak mahu kes seperti http://uthayasankarsb.blogspot.com/2010/01/i-don-need-any-eng-class.html dan http://uthayasb.blogspot.com/2010/05/facebooks-funny.html berulang.”

Perkara sama saya lakukan pada 19 Julai 2010 apabila seorang individu menambah saya sebagai “rakan”. Anehnya, seorang individu lain – yang juga “rakan” saya di Facebook – mencatatkan komen berikut di bawah makluman saya:

“Kenapa mesti bahasa Malaysia? Kenapa tidak bahasa Melayu?”

Jawapan saya: “Kenapa tidak Bahasa Malaysia?”

Lalu dijawabnya: “Sebab bahasa Melayu. Asalnya bahasa Melayu. Bukan bahasa Malaysia. Siapa yang pandai-pandai ubah bahasa Malaysia?”

Nasihat saya: “Rujuk sejarah.”

Dibalasnya: “Sudah dirujuk. Bahasa Melayu. Bukannya bahasa Malaysia.”

Reaksi saya: “Tahniah!”

Sebenarnya, saya tidak sampai hati mahu mengucapkan “takziah” kepada individu berkenaan yang ternyata buta sejarah dan takut bayang-bayang. Setahu saya, beliau warganegara Malaysia serta pandai menulis dan membaca.

Kisah ini turut mengingatkan saya pada satu lagi kisah lama; iaitu tuduhan “Uthaya buta sejarah” pada Disember 2009. Nampaknya sentiasa ada “badut” (selain Badut Paul Lathic) yang hadir secara sukarela untuk menceriakan hidup kita.

Saya akan teruskan Perjuangan Bahasa Malaysia. Baca juga: Ayuh, cintai bahasa!

Dirgahayu Bahasa Malaysia; walaupun “golongan tertentu” masih buta sejarah!

Nota: Individu yang mengemukakan soalan-soalan yang "kurang bijak" itu kemudian memutuskan untuk tidak lagi menjadi rakan saya di Facebook dan di alam nyata dengan alasan "Uthaya/Kavyan adalah anti-Melayu dan anti-bahasa Melayu". Biarkan Luncai dengan labu-labunya! Lihat sifir mudahnya DI SINI.

6 comments:

  1. kesian betul orang itu.. dah lah tak tau tentang sejarah bahasa melaysia.. nak tunjik pandai pula... kesian.. kesian... :-)

    ReplyDelete
  2. Bahasa Jiwa Bangsa. Kita adalah bangsa Malaysia dan Malaysia adalah tanah tumpah darah kita. Bersama, marilah kita berganding bahu memartabatkan Bahasa Malaysia dan mewujudkan semangat kekitaan. Biar berputih tulang tapi jangan berputih mata. Saya dengan bangganya mendabik dada bahawa saya seorang Anak Malaysia!

    ReplyDelete
  3. Saya Melayu Kelantan. Saya ada kawan sekampung yang berjaya dapat keputusan Bahasa Malaysia kertas Julai selepas 8 kali gagal.

    Siapa yang belajar dia akan pandai.

    Saya amat setuju dengan ketetapan saudara Uthaya. Saya sendiri juga adakalanya dalam chat banyak guna BM tak ikut piawai yang tepat.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!